HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 April 2017

Muktamar Pas kenapa Azmin yang berdebar?

Siapa berselfie dengan siapa, Hadi ke Azmin.
Mukatamar Pas ke-63 yang akan berlangsung empat hari lagi tidak mendebarkan banyak pihak dalam kalangan Pas terutama pemimpin tertingginya. Walaupun ada pencabar untuk jawatan naib presiden, tetapi ianya bukan suatu yang menarik untuk dinanti-nantikan dan tidak begitu mendebarkan. 
Sama ada berjaya atau tidak ahli Parlimen Temerloh, Nasaruddin Hassan menjadi salah seorang naib presiden, ia bukan perkara yang dinanti-tunggukan.

Begitu juga sama ada ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad dan Pesuruhjaya Pas Selangor (kurang hafal namanya, maaf) salah seorang yang akan tersingkir, ia juga bukan sesuatu yang ingin diketahui. Cerita tersingkirnya sesiapa penyandang kerusi naib presiden kini dengan digantikan oleh Nasaruddin bukan menyeronokkan untuk didengar dan ia bukan cerita box-office di sini. 

Idris Ahmad
Bagi saya, kedudukan Pesuruhjaya Pas Selangor yang menjadi salah seorang naib presiden kini mungkin selamat. Kedudukannya di Selangor yang mana Pas ada menyimpan hajat dan telah membuka "cekandi" nafsunya untuk mengusai Selangor, pastilah naib presiden itu menjadi bakal calon MB daripada parti agama (Pas) itu. Sudah tentu bakal calon MB akan diselamatkan dalam apa juga game dan perlawanan. Kalau bakal calon tidak diselamatkan macam mana dia hendak dilantik menjadi MB.

Kenyataan dikeluarkan yang Pas Selangor akan bertanding 45 dari 56 kerusi DUN di Selangor jelas menggambarkan Pas tidak lagi mengharapkan pihak lain memimpin Selangor sebaliknya mereka mengidamnya sendiri. Sama ada hasrat itu sebagai mimpi di siang hari atau igauan di senja seore, tetapi itulah kenyataanya. Ada bantal dan tilam untuk Pas Selangor tidur dan ia boleh bermimpi.

Idris mungkin tergugat

Kalau pun tergugat ialah Idris Ahmad. Latar belakang pendidikannya bukan berasal dari Timur Tengah, Mesir atau Madinah menjadi faktor untuk beliau ditolak dan diganti dengan golongan Azhar atau Timur Tengah. Pemonopolian "belaka" jawatan Pas di kalangan lepasan Timur Tengah sedang menyala dan dijadikan aset dalam parti itu. Selain itu Idris juga dikatakan kurang disenangi memandangkan kenyataan dan ulasan-ulasan politiknya sama standard dan sekelas dengan kenyataan dan ulasan politik Mohd Amar Nik Abdullah menggunakan metafora Abu Nawas.

Bagaimana pun kedudukan Mohd Amar (Nik Amar) saya percaya beliau selamat kerana beliau akan diselamatkan. Sebagai orang yang bakal mengambil alih teraju MB Kelantan selepas Piruam akan datang Nik Amar akan dikekalkan. Mereka yang suka dengan cara politik "kecek huduh" Nik Amar akan memastikan beliau kekal di kerusi naib presiden di tempat pertama?

Dalam catatan ini saya tidak mahu menyorot mengenai apa yang berlaku dalam Pas, melebih daripada apa yang telah saya sebutkan di atas tadi kerana tidak ada apa-apa penantian mendebarkan dan dramatik lagi. Apa yang ditunggu akan berlaku perubahan kepimpinan bagi meletakkan Pas diatas landasan yang real sudah tidak akan berlaku lagi.

Pas kini sedang mengalami musim luruh dan bertukar musim. Musim ini akan kekal setidak-tidak sehingga Piraum akan datang. Kalau kepimpinan dan suasana Pas akan berubah pun selepas parti itu mengalami kekalahan teruk nanti.

Pas akan tetap kekal seperti sekarang selagi Hadi Awang masih jadi presiden dan Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi timbalan presiden. Tidak banyak beza antara kopiah Hadi dengan kopiah Tuan Ibrahim, sama-sama bulat kalaupun berbeza dari segi warna -- colour sahaja. Perbezaan warna tidak memberi apa-apa nilai dan kesan kepada orang kabur penglihatan atau pun kalau ia dilihat diwaktu malam, tanpa nur.

Kedudukan PKR Selangor
Sebaliknya apa yang hendak dianalisa di sini ialah mengenai muktamar itu ialah menegnai kedudukan PKR khususnya di Selangor dan juga nasib menteri besarnya Azmin Ali. Muktamar Pas kali ini saya percaya bukan sahaja sedang diperhati oleh pemerhati tetapi ia sedang ditunggu hasilnya oleh PKR khasnya oleh timbalan presidennya, Azmin. Azmin adalah Pengerusi PKR Selangor dan juga MB Selangor.

Situasi ini berlaku ekoran adanya suara-suara dalam Pas yang mahu memutuskan hubungan politik parti itu dengan PKR. Beberapa kawasan Pas dan begitu juga dengan Dewan Pemuda Pas telah pun membuat usul agar muktamar memutuskan hubungan dengan PKR. Usul inilah juga yang saya rasakan ditungu-tunggu oleh pemerhati muktamar Pas dan ia menjadi perhatian khas Azmin Ali.

Seandianya muktamar Pas menerima usul berkenaan ia memberi implikasi besar dari berbagai-bagai sudut khasnya kerjasama politik PKR - Pas. Terutamanya ia akan merubah senario politik di Selangor. Penerimaan usul itu nanti akan merubah status atau persefahaman politik kedua-dua parti itu yang terjalin hari ini. Penerimaan usul itu akan meretakkan hubungan di antaranya keduanya yang kini sudah pun ada retak-retak kecil.

Ia boleh menjejaskan kedudukan Pas dalam kerajaan Selangor itu sendiri dan ia juga menyebabkan Azmin Ali mengarap pelan politik lain kalau usul itu diterima sebulat suara nanti. Inilah yang saya rasakan sesuatu yang menarik dalam muktamar yang akan berlangsung di Kedah itu.

Bagi Azmin tentu beliau tidak seronok dengan cadangan usul berkenaan, dan pasti dia tidak setuju Pas memutuskan hubungan dengan PKR. Kenapa, sebab baginya kewujudan Pas di Selangor sangat penting dalam membantu dan memberi semangat kepadanya. Umum tahu bahawa keberadaan Azmin di kerusi MB itu adalah hasil daripada projek Langkah Kajang yang gagal. Tanpa ada projek LK itu Azmin tidak akan berada di situ.

Azmin pula mendapat bantuan padu daripada Pas untuk membolehkan dia duduk di kerusi MB. Cerita ini tidak perlu saya selak dan buka lagi kerana ia sudah menjadi pengetahuan umum,. Secara peribadi juga saya tahu bagaimana persepakatan Azmin dengan Pas (baca Hadi Awang) yang diuruskan oleh Mustapa Ali. Saya tahu bila dan bagaimana ia bermula.

Sebab itu Azmin dilihat selesa dan serasi dengan Hadi walaupun presiden Pas itu bukan sedikit menyakiti hati presidennya sendiri dan juga Penasihat Umum partinya, Anwar Ibrahim. Perkara ini mungkin boleh disahkan oleh Saifuddin Nasution Ismail.

Berbalik kepada situasi yang berlaku dalam Pas kini dan juga pengusulan oleh Pas itu, wajar untuk Azmin berasa berdebar menanti keputusan muktamar berkenaan. Muktamar itu memberi signifikan tersendiri kepadanya. Sekiranya muktamar mengambil keputusan tahalul syiasi dengan PKR terputus, secara automatik hubungan Azmin dengan Pas Selangor juga terpenggal. Mala petaka itu berat bagi Azmin.

 Bukan itu sahaja ia juga turut menimbulkan mala petaka kepada Pas. Ketiga-tiga orang Exco dan timbalan Speaker Dun Selangor daripada Pas juga boleh didesak untuk berundur. Demikian juga dengan ratusan penjawat lantik politik. Jika kedudukan penjawat itu kekal maka orang akan lihat aneh dan ganjillah kerajaan pimpinan Azmin.

Secara logiknya Pas tidak akan mengambil keputusan demikian. Mungkin akan ada muslihat kalau pun usul itu diterima dengan mengecualikan kedudukan Pas di Selangor. Ia boleh diubah atau dipindah sedikit, hubungan Pas dengan PKR di Selangor akan putus dari sudut parti tetapi bukan dari sudut kerajaan. Mungkin ini akan berlaku. 
Boleh jadi juga ketetapan dicapai dalam muktamar itu nanti akan dilaksanakan selepas Piraum bukannya sebelum Piraum ke-14? Keistimewaan dan keenakan apabila ada kedudukan dan pangkat tidak siapa berani mengorbankannya dan ia juga perlu dipertimbangkan Pas akan untung dan ruginya. Saya juga yakin untuk meredakan keadaan itu kalau Pas menjemput Azmin hadir pada perasmian mukatamr Pas itu beliau akan hadir dengan seselambanya.

Kenapa saya kata Azmin yang berdebar menanti keputusan muktamar Pas itu? Ada beberapa perkara kenapa Azmin berkeadaan demikian. Dia sangat sayang dengan kedudukannya sebagai MB. Jawatan MB bukan sembarangan dan senang untuk diperolehi. Untuk menjadi timbalan presiden PKR lebih mudah daripada menjadi MB Selangor, yang diperolehi melalui pelan Langkah Kajang. Jawatan disandang Azmin itu bolehlah dianggap sebagai bernasib baik sahaja, tersangkut kepadanya.

Apabila pelan Langkah Kajang gagal untuk menggantikan Dr Wan Azizah dengan Khalid Ibrahim, mengikut adat dan pendirian berpolitik, Azmin sepatutnya tidak menerima "tawaran" jawatan MB itu setelah Sultan dikatakan tidak mahu menerima Dr Wan Azizah Wan Ismail seperti mana dakwa Abdul Hadi Awang. Apa hendak jadi pun, dan betapa dia mahukan jawatan itu Azmin harus menolak demi menjaga maruah dan integriti partinya. Tetapi kenapa apabila namanya dicalonkan beliau "berlari" untuk mengangkat sumpah?

Justeru hari ini Azmin sangat menyayangi jawatan MB dan jawatan itu seakan titik awal dan akhirnya dalam politik. Mengapa tidak dengan jawatan itu beliau bukan saja boleh merancang pembangunan untuk rakyat tetapi ikut sama merancang masa depannya dalam PKR. Tiada puncak yang sedang direnung dan ditinjau sekarang ini melainkan presiden PKR. Beliau boleh dan sedang menggunakan jawatan itu untuk merukas ke atas. Perkara ini lumrah dalam politik.

Lantaran itu melihat cara dia berpolitik, mengguna dan mengeksplotasikan jawatan itu seakan dia lebih mementingkan jawatan itu daripada maruah dan semangat hubungan partinya dengan pembangkang terutamanya DAP di Selangor. Azmin boleh memperlekehkan parti AMANAH tetapi tidak DAP, kerana DAP adalah asas kepada kewujudan kerajaan yang dipanggunginya sekarang.

Apa yang Azmin balas budi kepada dua wakil Amanah dalam DUN Selangor yang bertindak berani tanpa peduli kecaman untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat, yakni Saari Sungip (Adun Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Adun Morid)? Mungkin saya tidak nampak apa yang Azmin laku atau hargai tindakan berani mereka berdua itu?
Seandai muktamar Pas mengambil keputusan sebulat suara memutuskan hubungan dengan PKR apa yang akan Azmin lakukan? Juga apakah akan berlaku kepada nasib kerajaan Selangor kini yang didokong oleh DAP, PAS dan Amanah bersama PKR?

Untuk ini saya tidak mahu membuat spekulasi di sini. Tunggu sehingga muktamar Pas itu lengsai.

Mengenai usul berkenaan ada dua kemungkinan akan berlaku; usul itu diterima tetapi tidak akan dibahaskan, ia akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pusat Pas. Jika ini berlaku bermakna debaran Azmin akan meredakan sedikit. Kemungkinan akan berlaku kesimpulan-kesimpulan di atas tadi. Bahawa dalam pilihan raya nanti Pas tetap bersama PKR. Kalau formula ini diambil belum tentu lagi kalau Selangor berjaya dikuasai PKR bersama Pas, MBnya adalah Azmin Ali.

Begitu juga kalau wujud kerjasama anih di Selangor di mana Pas masih bersama Pakatan Harapan, melawan BN satu lawan satu, MBnya belum tentu juga Azmin lagi. Sikap playsafe Amin mungkin menyebabkan dia tidak disenangi. Semua kemungkinan mendebarkan Azmin dan jika ia berlaku dan terjadi adalah kerana komplikasinya yang terlahir dari cara playsafe Azmin berpolitik. 

Jahanam PAN!: Maafkan mereka, doakan mereka, kata Amanah

MALAYSIA DATELINE

Ustaz Hasanuddin Mohd YunusUstaz Hasanuddin Mohd Yunus

Kecaman Dewan Ulamak Pas terhadap Amanah dalam muktamar sayap utama parti itu semalam tidak langsung mendatangkan kesan kepada para pemimpin parti gabungan Pakatan Harapan tersebut, malah naib presiden Amanah menasihati anggota parti itu supaya memaafkan dan mendoakan kebaikan terhadap mereka.

Naib presiden Amanah Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus dalam pesanan yang tular di media sosial mengemukakan pertanyaan, "Adakah anda semua boleh dan mampu tersenyum puas kalau ada rakan anda tersasul memaki orang lain?"

Beliau lantas memetik firman Allah SWT dalam surah Al-Hujarat ayat 11 yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik; dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan; seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."

Hasanuddin juga memetik hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:

"Memadai seseorang dikira berbuat keburukan jika dia merendahkan saudaranya sesama muslim."
Beliau juga mengingatkan tentang sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"Sesungguhnya darah kalian, harta kalian dan kehormatan kalian haram atas kalian...” (HR Bukhari Muslim)

Hasanuddin turut mengingatkan ahli Amanah bahawa setiap kumpulan umat Islam mempunyai maruah dan kehormatan walaupun cara mereka tidak dipersetujui kelompok yang lain.

Malah katanya, Rasulullah s.a.w. menghalang umat Islam mencela saudara Islamnya yang lain berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

"Mencela seorang muslim adalah kefasikan, dan membunuhnya kekufuran."

"Semoga semua yang membaca coretan sedia memaafkan mereka.

"Tuhan akan tinggikan kemuliaan dan maruah kita apabila kita bersabar, memaafkan dan mendoakan keampunan buat mereka yang melaknat dan mencerca kita," ujarnya.

Semalam, Ketua Dewan Ulama Pas Kedah Mohd Rejab Md Akhir meminta para perwakilan supaya berdiri dan mengetuai ikrar yang diakhiri dengan laungan 'jahanam PAN' (Amanah), diikuti laungan takbir.

“Sebelum saya memulakan ucapan, saya minta semua berdiri kita baca ikrar ‘Jahanam PAN’,” kata Rejab ketika menyampaikan ucapan pembukaan yang dirasmikan Timbalan Mursyidul Am Datuk Ahmad Yakob.

Bagaimanapun, rata-rata pengguna media sosial mengecam sikap Pas tersebut sekaligus mempersoalkan sejauh mana parti yang memusuhi Pakatan Harapan itu mengamalkan 'budaya politik matang dan sejahtera' seperti yang dilaungkan.

Sementara itu, penganalisis politik yang juga pensyarah universiti awam, Dr A Zachary S memandang berat kecenderungan pemimpin Pas mengutuk dan melaknat lawan politik mereka.

Menurut beliau, perkataan 'laknat' boleh dilihat dari dua makna iaitu cerca, kutuk dan pengusiran dari rahmat Allah.

Dr Zachary menjelaskan, melaknat orang mukmin lain oleh seorang mukmin termasuk dalam perkara dosa dan Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesiapa yang melaknat seseorang Mukmin, maka itu seperti membunuhnya." [HR Bukhari, 10/464]
Malah tambah beliau, Allah SWT sendiri melarang umat Islam melaknat seorang kafir secara individu.

Menurutnya, Rasulullah s.a.w. pernah ditegur Allah SWT kerana mendoa laknat Abu Jahal dan kafir Quraisy menerusi firman-Nya:

"Tidak ada sedikit pun campur tanganmu dalam urusan mereka itu atau Allah menerima taubat mereka atau mengazab mereka kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim." [Ali Imran: 128]

"Hukum melaknat orang kafir yang masih hidup dilarang oleh Allah kerana boleh jadi Allah merahmati dia sehingga dia mendapatkan hidayah untuk memeluk Islam dan menjadi orang mukmin.

"Jika orang kafir pun dilarang Allah kita melaknat, inikan pula sesama muslim dan mukmin?" ujar beliau.

MPT batal lesen jika peniaga guna polisterin

Bernama

Arahan berkaitan larangan itu telah dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang kepada peniaga di bawah kawasan pentadbirannya

TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan membatalkan lesen perniagaan dan mengenakan kompaun RM250 kepada peniaga di bandar itu yang masih berdegil menggunakan bekas makanan serta minuman polisterin.

Yang Dipertua MPT, Abdul Rahim Md Arif berkata arahan berkaitan larangan itu telah dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang kepada peniaga di bawah kawasan pentadbirannya.

“Kerajaan negeri telah meuar-uarkan larangan penggunaan polisterin sejak tahun lalu dan ia telah dipraktikkan dalam majlis-majlis keramaian anjuran MPT,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MPT bulan April di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata MPT menawarkan potongan kompaun sebanyak 50 peratus selama sebulan mulai 1 Mei depan bagi kesalahan lalu lintas di bandar itu.

Katanya orang ramai boleh mendapatkan tawaran kompaun di kaunter hasil MPT di Wisma MPT dari 8 pagi hingga 3.45 petang pada waktu pejabat.

Sementara itu Abdul Rahim berkata MPT telah dan sedang melaksanakan lukisan mural di beberapa kawasan di Taiping dalam usaha mempromosikan bandar tersebut kepada pelancong.

“Projek ini melibatkan 13 mural yang dilaksanakan dalam tiga fasa membabitkan kos keseluruhan RM27,300,” katanya.-Bernama

PKR, MB Selangor ghairah konsert Selena Gomez, dakwa Pas

ARIF ATAN

Datuk Seri Mohd Azmin AliDatuk Seri Mohd Azmin Ali

Mengungkit penganjuran konsert artis Amerika Syarikat Selena Gomez di Shah Alam, seorang perwakilan Pemuda Pas menjadikan program hiburan tahun lalu itu sebagai contoh sikap PKR terhadap Islam.

"Ia antara contoh bagaimana PKR tidak komited untuk memperkukuh Islam. Antara lima garis panduan tahaluf Majlis Syura Pas (adalah) mesti wasilah untuk perkukuhan Islam.

“PKR di Selangor, MB (Datuk Seri Azmin Ali) tidak bersungguh-sungguh untuk perkuatkan Islam. Macam mana mereka ghairah (dengan) konsert Selena Gomez?

"Tak ambil peduli suara yang dikemukalan kita dari Pas, umat Islam dan NGO-NGO Islam,” kata Aubidullah Fahim Ibrahim ketika berucap bagi menyokong usul untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Tahun lalu, Pas walaupun sebahagian kerajaan negeri Selangor membantah konsert 'Selena Gomez The Revival Tour' daripaa pelbagai kenyataan sehingga demonstrasi penyerahan memorandum pada minggu-minggu terakhir program itu dijadualkan berlangsung pada 25 Julai.

Menurutnya lagi, komitmen untuk mengukuhkan Islam merupakan antara syarat dalam kerjasama antara Pas dan PKR.

Selain itu, dia turut menyebut sikap PKR sebagai sebuah parti oportunis yang bertindak tanpa berunding dengan sekutunya juga antara faktor hubungan politik kedua-dua parti tersebut dihentikan.
Usul tersebut kemudiannya diluluskan dengan sebulat suara.

Jangan sampai dilihat 'kebuloq' sayangkan jawatan, kata MP kepada Pas

MALAYSIA DATELINE

Jangan sampai orang kata kebuloq sayangkan jawatan, kata Mahfuz Omar kepada Pas.Jangan sampai orang kata kebuloq sayangkan jawatan, kata Mahfuz Omar kepada Pas.

Ahli parlimen Pas meminta pimpinan parti itu agar jangan sampai dilihat 'kebuloq' (gila) hendakkan jawatan apabila memutuskan hubungan dengan PKR tetapi mahu kekal dalam kerajaan negeri Selangor yang menteri besarnya adalah pemimpin PKR.

Ahli parlimen Pas dari Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau dari awal lagi mahu Pas mengekalkan hubungan dengan parti pembangkang yang lain khasnya PKR.

"Tetapi kalau sudah kita buat keputusan putus dengan PKR, kita kena keluarlah dari kerajaan negeri Selangor. Kalau kita kekal dalam kerajaan negeri Selangor, nanti orang kata kita 'kebuloq' nak jawatan," kata bekas naib presiden dan ketua penerangan Pas itu.

Mahfuz tidak bersetuju dengan kenyataan ketua pemuda Pas yang baru Mohamad Khalil Abdul Hadi yang berkata Pas tidak perlu keluar dari kerajaan negeri Selangor walaupun memutuskan hubungan dengan PKR.

"Exco Selangor dilantik atas cadangan menteri besar. MB adalah dari PKR. Bila sudah putus hubungan dengan PKR, kena berundurlah.

"Rakyat hanya melantik Adun dan ahli parlimen tetapi exco dilantik atas nasihat dan cadangan MB bukan oleh rakyat," kata Mahfuz.

Mahfuz mengingatkan Khalil, yang kebetulan anak presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu, ketika Datuk Seri Azmin Ali dilantik sebagai menteri besar beliau hanya melantik tiga exco Pas sahaja.

Ia berbeza dengan bilangan exco Pas ketika Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi menteri besar iaitu empat orang.
"Ini menunjukkan nak lantik exco dan bilangannya berapa bergantung kepada menteri besar bukan ditentukan oleh rakyat," katanya.

Muktamar Dewan Ulama dan Dewan Pemuda Pas di Alor Setar kali ini telah meluluskan usul agar Pas memutuskan hubungan dengan PKR.

Usul itu diserahkan kepada kepada Majlis Syura Pas untuk dibuat keputusan akhir sebelum dilaksanakan.
Khalil ketika sidang media mengumumkan, Pas tidak perlu keluar dari kerajaan negeri Selangor kerana exco bukan dilantik oleh PKR atau DAP.

Ibu pejajar tahfiz dipanggil polis bantu siasatan

 BERNAMA




Ibu pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang meninggal dunia selepas kedua-duanya kakinya dipotong akibat dijangkiti kuman selepas dilaporkan dipukul pembantu warden madrasah itu, telah dipanggil memberi keterangan kepada polis di sini, hari ini.

Bapa Allahyarham, Mohd Gaddafi Mat Karim, 43, berkata keterangan isterinya Felda Wani Ahmad, 40, itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi pada sebelah pagi.

Ia bagi membantu siasatan kes kematian anaknya itu yang kini diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh, katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumah bapanya di Felda Bukit Aping Timur di sini, hari ini.

Kata Mohd Gaddafi, dia dan anggota keluarganya sudah reda dengan pemergian Allahyarham namun masih merinduinya.

"Saya juga ada berasa tidak puas hati kerana ada sesetengah pihak yang menyalahkan saya dan ibunya.
Nasib baik masa arwah sakit, dia sempat memberi keterangan kepada polis dan doktor tentang kesakitan yang dialami dan bagaimana dia dipukul. Dia ini budak, dia tidak akan berbohong," katanya.

Felda Wani berkata dia tidak menyalahkan pihak madrasah dalam kes kematian anaknya, jauh sekali ingin menuding jari pada sesiapa.

"Benda (siasatan kes) ini sedang berjalan tetapi laporan yang saya buat itu berdasarkan kepada apa yang dia (Allahyarham) cakap.

“Kita pun bukan hendak menuding jari pada sesiapa, cuma hendak cari jalan terbaik... anak saya pun sudah tiada, hendak buat apa? Bukan dia boleh kembali. Semua yang berlaku adalah perancangan Allah dan Allahyarham menjadi pilihanNya,” katanya.

Felda Wani berkata sebagai ibu yang menyaksikan sendiri kesakitan ditanggung anaknya, dia hanya mampu menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada polis dan bekerjasama dengan sebaiknya.

"Kita tidak tahu apa sebenarnya terjadi. Mungkin anak saya ada sakit ke apa, kita tidak tahu. Jadi, kami sekeluarga sedang memberi kerjasama untuk siasatan," katanya.

Mohamad Thaqif Amin, 11, yang dipotong kedua-dua belah kaki hingga paras paha akibat dijangkiti kuman setelah dilaporkan dipukul pembantu warden sekolahnya, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail dekat sini pada petang Rabu.

Najib: Tiada guna berpendapatan tinggi jika tak gembira

MALAYSIAKINI


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kegembiraan adalah perkara subjektif dan pastinya berbeza mengikut setiap individu tetapi ini akan menyuntik semangat untuk meneruskan kehidupan seharian dengan jaya.

Sambil mengakui kegembiraan adalah matlamat asas bagi setiap orang, katanya, kajian menunjukkan bahawa tahap kegembiraan tidak selalunya seiring dengan kemajuan.

“Tiada gunanya kita berpendapatan tinggi tetapi tidak gembira,” katanya menerusi satu catatan di blog beliau, hari ini.

Najib mengulas prestasi Malaysia yang berjaya naik 5 anak tangga dalam Laporan Kegembiraan Dunia 2017 Gallup World Poll yang disiarkan baru-baru ini di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Sebaliknya, beliau berkata tahap kegembiraan rakyat negara ini dinilai berdasarkan faktor kebebasan, taraf pendapatan, kesihatan dan tahap kebajikan.

Malah, katanya, pencapaian Malaysia mendahului negara-negara maju seperti Jepun, Russia, Itali, Korea Selatan dan negara China.

“Ada yang gembira kerana dapat pergi bercuti merata tempat, ada yang gembira kerana bahagia bersama keluarga, ada yang gembira kerana perniagaan maju dan sebagainya.

“Tetapi sejauh mana rakyat Malaysia gembira? Malaysia berjaya naik lima anak tangga daripada kedudukan ke-47 tahun lepas kepada kedudukan 42 tahun ini,” katanya sambil mengingatkan rakyat supaya produktiviti dengan bekerja keras.

“Tetapi jangan sampai mengakibatkan tekanan emosi yang melampau.

“Tenangkan fikiran dengan beriadah dan meluangkan masa bersama keluarga agar kita dapat mengimbangi antara keceriaan dan kemajuan diri sendiri,” katanya.

Penghuni madrasah tahfiz jalani pemeriksaan kesihatan


SELANGOR KINI



SHAH ALAM: Seramai 107 pelajar dan 14 kakitangan di madrasah tahfiz di Kota Tinggi, Johor menjalani pemeriksaan kesihatan, kata pengetuanya.

Tindakan itu susulan titah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah yang mahu pelajar lain menjalani pemeriksaan kesihatan.

Madrasah terbabit adalah tempat Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi belajar sebelum ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata, Jabatan Kesihatan sudah memeriksa sejumlah pelajar di madrasah berkenaan bagi memastikan tiada yang mengalami simptom sama seperti Mohamad Thaqif.

Terdahulu, Mohamad Thaqif yang dipotong kedua kaki hingga paras paha ekoran dijangkiti kuman selepas dipercayai didera pembantu warden madrasah itu meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail.


Wanita tertua di Malaysia meninggal dunia


SELANGOR KINI

Al-Fatihah

SHAH ALAM: Wanita tertua di Malaysia, Puan Ahmad yang berusia 121 tahun meninggal dunia di rumah cucunya di Kampung Bendahara, Kodiang, Kedah, tengah hari ini.

Cucunya, Zaini Noh, 44, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi dua anak dan cucunya pada jam 1.30 tengah hari ekoran sakit tua sejak seminggu lalu.

Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Tok Puan, mempunyai empat anak berusia 65 hingga 90 tahun, 19 cucu dan dan 70 cicit, serta seorang piut.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Batu 4, Kampung Bendahara.
Sumber: BERNAMA

Selepas Ulama, Dewan Pemuda PAS pula lulus usul putus hubungan dengan PKR

Oleh Shuhaniza Said & Ainor Maziyyah Rahim
Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Sebagaimana keputusan Dewan Ulama PAS, Muktamar Dewan Pemuda hari ini meluluskan usul untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR. 
 
Usul yang dibawa oleh perwakilan Terengganu Abdul Rahman Che Mat, itu terdahulu diterima sebulat suara tanpa bantahan. 
 
Ketika membawa usul tersebut, Abdul Rahman berkata ia berdasarkan sikap PKR yang tidak menghormati PAS sebagai rakan tahaluf siyasi.
 
"Berlaku pelbagai jenis serangan dan tohmahan kepada batang tubuh presiden dan Parti Islam SeMalaysia (PAS). 
 
"Sebelum ini kita melakukan tahaluf siyasi dengan mereka dengan beberapa syarat yang ditetapkan dan berdasarkan syarat yang telah dilanggar, kami cadangkan untuk putuskan hubungan. Cerai talak tiga," katanya.
 
Sejurus selepas keputusan itu diumumkan Timbalan Pengerusi Tetap, Dr Riduan Mohd Nor, para perwakilan menyambut dengan laungan takbir.
 
Usul itu bagaimanapun akan dibawa ke peringkat PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk dimuktamadkan.
 
Sekiranya peringkat tertinggi membuat keputusan untuk memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR, ia bakal menyaksikan pertembungan di antara dua parti itu pada pilihan raya akan datang. 
 
PAS sebelum ini memutuskan hubungan dengan DAP, selepas ia terus menerus melontarkan serangan kepada Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  dan parti itu, khususnya bersabit cadangan pelaksanaan hudu
 
 

PAS perlu saman Sarawak Report untuk bersihkan namanya

Oleh Farhain Mazlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tindakan PAS memfailkan saman kepada portal Sarawak Report wajar dan kena pada masanya untuk membersihkan nama baik parti tersebut.
 
Penganalisis politik Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, PAS tiada cara lain untuk meyakinkan semua pihak bahawa partinya langsung tidak menerima dana RM90 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, seperti yang didakwa portal itu. 
 
“Saya rasa ini satu perkara yang wajar diambil tindakan oleh pihak PAS kerana ianya telah menjejaskan nama baik parti berkenaan ekoran tuduhan yang dibuat oleh Sarawak Report ini.
 
“Jadi apabila kes ini dibawa ke mahkamah sudah pasti Sarawak Report mestilah mempertahankan dakwaannya jika dia percaya dakwaan dia betul tetapi jika Sarawak Report tidak dapat pertahankan dakwaan dia maka sudah tentu Sarawak Report terpaksa mengambil risiko membayar ganti rugi kepada PAS,” katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Beliau berkata, saman yang dikemukakan PAS itu akan menghalang mana-mana pihak daripada menjadikan isu dana RM90 juta itu sebagai 'senjata' untuk menyerang parti itu.
 
Pemimpin PAS sebelum ini menafikan laporan portal itu namun seteru politik parti itu tetap menyerang mereka menggunakan isu tersebut.
 
Terbaru, pendedahan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kononnya pemimpin PAS menerima dana daripada 1MDB, sebelum mengubah kenyataan kepada 'bekas pemimpin PAS menerima dana daripada Najib'.
 
“Sekurang-kurangnya jadi bila dia (PAS) saman maka kes itu akan jadi kes mahkamah dan sekaligus mana-mana pihak tidak boleh gunakan laporan Sarawak Report ini untuk menghentam PAS dalam pilihan raya kerana dia menjadi “sub judice” kepada kes mahkamah.
 
“Bila kes ini jadi kes mahkamah jadi semua pihak mesti menghormati prosedur mahkamah dan tidak menjadikan isu ini sebagai isu politik” katanya.
 
Untuk rekod, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 21 April lepas memfailkan saman kepada portal dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown di Mahkamah Tinggi London.
 
 

Rafizi berasa lucu wakil Pemuda PAS Selangor cabarnya bertanding PRU14

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Rafizi Ramli berkata beliau adalah pemimpin pembangkang Melayu pertama yang memenangi kerusi Parlimen Pandan dengan majoriti yang tinggi, justeru tidak gentar untuk terus bertanding di kawasan tersebut.
 
Rafizi berkata beliau berasa lucu dengan cabaran Perwakilan Pemuda PAS Selangor, Mohd Sukri Omar  yang mencabarnya menjadi 'anak jantan' dan terus bertanding di Parlimen Pandan.
 
"Saya adalah wakil pembangkang pertama yang memenangi kerusi itu dengan majoriti yang besar iaitu sekitar 27,000 undi (atau 67 peratus undi popular).
 
"Malah, kemenangan PRU13 lalu menjadikan saya ahli Parlimen Melayu pembangkang yang mempunyai saiz majoriti paling besar di seluruh negara, jauh meninggalkan sahabat-sahabat dari PAS," ujarnya menerusi kenyataan medianya hari ini.
 
Pun begitu ujar Rafizi, beliau tidak dapat bertanding pada pilihan raya akan datang selepas didakwa di mahkamah selepas membongkarkan beberapa kes penyelewengan membabitkan pentadbiran negara ini.
 
"Saya berasa lucu dengan cabaran itu kerana jika tidak kerana tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang secara berterusan mengheret saya ke mahkamah (sama ada pertuduhan jenayah atau saman sivil), saya sudah tentu akan mempertahankan kerusi Parlimen Pandan.
 
"Sebab itu adalah sangat lucu apabila Pemuda PAS mencabar saya bertanding di Pandan kerana saya bukannya takut atau mahu lari ke mana-mana!
 
"Masalahnya saya telah dijatuhkan hukuman penjara satu setengah tahun atas pertuduhan membongkar Laporan Ketua Audit Negara yang mendedahkan bagaimana 1MDB tidak membayar anak syarikat LTAT dan geran kerajaan diambil 1MDB walaupun ia dikeluarkan untuk anak syarikat LTAT.
 
"Atas sabitan itu, saya tidak dapat bertanding lagi dalam pilihanraya akan datang," ujarnya.
 
Terdahulu Sukri mencabar Rafizi terus bertanding di Parlimen Pandan dan berdepan dengan jentera pilihan raya PAS pada pilihan raya akan datang.
 
Rafizi menjadi sasaran Perwakilan Pemuda PAS Selangor itu, selepas cuba mengaitkan partinya dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Namun, Rafizi dalam kenyataan hari ini terus mengaitkan parti itu dengan dana awam itu.
 
"Malangnya ada pimpinan PAS (dulu dan kini) yang lebih selesa menerima wang rakyat terus dari perdana menteri, atau lagi selesa menyertai rombongan ke luar negara bersama pimpinan kerajaan, atau lebih selesa hadir dalam majlis Kelab Umno di United Kingdom, atau lebih selesa tidak mengundi di Parlimen bila mana belanjawan yang mengutip GST dan menekan rakyat dibentangkan Najib," katanya.
 
 

Mahkamah batal saman Mahathir terhadap Najib

ANTARAPOS.COM
Post Pic


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berjaya membatalkan saman dikemukakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain berhubung dakwaan Perdana Menteri melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam dan pentadbiran membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Abu Bakar Jais membenarkan permohonan Najib selaku defendan untuk membatalkan saman dikemukakan Dr Mahathir; bekas Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan; dan bekas ahli Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin, selepas mendapati tuntutan saman berkenaan tidak boleh dipertahankan.

Peguam mewakili Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun, ketika ditemui, berkata Abu Bakar yang membuat keputusan itu dalam kamar hakim turut memutuskan bahawa saman berkenaan tidak mempunyai sebarang kuasa tindakan, remeh dan menyusahkan.

Mohd Hafarizam berkata, mahkamah bersetuju dengan alasan pihaknya bahawa adalah salah bagi plaintif dalam pernyataan tuntutan mereka untuk mendakwa Najib selaku penjawat awam, dan melakukan perbuatan salah laku itu.

Katanya, ia adalah kerana mahkamah mendapati Perdana Menteri bukan penjawat awam mengikut takrifan Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya ahli pentadbiran.

"Oleh kerana mahkamah benarkan permohonan kami untuk batalkan saman itu kerana Perdana Menteri bukan penjawat awam, maka mahkamah tidak perlu lagi meneliti elemen kedua dalam saman itu, iaitu berhubung dakwaan Najib melanggar tugas fidusiari," katanya.

Mohd Hafarizam berkata, mahkamah kemudian memerintahkan ketiga-tiga plaintif membayar kos kepada defendan sebanyak RM30,000.

Melalui pernyataan tuntutan difailkan 23 Mac tahun lalu, plaintif mendakwa Najib sengaja mengganggu siasatan dakwaan mengenai 1MDB dan syarikat berkaitan, serta siasatan aliran masuk wang RM2.6 bilion dan RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadinya.

Mereka mendakwa Najib melakukan tindakan dan langkah tindasan sehingga menyebabkan beliau dapat mengelak daripada berdepan kesan dan akibat di sisi undang-undang atas segala dakwaan salah laku atau perbuatan jenayah

Rabu, 26 April 2017

'Thaqif hembus nafas terakhir di hadapan saya'


ULASAN Telah ditakdirkan lawatan saya untuk bertemu dengan mangsa pelajar tahfiz yang dikatakan telah dipukul baru-baru ini membawa khabar sedih apabila adik Mohamad Thaqif Mohd Gaddafi telah menghembuskan nafas terakhir di hadapan saya.

Suatu yang memeranjatkan apabila adik Thaqif atau dikenali sebagai Hakim pada awalnya stabil tetapi tidak lama dalam lawatan saya bersama Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Saudara Faiz Fadzil telah menjadi saksi mata apabila adik Thaqif meninggal dunia di hadapan kami.

Sekitar jam 1:55 petang, suasana hiba menyelubungi apabila mesin bantuan penafasan adik Thaqif menunjukkan beliau sudah pulang bertemu Penciptanya dan keadaan itu mendetak sanubari seorang bapa seperti saya.

Akhirnya saya akur apabila doktor yang bertugas waktu itu telah mengesahkan adik Thaqif telah meninggal dunia dan saya melembutkan tangan merapat mata allahyarham di saat beliau kembali.

Jenazah adik Thaqif terlalu menyayat hati dengan tubuh yang kecil serta kaku tanpa kedua belah kaki yang telah dipotong serta tubuh yang kerdil itu lesu sehingga akhir hayatnya dan dalam pengamatan saya adik Thaqif yang selama berjuang untuk mendalami al-Quran ini seperti sedang tidur tanpa sebarang kesakitan di saat akhir hayatnya.

Hasrat lawatan saya adalah untuk memberi sekurang-kurangnya sedikit harapan tetapi apakan daya hajat itu tidak tercapai dan saya selaku wakil AMAMAH Johor berasa dukacita atas pemergian adik Thaqif ini.

Pihak Parti Amanah mengharapkan siasatan ke atas pihak bertanggungjawab perlu dilakukan dengan siasatan terperinci bagi memastikan perkara yang berlaku ke atas adik Thaqif ini tidak berulang sama ada di sekolah tersebut atau di sekolah-sekolah lain.

Melalui maklumat yang saya terima daripada bapa mangsa Saudara Mohd Gaddafi Karim menyatakan ada berlakunya unsur penderaan ke atas anak beliau sewaktu adik Thaqif belajar di sekolah Tahfiz tersebut.

Saya mewakili pimpinan dan ahli AMANAH seluruh negara dengan ini mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga mangsa di atas kehilangan adik Thaqif dan mengharapkan keluarga mangsa dapat bersabar dan tabah dengan takdir yang telah menimpa mereka serta iringan doa saya tadahkan kepada Allahyarham Adik Mohammad Thaqif.

AMINOLHUDA HASSAN adalah pengerusi AMANAH negeri Johor.

Menteri: Ada surat sahkan Aabar BVI anak syarikat IPIC

MALAYSIAKINI



EKSKLUSIF Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendedahkan kewujudan sepucuk surat yang mengesahkan Aabar Investments PJS Ltd (BVI) anak syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC), walaupun syarikat Abu Dhabi itu menafikannya.

Katanya, berdasarkan rekod dibekalkan 1MDB kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum perjanjian penyelesaian, Aabar Investments PJS Ltd (BVI) ialah anak syarikat IPIC.

“Malah, ia disahkan oleh Pendaftar Hal Ehwal Korporat British Virgin Islands dalam surat bertarikh 11 Ogos 2016,” katanya kepada Malaysiakini.

Johari, yang menyelia pelan rasionalisasi 1MDB berkata, atas sebab itulah Kementerian Kewangan memutuskan untuk meneruskan prosiding timbang tara.

Pendedahan menteri membuatkan sumber yang mengetahui perkara itu mempersoalkan kenapa pasukan Malaysia menerima penyelesaian dengan IPIC, walaupun mempunyai bukti kukuh untuk memenangi kes.
Ini, kata sumber, mencadangkan bahawa IPIC mungkin mempunyai kelebihan sendiri.

Jika proses timbang tara diteruskan dan isu itu diheret lebih panjang, ia mungkin membawa IPIC kepada penelitian pada destinasi terakhir dana itu selepas dipindahkan ke Aabar BVI.

Ini mungkin melibatkan beberapa personaliti di pihak Malaysia terdedah.

Sementara itu, Johari sejak Ogos lalu telah menyatakan keyakinannya bahawa 1MDB akan berjaya dalam proses timbang tara dengan IPIC susulan pemilikan “dokumen” yang dimiliki mereka.

Johari ketika itu bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas jenis dokumen itu.

Antara 2012 hingga 2014, 1MDB telah membuat beberapa pembayaran bernilai AS$3.51 bilion kepada Aabar Investments PJS Ltd (BVI) (Aabar BVI), yang namanya hampir sama dengan anak syarikat IPIC, Aabar Investment PJS (Aabar).

Pemilikan sebenar Aabar BVI tidak dipastikan dengan jelas ketika IPIC menafikan mempunyai kaitan dengannya.

Pengarah-pengarah Aabar BVI, Kadem Abdullah al-Qubaisi dan Mohamad Ahmed Badawi Al-Husseiny turut mempunyai jawatan dalam syarikat Aabar yang sah tetapi dipecat kemudiannya.

Masih tidak jelas sama ada kedua-dua individu itu menyalahgunakan kuasa mereka untuk mendaftar Aabar BVI bawah nama IPIC.

Malaysia, dalam timbang tara itu, berhujah bahawa Aabar BVI memang anak syarikat IPIC yang menerima AS$3.51 bilion dan ini dapat menyelesaikan sebahagian tuntutan AS$6.5 bilion terhadap 1MDB.

Tuntutan IPIC termasuk AS$3.5 bilion bayaran pokok terhadap dua bon dan AS$1.3 bilion untuk kepentingan masa hadapan, yang dijamin 1MDB, atas andaian dana Malaysia itu gagal membuat bayaran, dalam satu lagi bayaran opsyen penamatan bernilai AS $481 juga.

Langkah pasukan Malaysia 

Pasukan Malaysia, dalam penyelesaian terkini kelihatan membatalkan rancangan untuk menggunakan bayaran terhadap Aabar BVI – jika ia benar-benar milik IPIC – sebagai sebagai reaksi terhadap tuntutan IPIC itu.

Sebaliknya, pengumuman IPIC kepada Bursa Saham London berkata bayaran untuk Aabar BVI akan dibincangkan kemudian.

Ini berdasarkan ayat digunakan dalam pengumuman itu: “Pihak-pihak bersetuju berbincang dengan niat yang baik berkaitan bayaran-bayaran dibuat oleh Kumpulan 1MDB kepada pihak-pihak tertentu”.

Malaysiakini difahamkan bahawa keputusan penyelesaian itu dibuat baru-baru ini.

Johari, yang mendukung timbang tara itu, dilihat menjarakkan dirinya daripada keputusan itu.

“Seperti saya maklumkan sebelum ini, saya tidak terlibat dalam proses rundingan antara IPIC, 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri berkaitan penyelesaian dengan IPIC, oleh itu saya tidak dapat berikan sebarang maklumat,” katanya.

Walaupun begitu, Johari menjadi sasaran kritikan susulan peranannya sebagai jurucakap kerajaan dalam rancangan rasionalisasi 1MDB.

Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua antaranya mempersoalkan apa sudah jadi terhadap keyakinan Johari bahawa Malaysia boleh menang dalam proses timbang tara itu dan apa yang berlaku kepada wang RM3.51 bilion yang dibayar kepada Aabar BVI.

Menjawab perkara itu, Johari berkata, lebih baik Pua sebagai anggota PAC menyalurkan soalan itu langsung kepada anggota lembaga dan pengurusan 1MDB atau Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkaitan perkara itu.
“Saya haya akan jawab soalannya jika saya ada fakta,” katanya.

Akbar Singapura Straits Times menamakan pengarah bahagian ekonomi PMO Amhari Efendi Nazaruddin senahai individu utama terlibat dalam rundingan penyelesaian itu.

Bagaimanapun masih tidak jelas sama ada Amhari bertindak demikian atau sebagai orang tengah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga menteri kewangan.

Ketika ditanya berkaitan peranannya, Amhari meminta perkara itu diajukan terus kepada setiausaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Shah Tengku Ahmad.

“Saya tidak dapat jawab perkara itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Tengku Sariffuddin pula tidak memberikan maklum balas terhadap cubaan Malaysiakini menghubunginya itu.

Individu utama lain terlibat dalam rundingan itu adalah Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, yang juga ketua setiausaha perbendaharaan serta Pengerusi EksekutiF Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Kedua-dua mereka juga tidak memberi maklum balas terhadap permintaan komen daripada Malaysiakini.

Kenyataan rapi

Kerajaan dan 1MDB setakat ini terperangkap dengan kenyataan yang disusun rapi sejurus selepas penyelesaian itu diumumkan pada Isnin lalu.

1MDB dalam satu kenyataan berkata penyelesaian timbang tara itu “memaparkan resolusi satu cabaran besar dan menjadi bahagian penting dalam pelan rasionalisasi 1MDB yang kini di peringkat akhir untuk disempurnakan.”

Sementara itu, Tengku Sariffuddin dalam kenyataannya memuji perkembangan penting itu yang katanya, menunjukkan kemajuan positif berterusan dicatatkan oleh 1MDB yang kini hampir menyelesaikan program rasionalisasinya.

Tidak ada satu pun kenyataan berkenaan menyentuh mengenai apa yang berlaku terhadap wang AS$3.51 bilion yang telah dibayar kepada Aabar BVI, yang masih belum dipertanggungjawabkan.

Menurut Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat, Aabar BVI digunakan sebagai saluran untuk mengalihkan wang daripada 1MDB.

Saman DOJ mencatatkan bagaimana kira-kira AS$1.367 bilion daripada AS$3.51 bilion yang dibayar kepada Aabar BVI melalui beberapa perantara, berakhir dengan pegawai-pegawai Aabar dan 1MDB.

Menurut saman itu, antara yang mendapat manfaat adalah Red Granite, sebuah syarikat milik Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada Najib yang juga disebut sebagai "Malaysian Official 1" (MO1).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan juga pernah mengesahkan bahawa MO1 adalah Najib.

Najib bagaimanapun konsisten dalam menafikan sebarang salah laku atau mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Meskipun siasatan DOJ menunjukkan bahawa dana yang dihantar kepada Aabar BVI kemudiannya disalah guna, 1MDB bertegas, sepanjang pengetahuan syarikat itu, wang berkenaan telah dibayar.

Hujah sama digunakan dalam menegaskan bahawa dakwaan balas berhubung tuduhan IPIC, berdasarkan kepercayaan bahawa ini boleh membuktikan bahawa Aabar BVI sememangnya dimiliki oleh IPIC.

PDRM kenal pasti sekolah bermasalah gengsterisme, kata KPN

Bernama

Polis telah mengenal pasti sekolah yang mempunyai masalah gengsterisme di seluruh negara dan tindakan segera akan diambil, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

KUANTAN: Polis telah mengenal pasti sekolah yang mempunyai masalah gengsterisme di seluruh negara dan tindakan segera akan diambil, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata arahan telah dikeluarkan kepada pegawai perhubungan sekolah supaya bekerjasama dengan guru disiplin khususnya ,selepas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi kelonggaran sepenuhnya kepada polis menjalankan siasatan di sekolah.

Katanya  sekolah yang terlibat dengan gengsterisme juga dinasihatkan untuk tidak menyembunyikan kegiatan itu daripada pengetahuan polis, sebaliknya perlu tampil ke hadapan supaya masalah terbabit boleh dibanteras di peringkat awal.

“Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan telah bermula khususnya di Selangor yang mana kita sedang mengumpul risikan dan maklumat berkaitan penuntut dan bekas penuntut yang terlibat. Guru-guru jangan simpan masalah ini, kalau diamkan , (ia) tidak membantu sesiapa.

“Ibu bapa juga perlu awasi anak-anak mereka. Langkah mengatasinya perlu dilakukan sekarang supaya  masalah ini tidak menjadi duri dalam daging dan mendatangkan lebih banyak masalah pada masa hadapan,” katanya.

Khalid berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas  Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani yang bersara wajib kepada Rosli Ab Rahman di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Beliau memaklumkan setakat ini, sebanyak 35 pelajar  telah ditangkap berkaitan isu gengsterisme, iaitu kerana disyaki terlibat dengan kumpulan kongsi gelap Geng 24 di Selangor.

Khalid juga tidak menolak kemungkinan terdapat orang dewasa yang menjadi dalang dalam pembabitan pelajar berkeanaan, selain persepsi silap pelajar itu sendiri yang merasakan mereka berkuasa jika menganggotai kumpulan kongsi gelap.

“Pelajar ini cuba untuk menonjolkan identiti mereka dan mereka mengagung-agungkan rakan senior yang pernah ditangkap. Kita kena betulkan pemikiran mereka yang memandang tinggi kawan yang kononnya berkuasa,” katanya.,

Khalid berkata  polis juga akan menjalin kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah bagi mencari penyelesaian masalah itu

RUU355 Hadi dijangka dibentang dan tangguh lagi


Usul rang undang-undang (RUU) persendirian yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka dibentangkan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat, Khamis ini dan bakal ditangguhkan lagi.

Anggota-anggota parlimen BN juga sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dalam taklimat yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara itu disahkan oleh seorang anggota parlimen Umno kepada Malaysiakini yang enggan namanya disiarkan, berikutan diminta tidak bercakap kepada pihak media.

"Saya rasa ia pada hari terakhir. Pada Khamis. Dan ia hanya bentangkan rang undang-undang itu, saya rasa tak ada perbahasan," katanya

Ahad lepas, Ahmad Zahid berkata usul rang undang-undang persendirian oleh Abdul Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, tidak akan diundi pada sidang kali ini.

Bagaimanapun pada masa itu beliau tidak mendedahkan bahawa usul itu akan dibentangkan.

Anggota Parlimen Umno itu berkata, anggota-anggota parlimen daripada parti komponen BN seperti MCA dan MIC juga turut hadir dalam taklimat berkenaan.

Ditanya sama ada MCA dan parti komponen lain membantah pembentangan usul itu, Anggota Parlimen Umno itu berkata Zahid tidak meminta pandangan tetapi hanya memberi taklimat kepada mereka.

"Tidak, sebenarnya timbalan perdana menteri tak tanya kepada mereka. Hanya taklimat," katanya.

Selepas usul Abdul Hadi yang dibentangkan pada sidang dewan rakyat yang lalu ditangguhkan, ia menikmati keutamaan untuk berada di bawah urusan-urusan bukan kerajaan, menurut peraturan Mesyuarat 15 (5).

Ini bermaksud pada persidangan Dewan Rakyat akan datang, rang undang-undang persendirian itu hanya akan dapat dibahas selepas semua urusan kerajaan selesai.

Bagaimanapun, keputusan muktamad masih terletak di tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Hari terakhir persidangan Dewan Rakyat jatuh pada Khamis ini.

Sebanyak 57,519 kes keganasan terhadap wanita dilapor sejak 2010

Bernama

Chew Mei Fun berkata jumlah tersebut merangkumi bilangan kes keganasan rumah tangga dan kes-kes jenayah di bawah Kanun Keseksaan yang melibatkan wanita sebagai mangsa seperti kes mencabul kehormatan, sumbang mahram, rogol dan kesalahan luar tabii

KUALA LUMPUR: Sebanyak 57,519  kes keganasan terhadap wanita dilaporkan sejak 2010 hingga Mac 2017 berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Chew Mei Fun berkata jumlah tersebut merangkumi bilangan kes keganasan rumah tangga dan kes-kes jenayah di bawah Kanun Keseksaan yang melibatkan wanita sebagai mangsa seperti kes mencabul kehormatan, sumbang mahram, rogol dan kesalahan luar tabii.

“Sebanyak 23,212 kes (40 peratus) merupakan kes keganasan rumah tangga yang melibatkan wanita sebagai mangsa.

“Bagi kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tempoh 2010 hingga 2016 pula adalah sebanyak 28,365 kes,” katanya  menjawab soalan Senator Engku Naimah Engku Taib tentang bilangan kes keganasan terhadap wanita dan penderaan serta pengabaian kanak-kanak bagi tahun 2010 hingga 2017.

Engku Naimah juga ingin mengetahui sejauh mana keberkesanan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) pindaan 2012 dalam membendung kejadian keganasan terhadap wanita dan penderaan kanak-kanak.

Chew berkata kerajaan telah membuat pindaan pertama ke atas Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 pada 21 Dis 2015 dan dikuatkuasakan pada 20 Feb 2013 bagi memperluaskan takrifan keganasan rumah tangga dari bentuk fizikal meliputi penderaan emosi, mental dan psikologi, penggunaan bahan yang memabukkan serta bahan yang menyebabkan delusi kepada mangsa termasuk mangsa kanak-kanak.

Menurutnya selepas pindaan akta tersebut dibuat, semua pegawai yang terlibat dalam pengendalian kes keganasan rumah tangga telah diberi 14 sesi taklimat yang diadakan di seluruh negara.

“Taklimat itu merupakan program advokasi yang antara lain bertujuan meningkatkan kefahaman dan pengetahuan tentang kaedah pengendalian kes termasuk mangsa keganasan rumah tangga kepada pegawai berkaitan dan menyebarluas peranan dan tanggungjawab agensi berkaitan yang mengendalikan kes tersebut.

“Pindaan yang dibuat ke atas Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 pada 2012, kementerian kami dengan kerjasama sembilan agensi telah membangunkan Garis Panduan Pengendalian Kes Keganasan Rumah Tangga yang menyatakan peranan dan tanggungjawab agensi tersebut,” katanya.

Chew berkata Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) yang diwujudkan bagi memberi perlindungan undang-undang kepada mangsa keganasan rumah tangga tidak hanya terhad kepada isteri malah turut merangkumi suami, bekas suami atau isteri, kanak-kanak dan orang dewasa tidak berkeupayaan dan anggota keluarga yang lain.

Beliau berkata statistik PDRM menunjukkan jumlah kes yang dilaporkan saban tahun meningkat sebanyak 66 peratus iaitu 3,488 kes pada tahun 2013 kepada 5,796 kes pada tahun 2016.

“Peningkatan jumlah kes yang dilaporkan salah satu indikator yang menunjukkan masyarakat secara umum mengetahui dan mempraktikkan hak mereka seperti yang digariskan di bawah akta ini.

“Hal ini juga membuktikan tahap kesedaran masyarakat terhadap kesalahan keganasan rumah tangga turut meningkat,” katanya.

Chew berkata dalam usaha memantapkan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, kementerian turut mencadangkan akta tersebut dipinda bagi menambah baik akta sedia ada serta kekal relevan dengan situasi semasa

Mipas harap permohonan maaf Asri ikhlas

Berita Daily Staff

Setiausaha Agung Mipas, S Barathidasan berkata, pihaknya memandang serius puisi Asri itu kerana puisinya menyinggung dan menyakiti keseluruhan masyarakat Hindu tempatan dan juga Hindu di seluruh negara

KUALA LUMPUR: Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) menghaapkan permohonan maaf Mufti Perlis D Mohd Asri Zainul Abidin dibuat dalam keadaan ikhlas susulan puisinya minggu lalu yang menggunakan perkataan sensitif membabitkan komuniti India.

Setiausaha Agung Mipas, S Barathidasan berkata, pihaknya memandang serius puisi Asri itu kerana puisinya menyinggung dan menyakiti keseluruhan masyarakat Hindu tempatan dan juga Hindu di seluruh negara.

“Mipas dan seluruh masyarakat Hindu mendesak supaya memohon maaf secara ikhlas bukannya memutarbelit kenyataannya dan memohon maaf kepada penganut Hindu yang salah erti maksud beliau,” katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Asri sebelum ini telah membuat permohonan maaf susulan puisinya yang mencetuskan kontroversi terhadap komuniti Hindu di Malaysia.

Menurutnya, puisinya yang menggunakan perkataan golongan “mempertuhankan lembu” dan mengamalkan sistem kasta, kerana menentang seorang “pendakwah” itu ditujukan kepada pentadbiran Perdana Menteri India Narenda Modi kerana menekan umat Islam di negara itu.

Persatuan Malaysia Hindu Sangam ‎(MHS) kemudiannya menerima permohonan maaf Asri.

Bharathidasan bagaimanapun berkata, tindakan MHS itu juga diragui memandangkan ia tidak berkaitan dengan mereka.

“MHS menerima permohonan maaf mufti Perlis tetapi percaya kenyataan Asri itu tiada kena mengena dengan kritikan mereka.”

Yik benteng pertahan aqidah pelajar

SALMAH MAT HUSAIN


 
 
YAYASAN Islam Kelantan (Yik) menjadi antara benteng pertahanan bagi menyelamatkan aqidah pelajar dalam menghadapi cabaran semasa sekarang.
 
Timbalan Pengarah Yik (Pengurusan), Nik Abdul Rahman Nik Yusof berkata sekolah-sekolah agama di bawah Yik menyediakan kurikulum bagi membolehkan pelajar meningkatkan kefahaman mengenai Islam
 
Katanya Yik meneruskan usaha untuk membimbing pelajar supaya Islam menjadi pemangkin kepada pentadbiran negara.
 
“Yik bukan hanya mendidik pelajar dapat menjawab soalan dalam peperiksaan, sebaliknya menambah ilmu pengetahuan mencakupi dunia dan akhirat,” katanya ketika merasmikan Seminar Kecemerlangan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Putik di Pengkalan Chepa
 
Seramai 1,500 pelajar yang mewakili 13 sekolah mengikuti program tersebut. Seminar sehari itu diadakan bertujuan menanam kesedaran kepada pelajar mengenai kepentingan STAM demi masa depan mereka.
 
Manakala dalam perkembangan berkaitan pelajar-pelajar Maahad Muhammadi Lelaki mengikuti kursus kepimpinan di Pusat Latihan Bomba Pengkalan Kubor
 
Seramai 50 pelajar mengikuti kursus kepimpinan selama tiga hari itu.
 
Perasmiannya disempurnakan Pengetua Maahad Muhammadi Lelaki, Ustaz Kamarjan Abdul Rahman
 
Ketika berucap pada program terbabit Kamarjan berkata, bekas-bekas pelajar Yik yang bakal menjadi ketua jabatan di mana-mana agensi hendaklah berusaha melaksana peraturan berlandaskan Islam di tempat mereka bekerja.
“Misalnya kalau bertugas sebagai pengarah hospital, dia boleh mengarahkan hanya doktor wanita dibenar merawat pesakit wanita,” katanya. – HARAKAHDAILY


omentar Kes Adam Rosly cemar integriti PKR?

Oleh  Lokman Ramlee
Post Pic
 
 
[ULASAN] Wajarkah PKR mengambil langkah ketara untuk menjarakkan diri daripada kemelut isu kekayaan luar biasa Ketua Angkatan Muda Ampang, Datuk Adam Rosly supaya parti tidak menjadi “sasaran mudah” musuh?
 
Parti itu diajukan dua pilihan – ambil tindakan disiplin terhadap Adam atau mengarahkannya ‘bercuti’ sehingga kes beliau dituduh berbohong dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai. 
 
"Apa pun, saya berharap seluruh kekuatan parti dari akar umbi ke peringkat pimpinan mengambil langkah untuk menjarakkan parti dari kemelut peribadi seperti ini," kata Naib Presiden, Rafizi Ramli.
 
Kata Rafizi lagi, keengganan Adam menuruti nasihatnya supaya melakukan pengisytiharan harta juga telah menyebabkan masalah yang melanda kian melarat.
 
"Sebab itu semasa kekayaan Adam mula-mula menarik perhatian ramai, saya dengan serta-merta menasihatkan beliau supaya mengisytiharkan harta. Ada perbezaan di dalam parti apabila ada yang beranggapan beliau tidak perlu mengisytiharkan harta kerana tidak menjawat sebarang jawatan kerajaan.
 
"Saya telah menyatakan bahawa saya tidak bersetuju dengan pandangan itu kerana piawai moral dan keamanahan yang dipegang PKR mestilah lebih tinggi dari parti-parti lain,” katanya.
 
Menurut Rafizi, seseorang yang memegang jawatan parti tidak boleh dilihat mengumpul kekayaan yang tidak boleh diterangkan kepada rakyat.
 
Jelas Rafizi, jika kekayaan itu dikumpul secara sah dan tanpa melibatkan kepentingan awam, beliau yakin mana-mana pimpinan dalam parti itu boleh mengisytiharkan harta dengan mudah.
 
"Saya masih berpendapat Adam boleh menjernihkan keadaan supaya tidak mengheret PKR ke dalam kemelut peribadi beliau dengan mengisytiharkan harta secepat mungkin.
 
"Keadaannya berbeza sekarang kerana keengganan beliau mengisytiharkan harta telah mengheret nama baik PKR sehingga dijadikan bahan serangan oleh musuh-musuh politik PKR," katanya.
 
Adam, 28, ditahan SPRM 13 April lalu ketika memberi keterangan berhubung dakwaan kekayaan luar biasanya dan dituduh di mahkamah 21 April lalu kerana memberi maklumat bercanggah. 
 
Adalah jelas Rafizi membuat syor berkenaan kerana mahu menghindari PKR terjebak dalam isu pengurusan harta Adam hingga boleh menyebabkan partinya kehilangan banyak markah politik. 
 
"Saya konsisten menegaskan bahawa piawai moral dan keamanahan yang perlu kita buktikan kepada rakyat adalah lebih tinggi dari parti-parti lain kerana PKR dihargai rakyat hasil dari perjuangan berterusan kita menentang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan pentadbiran sedia ada," ujarnya.
 
Sesungguhnya ini ialah persoalan piawaian moral PKR. Bak kata Rafizi seluruh peringkat pimpinan parti harus berkongsi dan mendakap piagam ini. 
 
Malah nilai ini harus disemarakkan dalam aktiviti politik Malaysia dan meliputi piawai moral peribadi. Seharusnya, parti-parti politik Malaysia akur mereka tidak boleh mengasingkan soal nilai moral politik dengan nilai peribadi.
 
Di sini Islam boleh memimpin pemikiran mereka. Yang menjadikan umat Islam khususnya yang paling baik ialah kerana:
 
“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia., menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar beriman kepada Allah..” (Ali Imran ayat 110).
 
Ini beza politik Islam dan liberal. Jika Rafizi mahu menghindar kehilangan markah politik, maka mungkin PKR dapat menyelamatkan sedikit markah politik dengan iktikad bahawa ia (PKR) mahu mencegah kemungkaran!
 
Justeru jika Rafizi mahu tindakan disiplin diambil ke atas Adam ialah kerana mahu mencegah mungkar, maka keberkatannya pasti akan memperkukuhkan lagi PKR.
 
Begitulah standard moral ahli-ahli politik muslim. Adalah paling tidak wajar jika mereka berselindung seperti dalam kes Dyana Sofea dan Zairil Khir di sebalik alasan rakyat tidak boleh mencampuri ‘soal privasi’ mereka. 
 
Pemimpin seharusnya tidak menggunakan logik peribadi untuk menyatakan perbuatan buruk mereka adalah hak peribadi mereka; lebih-lebih jika mereka penganut Islam. 
 
Jika benar kata Rafizi bahawa PKR sebenarnya amat tegas mengenai perkara-perkara yang bersabit dengan tatakelola dan keamanahan, inilah masanya pimpinan PKR menguruskan isu Adam Rosly secara terbaik.
 
Jangan sokong ahli atau pemimpin yang longgar akal budi dan rendah pula taraf keamanahannya. Selamat berjuang sepenuh moral, PKR.
 
 

Mukhriz bawa masuk 'kawan' dan beri jawatan dalam PPBM, dedah Kamarulazman

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersih dan tiada krisis kepimpinan sehinggalah timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir membawa masuk rakan-rakannya yang bermasalah dalam parti.
 
Itu dakwaan bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman selepas ditanya adakah Mukhriz memaksudkan dirinya sebagai ahli yang menyogok wang untuk jawatan dalam parti.
 
"Jika beliau (Mukhriz) tujukan kenyataan itu terhadap saya, beliau adalah seorang yang paling tidak jujur di dalam perjuangan PPBM. 
 
"Sedangkan Mukhriz merupakan antara orang yang menimbulkan masalah dengan membawa masuk orang-orangnya, kawan-kawan bermasalah di dalam parti.
 
"Mukhriz tidak perlu putar-belit. Mukhriz kena jelas siapakah yang dimaksudkan. Dan saya mencabar Mukhriz dalam debat terbuka, jika beliau kata ada bukti, saya pun ada bukti untuk mengatakan antara perkara yang merosakkan parti adalah rakan-rakannya sendiri," ujarnya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Terdahulu, Mukhriz mengesahkan wujud dakwaan ada ahli PPBM yang bermasalah termasuk disogokkan habuan untuk merosakkan parti.
 
Pun begitu, tiada tindakan akan diambil sementelah golongan itu sudah keluar parti, ujar Mukhriz.
 
"Memang mudah menuduh seseorang itu disogok dan sebagainya apabila orang itu keluar parti, sedangkan masalah yang diutarakan tidak mahu diakui dan diselesaikan.
 
"Ketika PPBM mula ditubuhkan kita tidak mempunyai masalah dalaman parti, sehinggalah rakan-rakan pemimpin utama di dalam parti dibawa masuk, kemudian dengan mudah mengatur kepimpinan bahagian. Ini menimbulkan rasa tak senang di kalangan orang," ujar Kamarulazman.
 
Beliau kemudiannya mempersoalkan ke arah manakah Mukhriz mahu membawa perjuangan PPBM?
 
"Mukhriz kena jelas apakah yang beliau mahukan di dalam PPBM. Jika beliau benar berhasrat untuk perjuangan di dalam parti, beliau perlu menjadi rasional, jangan terlibat membawa masuk orang-orangnya,"
 
Minggu lalu, Kamarulazman mengumumkan peletakan kesemua jawatannya di dalam parti, sekaligus keluar parti selepas kecewa dengan amalan kronisme dan pilih kasih di dalam PPBM.
 
Kamarulazman yang juga seorang daripada pengasas PPBM menyelar sikap pemimpin PPBM yang bekerja untuk jawatan serta kedudukan, malah melayan kumpulan yang bekerja keras demi parti dengan'layanan kelas kedua'.
 
PPBM kini dipalitkan dengan beberapa kontroversi termasuk wujudnya aktiviti menjual jawatan tertinggi parti di beberapa bahagian, selain tawatan jawatan dengan syarat tertentu, sebagaimana didedahkan sumber parti berkenaan.
 
Malah parti yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad itu juga didakwa mempunyai kepimpinan yang tidak bersih, seperti pemimpin yang muflis dan yang mempunyai rekod polis.
  


sional PKR harus selesaikan 'perang dingin' Azmin-Rafizi

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas Naib Presiden PKR, Mustafa Kamil Ayub menggesa pimpinan parti itu mencari jalan penyelesaian dalam 'perang dingin' melibatkan timbalan presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan naib presiden, Rafizi Ramli.
 
Ujarnya, PKR tidak lagi boleh menafikan wujud pergeseran serius antara Azmin dan Rafizi yang akhirnya menyukarkan parti untuk bersatu dan fokus kepada isu-isu yang lebih besar, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. 
 
"Dalam isu ini saya kira ia menjadi rahsia kepada beberapa keadaan yang bersifat pertembungan dalaman PKR. Mengakui kewujudan hal tersebut tidak ada salahnya.
 
"Pimpinan parti perlu mengakui kewujudan pergeseran tersebut, supaya ada langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi, atau paling tidak mengurangkan pergeseran tersebut," demikian menurutnya ketika dihubungi Antarapos.
 
Sebelum ini Rafizi, dilihat pemerhati politik sebagai cuba 'menyerang' Azmin dengan menyelar Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly bersabit isu kekayaan luar biasa yang dimilikinya.
 
Adam yang dilapor media sebagai mempunyai hubungan baik dengan Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin dan juga Azmin kini berdepan dengan enam pertuduhan mengemukakan penyataan dan dokumen palsu, bersabit kekayaan luar biasa yang dimilikinya. 
 
Menurut Rafizi, beliau terpaksa menyatakan pendiriannya bersabit isu Adam atas dasar ketelusan dan keadilan.
 
Sementara Azmin dilihat menjarakkan diri dan meminta semua pihak memberikan ruang untuk Adam disiasat pihak berkuasa.
 
Penganalisis politik, Dr Kamaruzzaman Yusuf ketika dihubungi Antarapos, berkata mungkin ada sebab mengapa Rafizi memilih untuk menyentuh pendakwaan yang dihadapi Adam.
 
“Itu mungkin juga (usaha Rafizi jatuhkan Azmin), sebab diketahui ramai bahawa Rafizi dengan Azmin ni memang bermasalah, sebelum ni pun ada laporan SPRM buat pada pegawai di pejabat Azmin," ujar Kamaruzzaman.
 
Untuk rekod, Rafizi pernah membuat laporak kepada SPRM berhubung dakwaan permintaan habuan seks oleh pegawai kerajaan negeri Selangor, untuk mendapatkan projek.
 
Bagamanapun dakwaan itu dinafikan Azmin dan beliau bersedia untuk keseluruhan pegawai kerajaan negerinya disiasat pihak berkuasa.
 

Siti Noor Aishah dipenjara lima tahun

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas bekas pelajar sarjana, Siti Noor Aishah Atan selepas mendapati beliau bersalah atas tuduhan yang berkaitan dengan pemilikan 12 buku berkaitan dengan keganasan.
 
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samad berkata mahkamah berpuas hati dengan hujah pihak pendakwaan, dan menyatakan bahawa pembelaan tertuduh "tidak munasabah langsung".
 
"Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan," katanya.
 
Menyampaikan keputusannya kemudian, Shariff juga mengecam tindakan Siti Aishah sebagai "jijik dan kotor".
 
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memiliki 12 buah buku yang merupakan item yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan pengganas iaitu Jemaah Islamiyah, Daesh dan al-Qaeda.
 
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lot 1241, Jalan Lapangan Terbang Sura, Dungun, Terengganu pada pukul 12.25 tengah hari, 22 Mac tahun lalu.
 
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana bahan tersebut.
 
"Tertuduh dikenakan hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh tangkapan pertama," kata hakim , sambil mengarahkan buku-buku yang dirampas itu dimusnahkan.
 
 

Jamal dakwa Azmin luluskan projek RM30 bilion di Paya Indah Wetlands

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SEPANG: Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini menuduh kerajaan negeri Selangor meluluskan pembinaan sebuah bandar baru di kawasan Paya Indah Wetlands.
 
Menurut Jamal, projek yang bakal dibangunkan Syarikat Gamuda Berhad itu menelan belanja RM30 bilion, namun beliau tidak menyertakan maklumat  lebih terperinci.
 
Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata beliau kesal dengan sikap Azmin, meluluskan projek tersebut sementelah ia adalah kawasan tadahan air hujan.
 
"Mengikut laporan alam sekitar jika kawasan ini dimajukan maka akan berlaku banjir besar yang teruk di Selangor dan kawasan ini, maka ditolak.
 
"Kawasan ini adalah kawasan tadahan hujan, maka kita tidak mahu kawasan-kawasan di sekitar ini, di Putrajaya, Dengkil, Sepang mengalami banjir, jadi kalau kawasan seluas 1200 hektar ini, maka rakyat Selangor akan terima musibah dan bala sekali lagi," katanya.
 
Jamal kemudiannya menuntut Azmin menjelaskan benarkah desas-desus bahawa PKR mendapat habuan RM3 bilion daripada keseluruhan RM30 bilion untuk tujuan persediaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang. 
 
“Adakah dengan kontrak bernilai RM30 bilion nilai projek di sini dan saya dimaklumkan sebanyak 10 peratus daripada itu untuk disumbangkan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) iaitu sebanyak 3 bilion   untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Selangor .
 
“Saya yakin kelulusan kerajaan negeri di bawah Azmin Ali ada kaitan dengan PRU yang akan datang iaitu untuk mendapatkan 3 bilion  sumbangan daripada syarikat ini," katanya.
 
Isu membabitkan Paya Indah Wetlands mula menarik perhatian ramai selepas dibongkarkan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin.
 
Badrul Hisham atau Chegubard sebelum ini mendedahkan Azmin meluluskan permohonan menukar status tanah di lot 68054, daripada zon pertanian kepada zon pembangunan.
 
Sama seperti Jamal, Chegubard mempersoalkan mengapa Azmin memberi kelulusan kepada Gamuda Berhad, dalam tempoh yang singkat.
 
Untuk rekod, sebelum Azmin, permohonan pengezonan semula lot 68054 sudah ditolak oleh empat menteri besar sebelum ini, termasuk Tan Sri Khalid Ibrahim. 
 
Chegubard sudahpun membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu, namun sehingga kini tiada perkembangan susulan.
 
 

Johor berdukacita atas kematian Mohd Thaqif - Exco

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
JOHOR BHARU: Kerajaan negeri dan seluruh Bangsa Johor berdukacita atas pemergian 'imam cilik' Mohd Thaqif Amin Mohd Gaddafi ke rahmatullah sebentar tadi, kata exco Johor Datuk Ayub Rahmat.
 
Pengerusi jawatankuasa kesihatan, alam sekitar, pendidikan dan penerangan negeri itu juga mengucapkan takziah kepada ibu bapa dan keluarga.
 
“Hasrat dan impiannya menjadikan al-Quran sebagai budaya hidup seharian amatlah terpuji dan sama samalah kita berdoa semoga Allah menempatkan-Nya dalam kalangan insan yang bertaqwa dan beriman,” katanya.
 
Thaqif, pelajar sebuah madrasah tahfiz persendirian di Johor Bahru, dipercayai dipukul oleh seorang pembantu warden.
 
Allahyarham dimasukkan ke hospital Rabu lalu susulan dakwaan dipukul menyebabkan kecederaan dan jangkitan sehingga kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong.
 
Keadaan sama mungkin melibatkan tangannya yang hitam hingga ke paras siku. Bagaimanapun pembedahan itu ditangguhkan hari ini berikutan keadaan jantungnya dilapor tidak stabil.
 
Polis Kota Tinggi setakat ini masih menahan reman pembantu madrasah itu bagi melengkapkan siasatan terhadap kes itu.
 
Dalam kenyataan hari ini, Ayub juga berkata kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) juga telah memberikan sumbangan bagi membantu keluarga menghadapi detik sukar ini.
 
Beliau juga memaklumkan allahyarham meninggal dunia pada jam 2.05 petang dan akan dibawa pulang ke rumah selepas semua urusan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru selesai.
 
 

Polis rakam keterangan kru Sukan Tak Sentral

ANTARAPOS.COM
Post Pic


KUCHING: Pengacara program 'Sukan Tak Sentral' Azizul Ammar Abu Hassan serta enam kru penerbitan rancangan itu dipanggil polis Bukit Aman untuk diambil keterangan, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor, berkata ia adalah sebahagian daripada proses siasatan berikutan laporan polis yang dibuat oleh bekas jaguh pecut negara, Watson Nyambek di Balai Polis Pusat Miri, Isnin lalu.

Beliau berkata, oleh kerana siasatan kes itu turut dibantu polis Bukit Aman, pengacara serta kru penerbitan tidak perlu dipanggil ke Miri.

"Polis mengambil keterangan daripada mereka di Kuala Lumpur hari ini untuk membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, pada masa yang sama polis Sarawak juga sedang melengkapkan siasatan terhadap kes berkenaan.

Isnin lalu, Watson membuat laporan polis terhadap TV3 dan Primeworks Studios Sdn Bhd (Primeworks Studios) kerana mendakwa pengacara rancangan itu mempersendakan mendiang bapanya.

Program itu diterbitkan oleh Primeworks Studios dan disiarkan TV3.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Maksud syura yang disalahertikan

ZAHARUDIN MUHAMMAD
 
 
SEMALAM ada pertemuan AJK Kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Subang. Persoalan yang sama diajukan kebelakangan ini di tempat-tempat lain iaitu berkenaan dengan maksud dan makna Syura.
 
Hari ini biasa kita dengar Syura vs Demokrasi sedangkan dari segi syariat dan perlembagaan PAS, ianya jauh daripada kebenaran. Dengan kata lain, Syura diertikan veto dan demokrasi diertikan pemilihan. Maksud syura seperti ini adalah tidak bertepatan dengan Syura yang dimaksudkan di dalam kitab fekah sebaliknya ia lebih mirip kepada maksud istibdad dan Al-Qahru (veto) yang disenaraikan sebagai berlawanan dengan maksud Syura menurut fekah Islam. Silap faham ini jika berterusan tanpa pembetulan boleh membawa kepada PAS menjadi sebuah parti yang autokrasi.
 
Syura dari segi maksud dalam bahasa arab dengan istilah Fekah dan pelaksanaannya tidak jauh berbeza. Syura dari segi bahasa dengan maksud mesyuarat dan berbincang. Dari segi istilah ia bermaksud pelantikan pemimpin yang terdiri daripada dua komponen, iaitu ijab (pencalonan nama) dan qabul iaitu penerimaan oleh wakil masyarakat yang dikenali sebagai baiah.
 
Kedua-dua komponen ini wujud di dalam perlantikan 4 Khulafa' Ar-Raasyidun, bermula daripada pencalonan dan diakhiri dengan qabul (baiah). Teknikal pencalonan 4 Khulafa' Ar-Raasyidun berbeza-beza, di mana pencalonan Saidina Abu Bakar secara mesyuarat, pencalonan Saidina Umar secara "putera mahkota" dan pencalonan Saidina Othman melalui penamaan yang disenaraikan oleh Saidina Umar. Kesemua ijab ini diakhiri dengan baiah, persetujuan wakil-wakil masyarakat pada masa itu; Auz, Khazraj, Quraish dan lain-lain. Wakil masyarakat ini akhirnya dikenali sebagai Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi. Baiah ini mewujudkan mesyuarat dan perbincangan justeru setiap qabilah menghantar wakil dan ia disempurnakan dengan perbincangan dan mesyuarat.
 
Kesilapan faham yang besar pada hari ini apabila melihat cara pelantikan khalifah hanya fokus kepada ijab dengan melupakan baiah. Biasanya mereka menggunakan model Saidina Abu Bakar melantik Saidina Umar justeru Saidina Abu Bakar menamakan Saidina Umar sebagai Khalifah selepasnya dan mereka menyimpulkan bahawa Saidina Umar terlantik secara sah dengan sebab itu. Padahal sebenarnya itu hanyalah peringkat murassyah (pencalonan) tetapi pelantikan Saidina Umar secara rasmi dan sah berlaku hanya apabila berlakunya baiah di kalangan Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi.
 
Dua komponen ini, iaitu pencalonan dan baiah dikenali sebagai sistem syura. Di dalam fekah Islam, disenaraikan cara pemlilihan pemimpin iaitu perlantikan dengan nas, putera mahkota dan pemberontakan. Dr Wahbah Zuhaili menyebut: "Cara Islam yang betul hanyalah dengan satu cara sahaja, iaitu pelantikan yang dibuat berasaskan baiah Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi yang mengandungi elemen persetujuan orang ramai untuk menentukan seseorang pemimpin. Ini berasaskan kaedah Syura dan pemikiran bahawa perlantikan pemimpin ini adalah fardhu kifayah." (Fiqh Islam: Jilid 6 m/s 673)
 
"Telah berlaku ijmak umat Islam selain daripada Syiah bahawa penentuan Khalifah (pemimpin) disempurnakan (secara rasminya) dengan baiah, iaitu pemilihan dan persetujuan umat dan individu yang dipilih sebagai pemimpin. Ini adalah akad yang sebenar daripada keseluruhan (konsep) akad (dalam Islam) yang disempurnakan dengan persetujuan yang berasaskan keredaan kedua-dua belah pihak". (Fiqh Islam: Jilid 6 m/s 685
 
Cara baiah Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi di zaman dianggap sebagai pelantikan orang ramai justeru keanggotaan Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi adalah mewakili masyarakat ramai atau qabilah-qabilah seperti Auz, Khazraj, Quraish dan lain-lain.
 
Kesemua Khulafa Ar-Raasyidun dan era khalifah selepas era itu melakukan sistem baiah atau syura ini dengan teknikal yang berbeza tetapi prinsipnya sama. Prinsip yang menjadi elemen penting di dalam pemilihan pemimpin ialah individu yang melengkapi syarat-syarat yang digariskan oleh nas seperti mencari orang yang paling alim dan berilmu di kalangan masyarakat. Bagi menepati ciri syariat ini, maka mereka mencarinya melalui perbincangan sewaktu pelantikan Saidina Abu Bakar. Tetapi era Saidina Abu Bakar pula melihat Saidina Umar orang yang melengkapi ciri tersebut lalu beliau terus menamakan Saidina Umar sebagai calon. Di zaman Saidina Umar pula, ia membiarkan sebilangan sahabat untuk berbincang untuk mencari mereka yang melengkapi ciri syariat tersebut di kalangan mereka. Jadi, prinsipnya sama iaitu mencari orang yang menepati ciri syariat, tetapi teknikalnya pencarian adalah berbeza. Kesemua perbezaan teknikal pemilihan calon ini diakhiri dengan prinsip pemilihan yang satu, iaitu diakhiri dengan baiah di kalangan Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi.
 
Di zaman era Othmaniah, Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi ini dipilih daripada seluruh empayar Islam yang luas. Jika dilihat sepintas lalu, maka teknikal pelantikan anggota Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi ini agak mirip dengan demokrasi tetapi berbeza dari segi prinsip-prinsip asas yang bagi saya agak panjang perbahasannya jika dimuatkan dalam artikel pendek ini.
 
Dalam konteks pemilihan PAS hari ini sudah menepati kaedah Syura (baiah), di mana pencalonan daripada kawasan yang berakhir dengan pengundian di dalam muktamar sudah merangkumi elemen ijab dan qabul menurut fekah Islam di mana pengundian daripada perwakilan seluruh kawasan di Malaysia sudah melengkapi ciri-ciri baiah Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi. Cuma yang perlu diperkasakan ialah semua perwakilan yang layak mengundi perlu memahami lebih mendalam ciri-ciri dan kelayakan-kelayakan calon yang mereka wajib pilih menurut syariat. Perkara ini boleh dimajukan dan diperkasakan dari masa ke semasa.
 
Dari sudut lain, jika pemilihan pemimpin dengan keputusan mesyuarat tertinggi kemudian keputusan itu dipaksa untuk kawasan menerimanya, atau tanpa mendapat persetujuan kawasan, maka ini bukan maksud Syura menurut fiqh Islam, bahkan ianya mirip kepada istibdad (al-qahr) dan kaedah pelantikan dengan nas yang diamalkan di dalam mazhab Syiah.
 
Adapun cara yagn diamalkan oleh Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) yang boleh dicontohi ialah dengan cadangan daripada mesyuarat DUPP untuk Urusan Ulamak Kawasan (UUK) menerima calon sedia ada dan ditiadakan pertandingan. Keputusan ini dihormati dan diterima oleh seluruh UUK menyebabkan mereka tidak membuat pencalonan baru. Inilah fakta yang berlaku dalam DUPP sehingga tiada pertandingan sejak sekian lama. Kaedah ini menepati kaedah Syura kerana persetujuan cadangan calon daripada DUPP oleh UUK boleh dianggap sebagai baiah yang sah yang melengkapi 2 komponen Syura menurut Fekah Islam. - HARAKAHDAILY