HALAMAN SANTAI

Isnin, 6 Mac 2017

SPR tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan, kata pemimpin DAP

Berita Daily Staff

Tindak-tanduk kotor yang dilakukan oleh SPR juga  bercanggah dengan prinsip Rukunegara “Kehuluran Perlembagaan”

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin DAP hari ini mendakwa  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  tidak menghormati undang-undang tertinggi negara, dan bersubahat dengan pemimpin-pemimpin politik Umno.

Katanya, tindak-tanduk kotor yang dilakukan oleh SPR juga bercanggah dengan prinsip Rukunegara iaitu “Kehuluran Perlembagaan”.

Dalam satu kenyataan, V Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak berkata SPR telah mengkhianati rakyat dan mengkotori kuasa yang diturunkan oleh Perlembagaan Perseketuan.

Menurutnya, SPR ditubuhkan di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan. Kuasa diberikan kepada Tuanku Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Raja-raja untuk melantik seorang Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan lima orang anggota lain Suruhanjaya Pilihanraya.

“Niat Tuanku Duli Yang Maha Mulia dan raja-raja lain adalah supaya badan ini melaksanakan tanggungjawab secara adil dan saksama. Kepercayaan telah diberikan untuk menjalankan pilihanraya Dewan Rakyat dan Dewan-Dewan Undangan Negeri secara berkecuali.”

“Ini adalah satu amanah yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan melalui kuasa yang diturunkan kepada Raja-raja. Tetapi, SPR hari ini telah menjadi kuda tunggangan Barisan Nasionsl yang terang-terang mengikut telunjuk Umno,” kata Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah.

Tambahnya, rakyat telah hilang keyakinan terhadap SPR lebih-lebih lagi apabila SPR mencadangkan pensempadanan semula kawasan pilihanraya baru-baru ini.

“Perubahan-perubahan yang dibuat melalui pensempadanan semula jelas membuktikan kerja-kerja kotor yang berniat memenangkan Barisan Nasional dalam PRU14,” dakwa beliau lagi.

“Ini adalah bertentangan dengan amalan demokrasi. Bukankah menipu rakyat seperti ini merupakan satu dosa yang besar?” soal Sivakumar yang berkata rakyat tidak yakin dengan SPR.

Tiada ulasan: