HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 April 2017

Isu Sekolah Tamil Serendah: Kamalanathan dicabar letak jawatan

 Berita Daily Staff

Kenapa sekolah itu masih belum dibina? Itulah persoalan kami,” kata Dr Xavier sambil menambah kelewatan membina sekolah tersebut mempunyai agenda tertentu

KUALA LUMPUR: Bekas Exco Negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar hari ini mencabar Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan supaya meletak jawatan kerana masih membisu dalam isu pembinaan Sekolah Tamil Serendah yang dijanji enam tahun yang lalu.

Kata Dr Xavier, Kamalanathan yang juga Ahli Parlimen Hulu Selangor perlu letak jawatan sebagai ahli Parlimen setelah gagal membina sekolah sedangkan beliau sendiri merasmikan majlis pecah tanah sekolah tersebut.

Menurut laporan Desam Media Online, sebuah portal Tamil tempatan, Dr Xavier, Adun Seri Andalas,
dipetik berkata sebagai Kamalanathan tidak layak menjadi ahli parlimen setelah gagal menyelesaikan masalah Sekolah Tamil Serendah di kawasan Parlimen sendiri.

“Kenapa sekolah itu masih belum dibina? Itulah persoalan kami,” kata Dr Xavier sambil menambah kelewatan membina sekolah tersebut mempunyai agenda tertentu.

“Hanya Kamalanathan sahaja mengetahui agenda tersebut,” ujarnya lagi.

Xavier juga berkata bahawa ketiadaan tarikh tamat pembinaan sekolah di papan notis pemberitahuan turut membangkit soalan dan mengundang kemarahan penduduk Serendah.

Beliau turut memberitahu bahawa kerajaan negeri Selangor sedia mengambil alih tugas pembinaan sekolah tersebut.

Terdapat laporan bahawa sebanyak RM11 juta diagihkan untuk pembinaan sekolah tersebut.

“Sekiranya, Kamalanathan menghulurkan dana tersebut kepada kerajaan negeri, maka kami akan membina sekolah secepat mungkin,” tegas Xavier.

Tiada ulasan: