HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 April 2017

Kahwinkan perogol dan mangsa perlu dapat kebenaran mahkamah

Farhan Darwis

Realiti masyarakat hari ini, terdapat banyak kes rogol yang diklasifikasikan rogol oleh undang-undang sebagai “statutory rape”, iaitu atas dasar persetujuan bersama

KUALA LUMPUR: Perkahwinan yang berlaku daripada kes rogol tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya oleh wali sebaliknya perlu mendapat kebenaran Mahkamah Syariah, kata ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya.

Shahbudin berkata, realiti masyarakat hari ini, terdapat banyak kes rogol yang diklasifikasikan rogol oleh undang-undang sebagai “statutory rape”, iaitu atas dasar persetujuan bersama.

“Dalam menyelesaikan masalah tersebut, keluarga cuba menutup malu dan tidak membuat laporan polis dan akhirnya dan membuat keputusan mengahwinkan mereka.

“Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya oleh pihak wali tetapi perlu mendapat kebenaran Mahkamah Syariah terlebih dahulu,” katanya, dalam satu kenyataan kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, kes jenayah rogol itu masih tetap menjadi satu kesalahan jenayah dan terpulanglah kepada pihak polis dan mahkamah dalam menentukam hukuman terhadap kesalahan yang dilakukan perogol itu.

Shabudin semalam mencetuskam kontroversi apabila dilaporkan berkata bersetuju dengan perkahwinan antara perogol dan mangsa rogol.

Menafikan laporan itu, beliau berkata, pihaknya amat kecewa dan terkejut dengan cara media massa yang melaporkan perbahasannya secara tidak tepat seolah-seolah menggambarkan beliau menggalakkan jenayah seksual dan menyokong perkahwinan perogol dengan mangsa.

“Semasa saya membahaskan usul bagi menolak usul cadangan pindaan yang dibawa oleh Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, untuk mengharamkan perkahwinan bawah 16 tahun, saya telah menjelaskan perkahwinan dan jenayah adalah dua perkara yang berbeza.

“Mengikut enakmen Islam, mana-mana gadis yang hendak berkahwin bagi yang berumur 16 tahun dan kebawah hendaklah mendapat kebenaran wali dan mahkamah.

“Manakala bagi laki-laki bawah umur 18 tahun yang juga ingin melangsungkan perkahwinan perlu mendapat kebenaran mahkamah dan ianya tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

“Ini bermakna, enakmen Islam tidak beri kuasa sepenuhnya kepada wali bagi membenarkan berkahwin di bawah usia 16 tahun bagi perempuan dan 18 tahun bagi lelaki,” katanya, dalam kenyataan itu.
Shabudin berkata, tiada apa-apa peruntukan yang menghalang mereka ini untuk berkahwin.

“Laporan media yang menunjukkan bahawa saya menyokong perkahwinan perogol dan mangsa ini diambil dari luar konteks di mana penekanan saya sebenarnya adalah tentang peruntukan undang-undang sedia ada yang tidak menghalang sebarang perkahwinan dalam usia yang disebutkan,” katanya lagi.

Tambahnya, tidak ada apa-apa peruntukan undang-undang malah hukum syarak yang menghalang mereka daripada berkahwin.

“Isu ini sepatutnya dilihat dari sudut positif contohnya tentang masa depan mangsa itu sendiri terutamanya bagi kes ‘with consent’ tadi.

“Pada masa yang sama, perkahwinan ini bukanlah ‘back door exit’ untuk halalkan kesalahan rogol,” katanya.

“Dari sudut pandangan agama, pelaku seksual boleh mengahwini pasangan (mangsa rogol) sama ada selepas atau sebelum beliau menjalani apa-apa hukuman tanpa sekatan.”

Namun katanya, contoh yang dilaporkan oleh sesetengah media terutama The Star Online seperti yang ditularkan semalam dengan mengambil contoh gadis yang berusia sembilan dan dua belas tahun terlalu ekstrim dan sebenarnya dalam masyarakat moden Islam sendiri sangat-sangat jarang berlaku.

“Antara asas dalam hakim untuk membuat pertimbangan adalah berdasarkan kepada keadaan di mana seseorang itu telah aqil baligh.

“Tetapi pihak media dalam laporan mereka menyatakan seolah-olah saya mengatakan perempuan yang berumur sembilan tahun terus boleh berkahwin tanpa mengambil kira soal aqil baligh terutamanya dibahagian tajuk laporan berita tersebut.

“Saya membahas dan menolak usul tersebut kerana usul itu berlawanan dengan peruntukkan undang-undang Syariah seperti yang terkandung dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-Negeri,” katanya.

Tiada ulasan: