HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 April 2017

Dr M kongsi aspirasi dalam k'jaan HARAPAN, tolak p'raya tempatan


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi aspirasinya untuk peranan penasihat Pakatan Harapan jika gabungan itu berkuasa tetapi tidak bersetuju dengan pilihan raya tempatan.

Dalam forum digelar 'Hardtalk', yang dianjurkan malam tadi untuk menggantikan debat antara beliau dengan menteri Umno Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, yang telah dibatalkan oleh pihak polis yang didakwa atas sebab-sebab keselamatan, Mahathir berkongsi visinya mengenai era pasca-Najib.

Mahathir berharap HARAPAN tidak akan menolak nasihatnya sepertimana dilakukan oleh penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

"HARAPAN lantik saya dan (Datuk Seri) Wan Azizah (Wan Ismail) sebagai penasihat. Walaupun saya tak jadi PM, tapi saya boleh menasihat, dan saya fikir saya ada sikit pengalaman utk mengurus ekonomi negara.

"Bila saya letak jawatan (sebagai PM), banyak nak lakukan tapi (berhenti kerana) dah lama sangat (pegang jawatan itu), 21 tahun," katanya.

Beliau mencadangkan HARAPAN mengenakan cukai ke atas perniagaan besar melalui cukai korporat bagi meringankan beban rakyat yang menderita kerana pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Dr Mahathir, bersama ADUN AMANAH, Datuk Husam Musa, berdepan dengan soalan yang dikemukakan oleh empat orang moderator - penganalisis politik Maszlee Malik, ahli sains politik Wong Chin Huat, perunding strategi Arifin Hassan dan bekas ADUN Batu Burok Syed Azman Syed Ahmad mengenai pelbagai isu.

Apabila dikemukakan soalan mengenai isu pilihan raya tempatan, Husam tidak mahu menyatakan pendirian rasmi AMANAH negeri, dengan berkata beliau tidak mempunyai jawatan rasmi dalam parti itu dan bimbang pendapatnya akan digunakan oleh pihak lawan terhadap parti itu.

Sementara itu, Dr Mahathir yang sedia berkongsi pendapat beliau, mengakui bahawa beliau akan dilabelkan sebagai rasis kemudian.

"Kita sebuah negara bilang kaum, tapi kita berpisah antara kaum di Malaysia. Bandar diduduki kebanyakan orang Cina, luar bandar diduduki kebanyakan orang Melayu.

"Jadi bila kita mengadakan pilihan raya di bandar, kemungkinan bandar akan ditadbir oleh satu keturunan, luar bandar oleh keturunan lain," katanya.

Katanya, ia tidak selamat dan tidak baik kalau kerajaan tempatan didominasi mengikut kaum.

Mahathir, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, berkata sistem pilihan raya sekarang, yang membolehkan kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar diintegrasikan di bawah Dewan Undangan Negeri, boleh mengintegrasikan setiap etnik.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan membantah pilihan raya tempatan yang dianjurkan oleh DAP sebelum parti Islam itu memutuskan hubungan dengan Pakatan Rakyat, yang kini tidak berfungsi lagi, dengan mendakwa jurang antara kawasan bandar dan luar bandar mungkin membawa kepada satu lagi tragedi 3 Mei 1969.

Sementara itu, Dr Mahathir turut menolak usaha pengkritik untuk menyamakan beliau dengan Najib, memandangkan kedua-dua mereka menggunakan undang-undang zalim dan dakwaan skandal kewangan di bawah pentadbiran mereka.

"Saya tidak sama dengan Najib." katanya sambil menambah beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya tetapi mendakwa Najib melampaui batas kuasanya dan "apa yang kita lihat adalah penyalahgunaan kuasa".

"Bila saya ada duit RM2.6 bilion dalam akaun saya. Bila saya tuduh 1MDB dan bagi hilang duit berbilion-bilion.

"Yang saya terlibat dengan menyiasat kes seperti MBF (Bumiputra Malaysia Finance Limited ). Ini bukan milik kerajaan," katanya sambil menambah kerajaan ambil tindakan terhadap mereka yang sengaja buat salah dan laporan itu dibentang di Parlimen untuk dibahaskan.

Mahathir juga menafikan dakwaan bahawa dia telah menyebabkan kerugian besar dalam Perwaja Steel.

"Bukan saya yang bagi rugi. Saya angkat orang yang saya fikir ada pengetahuan, tapi dia yang bagi rugi," katanya.

Kedua-dua Perwaja dan MBF dilaporkan mengalami kerugian berbilion semasa era Mahathir pada 1980-an.

Tidak seperti laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB, Dr Mahathir berkata beliau tidak pernah menjadikan laporan berkenaan diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Mahathir berkata, beliau hanya menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), yang telah digubal oleh pentadbiran sebelum beliau, manakala Najib mencipta undang-undang baru yang menurutnya, lebih teruk daripada ISA.

"Dia bukan macam saya. Ianya seperti (membanding) epal dengan oren. Dia epal saya oren," tambahnya.

Dr Mahathir juga mendakwa Najib menjadi populis dengan menambah bilangan kakitangan awam, tanpa menyedari kesannya.

Katanya, beliau boleh mengekalkan jumlah penjawat awam di bawah paras satu juta dengan mengalihkan mreka ke syarikat-syarikat yang diswastakan.

Dilaporkan jumlah penjawat awam kini telah mencecah 1.7 juta.

Mahathir juga berkata, beliau tidak akan membantah jika bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke arena politik selepas diampunkan dan dibebaskan dari penjara.

"Kalau rakyat nak Anwar, siapa saya nak tahan rakyat?

"Ada orang dulu dipenjarakan yang saya lepas. Saya tak simpan dalam hati. Orang yang musuh dengan saya, sokong Tengku Razaleigh Hamzah (semasa krisis Umno), saya ambil balik duduk dalam kabinet saya. Itu rekod saya," katanya

Tiada ulasan: