HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 April 2017

KEDUDUKAN HISHAMMUDDIN KINI LEBIH TINGGI BERBANDING ZAHID HAMIDI?

 shahbudindotcom


Jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah suatu jawatan yang tidak termaktub dalam Perlembagaan, sebaliknya perlantikan seseorang untuk memegangnya adalah atas budi bicara Yang Dipertuan Agong setelah mendapat cadangan daripada Perdana Menteri.

Kewujudan jawatan tersebut hanyalah berdasarkan konvensyen iaitu amalan yang telah diguna-pakai sekian lama sebelum ini untuk menjadi pembantu atau bagi meringankan beban tugas Perdana Menteri.

Secara praktikalnya juga , jawatan itu adalah sebagai persediaan yang memudahkan peralihan kuasa jika sesuatu berlaku kepada Perdana Menteri.

Meskipun demikian, oleh kerana kedudukan jawatan itu tidak termaktub dalam Perlembagaan, ia boleh ditiadakan atau dilantik lebih daripada seorang untuk mengisinya.

Ia terpulang kepada Perdana Menteri yang sedang berkuasa sama ada mahu melantik siapa, mengosongkannya begitu saja atau mengisinya lebih daripada satu.

Jika kita masih ingat, ketika Tun Abdullah Badawi mula-mula menjadi Perdana Menteri dahulu, beliau membiarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri itu kosong untuk sekian lama sehingga menimbulkan keresahan kepada Najib Razak dan Tun Mahathir Mohamad juga dilaporkan turut melobi agar jawatan itu diberikan kepada Najib.

Dalam senario sekarang, Timbalan Perdana Menteri adalah Zahid Hamidi dan selain itu, beliau juga diberikan portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri.

Bermakna, Zahid Hamidi memegang satu jawatan atas ehsan Perdana Menteri atau secara konvensyen dan satu lagi yang termaktub dalam Perlembagaan.

Berbanding sepupu Najib, Hishammuddin Hussein, beliau adalah Menteri Pertahanan dan baru-baru ini dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri.

Kedua-dua jawatan yang disandang oleh Hishammuddin mempunyai kedudukan yang sah di sisi Perlembagaan.

Oleh itu, boss kami sebenarnya berada di kedudukan yang lebih tinggi berbanding Zahid Hamidi, kata seorang penyokong kuat Hishammudin ketika berbual-bual dengannya sambil menghirup kopi panas, petang tadi. 


 

Tiada ulasan: