HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 April 2017

Hina PM: Seniman buat laporan polis

Nadia Azam




Persatuan Seniman Malaysia menganggap permohonan maaf stesen penyiaran Singapura, Mediacorp dan pengacara Najip Ali yang terpalit kontroversi menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai tidak memadai.

Susulan itu, Presiden Seniman Zed Zaidi, memfailkan laporan polis bertujuan memohon pihak kerajaan memandang serius perkara berkenaan dan mengambil tindakan ke atas kelima-lima selebriti yang terbabit dalam program Ok Chope! termasuk penerbit rancangan.

"Kami (Seniman) tahu mereka sudah meminta maaf (Mediacorp dan Najip Ali) tetapi masih terdapat panel lain yang belum berbuat demikian seperti Mike Kassim, Rishi Buddrani dan Sam Lee tidak pun meminta maaf.

"Tujuan laporan dibuat untuk mengambil tindakan tegas kerana tidak mahu besok akan ada artis luar lagi yang buat perkara sama.

"Ini adalah pengajaran buat artis luar kalau hendak masuk negara Malaysia kena ikut undang-undang jangan buat hal," katanya kepada pemberita di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

Program Ok Chope! dihoskan oleh Vernetta Lopez dan disertai selebriti seperti Sam See, Rishi Budhrani, Mike Kassim dan Najip Ali.

Najip Ali sering berulang-alik ke Malaysia sebelum ini apabila dilantik menjadi juri tetap Maharajalawak Mega 2017.

Stesen televisyen berkenaan pada 29 Mac lalu menyiarkan episod ke-26 yang meminta semua peserta melengkapkan satu tajuk berita berkaitan Najib yang telah dikurangkan satu perkataan iaitu “Najib slams... for threatening Malaysia’s progress.”

Para peserta mula meneka dengan mengeluarkan ayat-ayat sendiri yang disifatkan memperlekehkan Najib sedangkan ayat asal yang dikurangkan pada tajuk berita tersebut adalah ‘fake news’.

Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil, 36, turut mempesoalkan mengapa hanya Najip Ali dan stesen berkenaan memohon maaf sedangkan empat lagi selebriti termasuk hos rancangan itu berdiam diri.

Katanya disebabkan masih terdapat beberapa individu lain tidak mengambil inisiatif untuk menyelesaikan isu terbabit, masalah berkenaan dianggap tidak pernah selesai.

"Kami sudah bagi tempoh sehingga Jumaat (hari ini) dan tiada tuntutan maaf daripada mereka yang lain," katanya.

"Saya ingin mereka yang masih belum berbuat demikian untuk menghubungi saya secara peribadi atau menghantar email berhubung perkara ini," katanya.

Sementara itu, apabila ditanya sama ada isu berkenaan sengaja diperbesarkan walaupun selepas stesen televisyen terbabit dan Najip Ali mengeluarkan kenyataan maaf Zed menjawab ia dilakukan bukan atas kapasiti peribadi.

"Ini bukan personal. Saya buat kerana tanggungjawab menjadi presiden Seniman dan sebagai NGO untuk menyelesaikan masalah berkait," katanya.

Tiada ulasan: