HALAMAN SANTAI

Selasa, 7 Mac 2017

Skandal tanah Johor: Kenyataan Adun UMNO mengejutkan


Roketkini.com

JOHOR BAHRU: DAP Johor menyifatkan tindakan Adun Pasir Raja, Datuk Seri Dr. Adham Baba menolak cadangan supaya Exco negeri dirombak susulan kes skandal rasuah hartanah di negeri ini sebagai mengejutkan.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim berkata, sekalipun cadangannya itu ditolak, beliau merasakan ia sepatutnya ditolak sendiri oleh menteri besar atau Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan bukannya Adun biasa yang tidak berada dalam Exco.

“Saya fikir keadaan ini cukup ganjil, memandangkan kerajaan negeri sedang melalui masa yang cukup kritikal, Ketua UMNO Bahagian Tenggara itu muncul dengan kenyataan yang tidak matang.

“Malah kenyataan Dr. Adham Baba ini saya rasakan hujahnya lompong dan menyimpang dari pokok persoalan,” katanya dalam kenyataan.

Dr. Adham Baba yang tidak terlibat dalam Exco negeri seperti yang dilaporkan media baru-baru ini berkata tidak ada keperluan supaya Exco negeri dirombak kerana menurutnya kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Bagaimanapun, menurut Mahdzir, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini secara jelas menyatakan bahawa penukaran status tanah bumiputera adalah dasar dan amalan kerajaan negeri.

“Bukankah asas isu skandal hartanah ini melibatkan kerajaan negeri secara langsung?

“Mereka yang ditahan dan disyaki terlibat dalam skandal ini, bukan orang biasa, terdapat anak kepada seorang Exco dan mereka yang terdiri di kalangan pegawai yang rapat dengan Exco dan pentadbiran kerajaan negeri. Bukankah ianya sudah jelas?” soalnya.

Malah, katanya, saranan Dr. Idham supaya menteri besar mengambil alih portfolio perumahan dan kerajaan tempatan negeri yang ketika ini disandang Datuk Abdul Latif Bandi adalah ironi kerana ia secara tidak langsung merupakan tindakan merombak Exco.

“Hujah yang lemah dan kenyataan politik seperti ini mengundang kesangsian kepada kita, seakan ada udang di sebalik batu.

“Kita tahu dalam UMNO, perebutan kuasa itu sentiasa berlaku. Kedudukan menteri besar mahupun Exco boleh menjadi isu, lebih-lebih lagi dalam situasi krisis seperti sekarang,” ujarnya.

Selain cadangan merombak Exco negeri, Mahdzir turut menyarankan supaya kerajaan negeri melantik juruaudit bebas dan melaksanakan dasar Tempoh Khidmat Terhad kepada pegawai kerajaan yang berada di posisi penting seperti unit tender dan kewangan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: