HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 April 2017

FAM pecat 20 kakitangan

MALAYSIAKINI


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menamatkan perkhidmatan seramai 20 orang kakitangannya dengan persetujuan presidannya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan barisan exco.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, barisan kepimpinan badan induk bola sepak negara itu bertindak demikian untuk menyusun semula organisasi FAM.

"Ia bertujuan untuk menjaga dan mengawal kewangan persatuan. Seramai 20 orang kakitangan pentadbiran dan teknikal telah ditamatkan perkhidmatan dalam FAM untuk memastikan perjalanan organisasi ini mencapai hala tuju sepatutnya.

"Mereka telah dimaklumkan pada hari ini berserta notis dan tiga bulan gaji akan dibayar sepenuhnya sebelum 15hb April ini.

"Untuk makluman semua, semua unit dan jabatan di FAM akan diseragamkan serta digabungkan mengikut organisasi yang telah ditetapkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Tunku Ismail yang dipilih sebagai peneraju baru FAM memberi gambaran beliau akan melakukan rombakan drastik terhadap persatuan itu termasuk mengurangkan kakitangan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Malah, Tunku Mahkota Johor itu juga bertindak menukar ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan dengan mengambil Mario Gomez bagi menggantikan posisi Datuk Ong Kim Swee.

Kim Swee pula diberi tugas bagi mengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara sekali gus menggantikan posisi Frank Bernhardt.

Hari ini juga, Tunku Ismail mengembalikan gelaran Harimau Malaya selepas kira-kira setahun skuad bola sepak negara menggunakan gelaran Harimau Malaysia.


Tiada ulasan: