HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 April 2017

Ibarat 'mencurah air ke daun keladi', kata polis Johor

MALAYSIAKINI



Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Sulaiman Salleh hari ini meluahkan kekecewaannya atas kedegilan sekumpulan remaja yang mengulangi kegiatan berbasikal lewat malam di lokasi sama yang
meragut lapan nyawa 18 Feb lalu.

Luahannya itu susulan penahanan 22 remaja berusia antara 14 dan 17 tahun yang didapati berkumpul dan berlumba basikal di Jalan Lingkaran Dalam, bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, awal pagi tadi.

Menyifatkan nasihat polis sebelum ini ibarat "mencurah air ke daun keladi", Sulaiman berkata sebahagian daripada yang ditahan itu juga adalah saksi kemalangan ngeri tersebut.

"Kesemua mereka ditahan ketika anggota kita sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan pada pukul 3 pagi semalam.

"Mereka ini didapati bergerak dalam kumpulan seramai 30 hingga 40 orang dan sedang berlumba di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.

Sulaiman yang jelas kecewa dengan perbuatan kumpulan remaja terbabit turut mengeluarkan amaran untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa yang berkenaan.

"Mereka boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun," katanya.

Beliau berkata polis tidak teragak-agak berbuat demikian jika keadaan mendesak kerana isu itu tidak boleh diserahkan kepada polis semata-mata.

Mengenai kumpulan remaja yang ditahan, Sulaiman berkata mereka merangkumi 20 remaja lelaki dan dua perempuan dengan 14 daripada mereka adalah penunggang basikal manakala baki merupakan penonton.

"Hasil siasatan mendapati 15 remaja yang ditahan merupakan pelajar sekolah dan tujuh daripadanya tidak lagi bersekolah.

"Mereka ini berhubung menggunakan media sosial dan datang dari serata kawasan termasuk Desa Cemerlang, Seri Alam, Kempas, Skudai, Johor Bahru Utara, Kangkar Pulai, Iskandar Puteri dan Taman Daya Johor Bahru," kata Sulaiman.

Beliau turut mendedahkan sepanjang tahun lalu pihaknya menjalankan 28 operasi dan menahan 27 remaja penunggang basikal.

Selain itu, lima operasi dijalankan dengan 17 penunggang basikal ditahan sebelum kejadian yang meragut lapan nyawa tersebut, katanya.

Tangkapan dan sitaan basikal itu dibuat menurut Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut dijalankan di bawah peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalulintas 1959 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM2,000 dan penjara tidak lebih enam bulan, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian 3 pagi, 18 Feb lalu, lapan remaja maut dan lapan lagi cedera dengan dua daripada mereka kritikal selepas dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita.- Bernama


Tiada ulasan: