HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 April 2017

Kerakyatan tidak terlucut jika terlibat militan, kata KDN

 Farhan Darwis

Seramai 30 rakyat Malaysia yang terlibat dengan elemen kumpulan pengganas IS dipercayai telah meninggal dunia sejak 2013 hingga Mac 2017

KUALA LUMPUR: Kewarganegaraan tidak akan terlucut sekiranya terdapat mana-mana rakyat Malaysia terlibat dengan kegiatan keganasan, kata Kementerian Dalam Negeri.

Menterinya, Dr Ahmad Zahid Hamidi juga berkata, seramai 30 rakyat Malaysia yang terlibat dengan elemen kumpulan pengganas IS dipercayai telah meninggal dunia sejak 2013 hingga Mac 2017.

Ahmad Zahid berkata, sejak tempoh itu, seramai 95 rakyat Malaysia dikesan dan dikenal pasti terlibat dengan elemen kumpulan militan IS di Syria dan Iraq dengan lapan daripada mereka telah ditangkap Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaik sahaja mereka kembali ke negara ini.

“Baki 57 lagi masih berada di kawasan bergolak,” kata Ahmad Zahid, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berkata demikian menjawab pertanyaan ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang meminta penjelasan jumlah rakyat Malaysia terlibat dengan kegiatan keganasan di luar negara dan mengapa kewarganegaraan mereka tidak dibatalkan.

Ahmad Zahid berkata, status kewarganegaraan adalah tertakluk kepada Perkara 24, 25, dan 26, Perlembagaan Persekutuan telah diperuntukkan bahawa kerajaan Persekutuan boleh mengambil tindakan pelucutan warganegara ke atas seseorang warganegara Malaysia.

Antara sebab yang membolehkan tindakan pelucutan diambil adalah individu berkenaan memperolehi kewarganegaraan negara lain.

Selain itu, jika individu itu menggunakan dan menuntut secara sukarela di mana-mana negara di luar Persekutuan apa-apa hak yang terdapat untuknya di bawah undang-undang negara itu iaitu hak-hak yang diberikan khusus kepada warganegara itu.

Ahmad Zahid berkata, kewarganegaraan juga boleh dilucut sekiranya seorang wanita yang mendapatkan kewarganegaraan Malaysia kerana berkahwin dengan lelaki warganegara Malaysia dan kemudiannya memperolehi kewarganegaraan mana-mana negara di luar Persekutuan disebabkan perkahwinan barunya yang bukan warganegara.

Selain itu, beliau berkata, kerakyatan boleh terlucut apabila warganegara Malaysia yang menjadi warganegara di bawah Perkara 16A atau Perkara 17

Perlembagaan Persekutuan atau menjadi warganegara melalui penaturalisasian didapati menunjukkan dirinya melalui perbuatan atau percakapan sebagai tidak taat atau tidak setia kepada Persekutuan dan telah memperolehi kewarganegaraan secara fraud, nyataan palsu atau persembunyian apa-apa fakta material

Tiada ulasan: