HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 April 2017

Kenyataan Najib langsai hutang 1MDB hanya kaburi mata rakyat

MALAYSIA DATELINE



Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai membayar semua hutangnya berjumlah RM3 bilion sepanjang dua tahun lalu, hanya bertujuan mengaburi mata rakyat,kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu berkata,  Najib yang juga Menteri Kewangan dan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala urusan 1MDB gagal menyatakan baki keseluruhan hutang dan tanggungan 1MDB sekarang.

Pada 2014, keseluruhan hutang dan tanggungan 1MDB berjumlah RM42 bilion dan meningkat kepada RM50 bilion pada 2016.

"Kenyataan yang Najib buat itu sengaja untuk mengelabui mata rakyat, seolah-olah 1MDB telah terlepas daripada segala bebanan hutangnya. Najib juga tidak menjelaskan jumlah semasa komitmen bon 1MDB yang ditanggung oleh kerajaan yang biasanya dikelaskan sebagai tanggungan kontinjen oleh kerana bon itu dijamin kerajaan.

"Adakah 1MDB mempunyai sumber kewangan sendiri yang mencukupi untuk membayar semua hutang piutang ini tanpa bantuan daripada kerajaan,"ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas jawaban bertulis Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada Khamis lalu, yang  berkata, 1MDB tidak mempunyai sebarang hutang bank atau hutang jangka masa pendek pada masa ini.

Muhyiddin berkata, antara tanggungan 1MDB yang dijamin oleh kerajaan ialah bon sukuk berjumlah RM5 billion yang akan mencapai tempoh matang pada tahun 2039, bon sukuk berjumlah RM2.4 billion untuk Bandar Malaysia dan pinjaman daripada PERKESO berjumlah RM800 juta yang perlu dijelaskan keseluruhannya pada tahun 2022.

“Selain itu, 1MDB juga mempunyai komitmen untuk melangsaikan USD3 billion dollar bon antarabangsa yang akan matang pada tahun 2023 dan sejumlah USD6.48 billion dollar komitmen hutang dalam pertikaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC) dan anak syarikatnya Aabar Investments PJS.

“Bagaimana hutang-hutang ini akan dibayar oleh 1MDB? Dari manakah 1MDB akan menjana sumber pendapatannya untuk membayar kesemua hutang ini setelah aset-aset strategiknya dijual dan wang miliknya berjumlah berbilion ringgit dilaporkan hilang?,” katanya..

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Najib juga dalam kenyataan bertulisnya kepada Parlimen menyebut bahawa 1MDB telah menjelaskan hutangnya dengan Marstan Investments NV berjumlah RM2 bilion pada April tahun lalu.

“Apakah identiti syarikat ini dan siapakah pemiliknya? Apakah kaitan syarikat ini dengan Marstan Investments N.V LLC, sebuah ‘shell company’ yang ditubuhkan di Nevada pada tahun 2007 dan dibatalkan pendaftarannya pada bulan Mei 2013?

“Bagaimana pula dengan wang 1MDB yang dinyatakan secara jelas dalam Laporan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat telah dimasukkan ke dalam akaun Malaysian Official One dan orang-orang yang rapat dengan Najib?,” katanya.

Ini termasuk:

(a) Sejumlah USD700 juta yang dimasukkan ke akaun Good Star Limited milik Jho Low di RBS Coutts Bank, Switzerland pada 30 September 2009. Menurut Laporan DOJ sejumlah USD400 juta daripada wang ini telah digubah secara haram ke Amerika Syarikat dan digunakan untuk kepentingan Jho Low dan rakan-rakannya;

(b) Sejumlah USD330 juta lagi wang 1MDB yang dimasukkan ke akaun Good Star Limited milik Jho Low antara 20 Mei dan 25 Oktober 2011. Berdasarkan rekod perbankan JP Morgan Chase, antara bulan Februari dan Jun 2011, sejumlah USD24.5 juta telah dimasukkan ke satu akaun di Riyadh Bank milik seorang ‘Putera Raja Saudi’ dan sejumlah USD20 juta daripada wang ini telah dipindahkan ke akaun milik Malaysian Official One di AmBank Private Banking, Kuala Lumpur;

(c) Antara bulan Mei dan Disember 2012 Sejumlah USD1.1 bilion wang 1MDB yang diperolehi menerusi terbitan bon untuk membiayai pembelian Tanjong Energy dimasukkan ke akaun Blackstone milik Eric Tan Kim Loon, seorang rakan Jho Low, di Standard Chartered Bank Singapura. Sejumlah USD473 juta daripada wang ini telah dimasukkan ke akaun Vasco Investment Services milik Khadem Al-Qubaisi di Bank Rostchild, Luxemborg, USD66.6 juta dimasukkan ke akaun milik Mohamed Al- Husseiny di BHF Bank, Frankfurt dan USD30 juta dimasukkan ke akaun milik Malaysian Official One di AmBank Private Banking, Kuala Lumpur;

(d) Antara bulan Jun dan November 2012, sejumlah USD238 juta wang 1MDB telah dipindahkan daripada Akaun Aabar-BVI Switzerland kepada akaun milik Riza Aziz, anak tiri Najib. Wang ini telah digunakan oleh Riza untuk membiayai penerbitan filem lucah “Wolf of the Wall Street” dan membeli hartanah mewah di Amerika Syarikat dan United Kingdom; dan

(e) Pada tahun 2013, sejumlah USD1.26 bilion daripada USD3 bilion hasil bon yang diterbitkan untuk melabur dalam Abu Dhabi Malaysia Investment Company (ADMIC), iaitu syarikat usahasama antara 1MDB dan Aabar, telah dipindahkan secara haram ke akaun Tanore Finance Corporation milik Tan Kim Loon. Antara 21 dan 25 Mac 2013 sejumlah USD681 juta atau RM2.6 bilion telah dipindahkan daripada akaun ini ke akaun milik Malaysian Official One di AmBank Private Banking, Kuala Lumpur. Daripada jumlah ini, sejumlah USD620 juta telah dipulangkan semula ke Akaun Tanore pada 26 Ogos 2013. Menurut Laporan DOJ, wang ini telah digunakan oleh Jho Low dan Eric Tan untuk membeli lukisan-lukisan mahal dan kepentingan di dalam Park Lane Hotel, New York.

“Saya ingin bertanya kepada Najib, adakah ini wang yang dikatakan telah dipulangkan kepada “penderma Arab Saudi” ketika saya mengajukan soalan tentang ke mana perginya baki wang RM2.6 bilion dalam akaun beliau dua tahun lalu?,” katanya.

Muhyiddin berkata, lebih banyak persoalan yang mesti dijawab oleh Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB yang mempunyai kuasa penuh dalam membuat keputusan mengenai setiap komitmen kewangan 1MDB.


Tiada ulasan: