HALAMAN SANTAI

Khamis, 9 Mac 2017

MB Johor serah kepada SPRM siasat Exco

ANTARAPOS,COM
Post Pic



ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap seorang EXCO kerajaan negeri yang ditahan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya bersimpati dengan penahanan Exco terbabit yang bertujuan membantu siasatan berhubung kes rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

"Kita bersimpati tetapi saya percaya kita serahkan kepada SPRM supaya kita dapat mencapai keadilan dalam soal ini (rasuah dan penyelewengan hartanah," katanya yang ditemui pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Exco berkenaan ditahan kira-kira 11 pagi tadi ketika hadir di pejabat SPRM Johor.

Pada 24 Februari lalu, SPRM menahan enam individu termasuk anak dan seorang pegawai khas kepada seorang Exco kerajaan negeri yang dipercayai terbabit dengan skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini.

SPRM turut menahan seorang lagi kontraktor lelaki dipercayai suspek ketujuh dalam kes berkenaan empat hari kemudian.

Exco terbabit kini sedang bercuti daripada tugas rasmi kerajaan negeri Johor sehingga siasatan berhubung skandal rasuah dan penyelewengan hartanah itu selesai. Dua daripada enam individu yang direman terbabit kemudian dibebaskan dengan jaminan SPRM Jumaat lalu manakala empat individu yang lain turut dibebaskan dengan jaminan SPRM, hari ini.


Tiada ulasan: