HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Mac 2017

Skandal hartanah Johor: Beranikah Khaled Nordin laksana tiga syor ini?


Roketkini.com

JOHOR BAHRU: Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim hari ini mengemukakan tiga syor kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memperbaiki pentadbiran negeri ekoran kontroversi rasuah hartanah yang melanda.

Menurutnya, cadangan ini adalah penting untuk memastikan integriti kerajaan dan amanah rakyat terpelihara.
Pertama ialah pemilihan juruaudit bebas untuk menyiasat setiap jabatan dan akaun yang terlibat.

“Khaled Nordin harus usulkan cadangan ke Dewan Negeri untuk membincangkan bagaimana ahli-ahli dewan boleh menilai dan memilih satu juruaudit bebas untuk membuat siasatan audit terhadap semua jabatan dan akaun yang terlibat dengan skandal ini.

“Keduanya beliau perlu merombak kabinet negeri secara menyeluruh. Apa pun alasannya, imej kabinet negeri telah rosak. Rakyat telah hilang kepercayaan terhadap mereka,” kata Mahdzir.

Jelasnya. berdasarkan sistem Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tempoh lima tahun dihadkan kepada mana-mana pegawai kanan khususnya di jabatan-jabatan penting dan sensitif seperti unit tender atau kewangan.

“Sungguhpun begitu, saya berpandangan ia harus ditukar kepada maksimum tiga tahun sahaja memandangkan tempoh lima tahun adalah terlalu lama,” katanya.

Syor ketiga kata Mahdzir ialah dengan pengisytiharan harta.

“Ahli EXCO perlu isytiharkan aset mereka dan kerajaan negeri harus pastikan tidak ada ahli keluarga, mana-mana EXCO yang terlibat secara langsung dengan hal ehwal tadbir urus kerajaan negeri.

“Ia adalah penting dalam menjamin integriti pentadbiran kerajaan dan persepsi rakyat,” katanya.

Bagaimanapun beliau mempersoalkan keberanian pentadbiran Khaled Nordin untuk melaksanakan semua syor tersebut.

Dalam kontroversi skandal hartanah Johor ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merampas dan membekukan 45 akaun bank dengan wang berjumlah RM15.5 juta, 21 buah kereta mewah, lima buah motosikal berkuasa tinggi, wang tunai RM500,000 beserta mata wang asing dan beberapa dokumen lain untuk membantu siasatan.

Mereka yang ditahan melibatkan enam lelaki termasuk anak serta pegawai khas seorang penjawat awam Johor. -Roketkini.com


Tiada ulasan: