HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 April 2017

Kebajikan rakyat lebih penting sebelum RUU 355

Berita Daily Staff

Keadaan rakyat dan negara tidak akan bertambah baik dengan adanya RUU355 tanpa prinsip-prinsip murni keadilan dan kesaksamaan ditanam di kalangan masyarakat dan negara

KUALA LUMPUR: Persatuan Hokkien Selangor dan Kuala Lumpur (Hokkien SKL) berpendapat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang harus memberi fokus utama terhadap kebajikan rakyat dan kesengsaraan rakyat dulu sebelum membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian terhadap Akta 355.

Menurut Ketua Pemuda Hokkien SKL, Robert Lua Khang Wei kini ekonomi negara kita sedang merosot dan semua harga barang juga semakin melambung tinggi.

“Kemerosotan ekonomi dan kenaikan harga barang semakin mencekik masyarakat kita. Ini telah menyebabkan kebanyakan rakyat semakin tertekan dan hidup dalam kemiskinan dan kesusahan.”
“Sampai ibu terpaksa curi susu demi anak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Keadaan rakyat dan negara kita tidak akan bertambah baik dengan adanya RUU355 tanpa prinsip-prinsip murni keadilan dan kesaksamaan ditanam di kalangan masyarakat dan negara. Diketahui bahawa prinsip-prinsip murni keadilan dan kesaksamaan amat diutamakan oleh Islam,” tegasnya.

Tambah Robert lagi, rasuah dan pecah amanah kini bukan sahaja berlaku secara berleluasa, malah pada skala yang sangat besar.

“Seperti kerajaan- kerajaan yang runtuh dulu, termasuknya kerajaan Bani Umaiyah dan Bani Abas, pemimpin lupa kepada amanah, lalu sanggup menggunakan kekayaan untuk mengekalkan kuasa dan memenuhi kepentingan diri. Ini turut sedang berlaku di negara kita,” jelas beliau sambil menambah negara juga dilanda dan berlakunya pelbagai penindasan.

Kes- kes salahguna kuasa dan ketidakadilan sering berlaku.

“Contohnya, kes Siti Noor Aishah, seorang mahasiswi UM yang berasal dari keluarga miskin kini ditahan tanpa bicara oleh kerajaan; Khalid Samad, seorang ahli Parlimen yang membela nasib rakyat diserang oleh perusuh tetapi tidak diberi remedi, malah perusuh-perusuh, termasuk anak Timbalan Pasir Salak hanya dikenakan denda RM100 sahaja,” ujarnya.

Katanya, kes-kes tersebut telah menunjukkan bahawa terdapatnya penyelewengan dan ketidakadilan serta wujudnya pilih kasih di pentadbiran negara kita. Tanpa prinsip keadilan, kezaliman tetap akan wujud walaupun terdapat apa jua undang-undang.

“Tanpa prinsip-prinsip murni keadilan dan kesaksamaan di kalangan masyarakat dan negara, rasuah dan penindasan akan terus berleluasa, serta rakyat akan terus hidup dalam kemiskinan, keperitan dan kesusahan,” tambah beliau

Tiada ulasan: