HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 April 2017

Kedutaan Malaysia di Korea Utara tidak akan ditutup, kata Zahid

 
Malaysia tidak berhasrat untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara dan berharap Korea Utara melakukan tindakan yang sama.


zahid-malaysiaembessy

PETALING JAYA: Malaysia tetap meneruskan hubungan diplomatik dengan kerajaan Korea Utara dan tidak akan bertindak menutup kedutaan di negara itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri itu berkata Malaysia juga berharap Pyongyang mengambil tindakan sama.

“Kita tidak berhasrat untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara dan kita harap Korea Utara akan turut melakukan tindakan yang sama,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan MCPF kali ke-24 hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi MCPF dan Naib Pengerusi Kanan MCPF Tan Sri Lee Lam Thye.

Ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia-Korea Utara kini dilihat semakin reda apabila 9 rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Korea Utara susulan perbalahan diplomatik Kuala Lumpur-Pyongyang, selamat tiba di tanah air Jumaat lalu.

Ketegangan antara 2 negara itu tercetus susulan pembunuhan Kim Jong Nam, 46, abang sebapa pemimpin Korea Utara Kim Jong Un di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) di sini pada 13 Februari lalu.

Selain itu, Zahid turut menjelaskan Malaysia tidak melakukan pertukaran dalam menyelamatkan 9 rakyat Malaysia di Pyongyang itu tempoh hari, sebaliknya ia berdasarkan persefahaman dicapai 2 negara.

Mengenai status warga Korea Utara yang berada di Malaysia, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan membenarkan mereka untuk pulang ke Pyongyang.

Bagaimanapun, rakyat Korea Utara lain yang masih berada di negara ini tetap tertakluk kepada peraturan mengikut Akta Imigresen, katanya

Tiada ulasan: