HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Mac 2017

'Syarikat RM2' ajak orang awam teliti projek ECRL

 ARIF ATAN

Orang ramai dialu alukan memberi maklum balas termasuk bantahan terhadap projek ECRL yang kontroversiOrang ramai dialu alukan memberi maklum balas termasuk bantahan terhadap projek ECRL yang kontroversi


Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang dilantik oleh kerajaan sebagai pemilik aset dan pengendali Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang kira-kira 600 kilometer mengajak orang ramai meneliti cadangan projek dari Kelantan ke Selangor itu.

Anak syarikat yang didakwa milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) itu memaklumkan Sesi Penelitian Awam berlangsung mulai 8 Mac ini hingga 6 Jun depan di pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) beralamat di Aras 5, Blok 5, Platinum Sentral dekat KL Sentral.

Notis Penelitian Awam yang diterbitkan di akhbar Mingguan Malaysia hari ini memberitahu pameran sama turut diadakan di pejabat MRL beralamat di Menara 1 Dutamas, Solaris Dutamas No. 1, Jalan Dutamas di ibu negara serta 15 pejabat daerah tempatan di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Orang awam dijemput untuk meneliti projek ini. Maklum balas boleh dihantar kepada MRL selewat-lewatnya 5 Jun 2017. Kakitangan MRL akan sedia membantu di lokasi-lokasi berkenaan," dipetik dari notis itu.

Empat Ahli Parlimen Pakatan Harapan pada November tahun lalu mempersoal kewajaran MRL mewakili kerajaan Malaysia dalam perjanjian menganugerahkan kontrak pembinaan ECRL berjumlah RM46 bilion kepada China Communication Construction Company Ltd (CCCC).

Mereka yang diketuai Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendedahkan MRL ditubuhkan pada 26 September 2016 sebagai syarikat yang bermodal RM2 sekaligus menyangkal dakwaan kerajaan kononnya milik MOF Inc.

"Saham RM2 dipegang oleh Ahmad Suhaimi Endut dan Dr Yusof Ismail. Kedua-dua mereka adalah pegawai-pegawai kanan berpangkat Timbalan Setiausaha di Kementerian Kewangan mengikut maklumat yang ada di internet," dipetik daripada kenyataan bersama itu lagi.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2017 mengumumkan peruntukan untuk pembangunan ECRL mencecah RM55 bilion.

Pemilihan syarikat dari negara China, CCCC itu juga menimbulkan kontroversi apabila Bank Dunia telah menyenaraihitamkan CCCC dan kesemua anak syarikatnya selama lapan tahun mulai 12 Januari 2009 daripada memperoleh sebarang bentuk pinjaman menerusi bank itu atas dakwaan mengamalkan penipuan (fraudulent practices).

Bimbang ancam Tanah Rizab Melayu 

Banyak pihak bimbang dengan projek jaringan perkhidmatan tren baharu yang bakal merentasi Banjaran Titiwangsa itu termasuk aktivis alam sekitar memandangkan kawasan tanah tinggi tersebut kaya dengan flora dan fauna selain legeh sungai iaitu kawasan memisahkan dua hulu sungai.

Laluan ECRL yang menghubungkan negeri-negeri di Pantai Timur dengan Lembah Klang melibatkan lebih 20 stesen itu turut dikhuatiri mengancam kedudukan penempatan penduduk dan status Tanah Rizab Melayu.

Senarai stesen seperti diberitahu dalam Notis Penelitian Awam itu adalah Wakaf Bharu, Kota Bharu, Jelawat dan Tok Bali sebelum memasuki Kampung Raja di Besut, Terengganu diikuti Penarik, Kuala Telemong, Pengkalan Berangan, Dungun, Kerteh, Kemasik dan Chukai.

Lokasi stesen ECRL berikutnya di Pahang meliputi Cherating, Kuantan Port City dan Kota Sultan Alam Shah atau dikenali sebagai Kota SAS di Indera Mahkota serta Kuantan Sentral, Gambang, Maran, Mentakab dan Bentong.

Seterusnya, ECRL akan melalui Selangor di Gombak Utara dan Integrated Transport Terminal (ITT) Gombak yang berdekatan dengan stesen transit aliran ringan (LRT) Putra Gombak.

Tiada ulasan: