HALAMAN SANTAI

Isnin, 6 Mac 2017

Teksi dan Uber berdamai, kini kongsi aplikasi

 
Memorandum persefahaman kerjasama itu akan ditandatangani esok dengan peringkat awal melibatkan 500 teksi di bawah gabungan persatuan teksi.


Shamsubahrin-Ismail-uberteksi

KUALA LUMPUR : Gabungan Persatuan dan Syarikat-syarikat Teksi Semenanjung Malaysia (GPST) akan bekerjasama dengan Uber Malaysia menerusi penggunaan aplikasi Uber di dalam setiap teksi.

Penasihat Teksi Big Blue Datuk Shamsubahrin Ismail berkata memorandum persefahaman kerjasama itu akan ditandatangani esok dengan membabitkan 500 teksi di bawah gabungan persatuan berkenaan bagi peringkat permulaan.

“Ini menunjukkan satu perubahan yang baik dibuat gabungan pemilik teksi bagi menyatukan industri teksi bersama Uber.

“Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pun meluluskan Uber untuk beroperasi tetapi kelulusan itu hanya akan diumumkan selepas pembentangan di Parlimen,” katanya pada sidang medianya di ibu negara hari ini.

Shamsubahrin berkata kerjasama melalui platform aplikasi Uber itu akan memberikan manfaat kepada pemandu teksi.

“Platform Uber di pasaran kuat daripada segi pemasaran, mendapatkan tempahan dan boleh memberi pendapatan kepada pemandu teksi.

“Apa yang perlu pemandu teksi lakukan ialah mempertingkatkan mutu perkhidmatan mereka untuk bersaing dalam aplikasi baharu.

“Sekarang bukan pasal harga. Saya percaya Uber tak akan bagi bawah daripada harga Uber,” katanya.
Shamsubahrin turut mengkritik aplikasi e-hailing yang digunakan industri teksi kini.

“Sistem ada tapi tempahan tak ada, tak ada pemasaran, ada syarikat uar-uarkan sistem bagus tapi sistem tak jalan,” katanya.


Tiada ulasan: