HALAMAN SANTAI

Ahad, 16 April 2017

Banjir kilat landa di Lembah Klang

ANTARAPOS.COM
Post Pic


KUALA LUMPUR: Hujan lebat lebih sejam sejak kira-kira jam 5 petang hari Ahad menyebabkan beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang di landa banjir kilat.

Antara kawasan terjejas adalah di Jalan 2/2 dan Jalan 2/3 Bandar Baru Sungai Buloh dekat sini, apabila dianggarkan 70 rumah di situ dinaiki air setinggi antara 0.3 meter hingga 0.5 meter.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, berkata pihaknya yang menerima laporan kejadian itu pada jam 6 petang membuat pemantauan di lokasi yang terjejas.

"Hujan lebat berterusan melebihi 40 minit di lokasi itu menyebabkan air dari kolam tadahan yang terletak berhampiran melimpah kerana tidak dapat menampung jumlah air yang banyak.

"Setakat ini tiada mangsa yang dipindahkan dan banjir beransur surut selepas hujan reda, " katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, banjir kilat turut dilaporkan berlaku di Taman Rahmat Jaya Fasa 4, Kuang selepas air Sungai Kuang melimpah menyebabkan beberapa laluan dan enam buah rumah di situ dinaiki air setinggi antara 0.3 meter hingga 1.2 meter.

"Beberapa lokasi berhampiran Kampung Melayu Sungai Buloh, Gombak turut dinaiki air antara 0.3 meter hingga 0.5 meter apabila air longkang tidak dapat mengalir dengan baik kerana tersumbat menyebabkan air melimpah ke kawasan sekitar.

"Antara kawasan lain yang terjejas adalah di Kampung Melayu Seri Kundang; Jalan Simpang Kuang, Tasik Kundang; Jalan SS25/18 Petaling Jaya; Jalan BRP 1, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Lembah Subang," katanya.

Katanya, banjir kilat turut dilaporkan berlaku berhampiran Hospital Sungai Buloh; Jalan Legenda 12, Taman Lagenda Mas, Kajang dan Jalan 3/1 Bandar Baru Sungai Buloh.

"Kita turut menerima laporan kejadian pokok tumbang di beberapa lokasi yang berlaku banjir kilat," katanya lagi dan usaha pembersihan sedang giat dilakukan bersama pihak berkuasa tempatan.

Dalam pada itu, banjir kilat turut dilaporkan berlaku di Jalan Senang, Taman Gembira di sini menyebabkan laluan di situ naiki air dipercayai akibat masalah saliran longkang yang tersumbat.

Selain itu, dua kenderaan dilaporkan terkandas dan sebahagian jalan berlubang dalam kejadian banjir kilat di Jalan 5/155 Bukit OUG, di sini.

Difahamkan, punca banjir kilat berpunca akibat longkang berhampiran laluan itu dipenuhi lumpur tebal dipercayai akibat aktiviti loji penghasilan konkrit pembinaan yang terletak di kawasan berhampiran.


Tiada ulasan: