HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 Mac 2017

Terkejut difitnah seleweng RM2.7 juta, Annuar mahu saman

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Tan Sri Annuar Musa menyerahkan kepada peguam untuk mengambil tindakan terhadap laporan polis dibuat seorang individu yang mendakwa yayasannya menyeleweng RM2.7 juta.
 
Ketua Penerangan Umno itu berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau dan yayasannya adalah fitnah.
 
“Apakah aduan palsu dan memberi maklumat palsu tidak perlu disiasat atau ‘tangan ghaib ini’ cukup berkuasa dan boleh mengatur segalanya mengikut selera mereka?
 
“Cukuplah saya membiarkan pihak tertentu bebas dengan tindakan mereka. Apakah undang-undang negara ini sewenang-wenangnya membenarkan tuduhan atau aduan untuk diviral sehingga pihak tidak bersalah menjadi mangsa fitnah demi fitnah.
 
“Apakah ini senjata peras ugut apabila kehendak seseorang atau taiko di belakangnya tidak ditunaikan atau bila lagi perniagaan seseorang tidak menjadi?” soalnya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik ke Facebooknya.
 
Sebelum ini, seorang pengarah pemasaran sebuah syarikat mendakwa yayasan milik seorang pemimpin kanan Umno menyeleweng RM2.7 juta yang merupakan geran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
 
Beliau mendakwa dana yang dimohon bagi tujuan pembangunan perisian itu diberikan kepada sebuah yayasan dipercayai di bawah pemimpin Umno dan pihaknya diarahkan SKMM supaya bekerjasama dengan yayasan itu.
 
Bagaimanapun, dua bulan selepas perjanjian ditandatangani, kerjasama antara yayasan tersebut dan syarikatnya ditamatkan tanpa sebab.
 
Sehari selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pengarah pemasaran itu bertindak menarik balik laporannya dengan mendakwa perselisihan faham antara beliau dan yayasan itu diselesaikan secara baik dan meminta isu itu tidak dibangkitkan lagi.
 
Annuar mengakui terkejut apabila dikaitkan dengan laporan polis dibuat seorang individu kononnya yayasannya menyeleweng RM2.7 juta, tetapi hasil semakan dengan
SKMM mendapati suruhanjaya itu tidak pernah memberi projek perisian komputer kepada mana-mana pihak.
 
“Kita terpinga-pinga dibuatnya berikutan adanya laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kemudian dengar pula laporan polis ditarik balik kerana sudah selesai cara baik,” kata ahli Parlimen Ketereh itu.
 
 

Tiada ulasan: