HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 April 2017

Harga barang naik: KPDNKK digesa tidak tunggu sehingga musim perayaan

Adakah nanti rakyat akan dihidangkan dengan kenyataan-kenyataan kurang cerdik seperti ‘kalau harga gula naik, jangan makan gula nanti kena diabetis’, ‘kalau minyak masak naik, jangan makan makanan bergoreng’ dan sebagainya

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan hari ini menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) supaya jangan hanya bertindak semasa musim perayaan sahaja untuk mengawal kenaikan harga barang yang semakin menghimpit kehidupan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, kenaikan harga barangan keperluan  sekarang mengalami kenaikan mendadak meskipun bukan lagi musim perayaan.

“Sememangnya berulangkali Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menegaskan bahawa kementerian itu hanya mengawal harga bagi enam barangan keperluan sahaja

“Takkan KPDNKK hendak membiarkan begitu sahaja?”katanya, dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan kerajaan BN seharusnya bertanggungjawab dengan adanya pelbagai akta seperti Akta Antipencatutan dalam menangani isu kenaikan harga barangan.

“KPDNKK sepatutnya memikirkan permasalahan rakyat, terutama bagi barangan keperluan harian dan makanan. Kerajaan BN hendaklah memastikan barang-barang ini tidak boleh naik dengan sewenang-wenangnya.”

“Takkan hendak tunggu pada musim perayaan sahaja untuk mengawal harga barang dengan menguatkuasakan Akta Kawalan Harga,” katanya.

Tambah beliau, dengan melihat kepada trend terkini, negara kita tidak perlu menunggu ahli ekonomi untuk menjangkakan kedudukan ekonomi Malaysia.

“Rakyat sendiri sebenarnya boleh merasai keperitan ekonomi dengan terpalit skandal 1MDB.

“Adakah nanti rakyat akan dihidangkan dengan kenyataan-kenyataan kurang cerdik seperti ‘kalau harga gula naik, jangan makan gula nanti kena diabetis’, ‘kalau minyak masak naik, jangan makan makanan bergoreng’ dan sebagainya.

“Begitulah alasan demi alasan yang pentadbiran BN bagi untuk menjustifikasikan ketidakcekapannya,” katanya.

Situasi itu katanya diburukkan lagi dengan kelemahan nilai matawang ringgit.

“Walaupun rakyat berbelanja tetapi duit Malaysia sekarang tidak ubah seperti ‘duit Jepun zaman perang’ dahulu.

“Tahun 2017 amat mencabar bagi rakyat Malaysia apabila terpaksa berhadapan dengan ringgit yang lemah dan harga makanan yang semakin mahal,”katanya, lagi.

Tiada ulasan: