HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 April 2017

Kerajaan gagal faham hutang isi rumah, kata Pemuda Amanah

MALAYSIA DATELINE


Pemuda Amanah Nasional mendakwa kerajaan tidak faham mengenai Skim Pembiayaan Fleksibel (SPEF) apabila menganggap Projek Rumah 1Malaysia (PR1MA) dapa mengekang masalah hutang isi rumah.

Sebaliknya Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Pemuda Amanah Nasional Mohd Ammar Atan berkata, SPEF akan menyebabkan rakyat memiliki rumah dengan berhutang lebih banyak sehingga merisikokan caruman KWSP.

"Berdasarkan analisis yang dijalankan SPEF menyebabkan pembeli menerima kadar faedah yang lebih tinggi pada 4.75% berbanding dengan purata pasaran iaitu 4.45% dan pembeli terpaksa membayar lebih sehingga RM32,000 bagi rumah PR1MA berharga RM400,000 pada kadar pinjaman 35 tahun, ansuran bulanan akan lebih tinggi sebanyak RM75," katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah katanya, debt service ratio (DSR) bawah SPEF ditingkatkan kepada 70% berbanding hanya purata 60% bawah pinjaman konvensional dan ini menyebabkan peminjam menanggung lebih banyak hutang berbanding pendapatannya.
Ammar AtanAmmar Atan

Beliau berkata demikian mengulas jawapan bertulis kementerian kewangan di dewan rakyat bahawa salah satu langkah yang kerajaan untuk mengekang hutang isi rumah adalah membekalkan rumah mampu milik seperti PR1MA yang dilihat mampu membantu mengurangkan beban golongan peminjam ini apabila harga yang ditawarkan berpatutan.

Mengulas lanjut, Ammar berkata pihaknya bimbang pembeli PR1MA boleh menggunakan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membayar ansuran bulanan pinjaman rumah yang menyebabkan sumbangan bulanan 30% ke Akaun 2 akan digunakan untuk pembayaran semula.

"Kesannya, pada ketika persaraan, si peminjam akan mendapat simpanan KWSP 30% lebih rendah daripada yang sepatutnya. Melalui skim ini, peminjam tidak dibenarkan mengakses akaun 2 KWSP selagi mana pembayaran semula pinjaman rumah tidak selesai.

"Bukankah ini merisaukan memandangkan Laporan Tahunan KWSP 2015 sendiri mengatakan 68% ahli KWSP berumur 54 tahun hanya mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun KWSP. Sepatutnya, dengan andaian perbelanjaan bulanan sebanyak RM950, ahli KWSP perlu memiliki sekurang-kurangnya RM228,000 menjelang umur 55 tahun," jelasnya.

Beliau juga berkata, langkah ini mendorong ke arah pembentukan 'masyarakat penghutang' dalam keadaan kadar hutang isi rumah di Malaysia berbanding pendapatan boleh guna adalah sebanyak 140% dan merupakan antara yang tertinggi di dunia.

Menurutnya, kerajaan pusat boleh mengambil contoh kerajaan negeri Selangor dalam menawarkan polisi perumahan yang tepat dengan menawarkan harga mampu milik pada harga maksimum RM250,000 dan memperkenalkan Smart Sewa kepada rakyat selangor pada kadar yang 'mampu sewa'.

"Kenyataan retorik kerajaan Umno-BN jelas bercanggah dengan realiti yang sedang berlaku tanpa menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat," katanya.

Tiada ulasan: