HALAMAN SANTAI

Khamis, 16 Mac 2017

Tiada Lagi Rundingan Dengan PPBM – Naib Presiden PAS

KUALA LUMPUR – Nampaknya cubaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bekerjasama dengan Pas tinggal harapan.


Ini kerana sebarang rundingan untuk bekerjasama dengan PPBM dengan Pas kini dianggap sudah berakhir selepas mereka membuat keputusan untuk bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).

Pendirian itu dinyatakan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah yang mengatakan tidak ada lagi perbincangan dengan untuk bekerjasama selepas PPBM mengumumkan keputusan mereka semalam untuk bersama PH dibawah satu logo dan gabungan.

“Kalau itulah keputusan rasminya, kita terpaksa membuat keputusan untuk tiada lagi hubungan dengan PPBM.

“Kerana itu, tidak ada lagi perbincangan untuk terus bersama dan ia dianggap sudah selesai,” kata beliau dipetik dalam laman portal selepas selesai mesyuarat Exco di Kelantan hari ini.

Menurut Mohd Amar, Pas tidak memaksa PPBM untuk membuat keputusan sama ada mahu bekerjasama dengan mereka atau PH, bagaimanapun berharap PPBM tidak menyerang mereka apabila memilih gabungan pembangkang tersebut.

“Kita ada pendirian kita dan orang lain juga ada pendirian sendiri. Kita tidak boleh nak paksa sesiapa ikut kita.

“Sama ada dia (PPBM) nak adakan hubungan dengan PH, itu hak mereka. Tapi jangan bersama PH untuk menyerang kita,” katanya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin menegaskan parti itu bakal membuat penelitian semula terhadap rundingan kerjasama politik dengan PPBM.

Sementara itu, Mohd. Amar berkata Pas sudah membentuk blok ketiga pembangkang yang dikenali Gagasan Sejahtera.

Jelas beliau, gerakan ini bakal dilancarkan secara rasminya pada muktamar parti itu pada 29 April ini.
Semalam, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumunkan mereka akan menyertai pakatan yang dianggotai DAP, PKR serta PAN. – MalaysiaGazette

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: