HALAMAN SANTAI

Ahad, 16 April 2017

Kesihatan pekerja Malaysia membimbangkan

 Bernama

Sebahagian pekerja Malaysia mengalami masalah kesihatan, menurut maklumat yang diperoleh daripada Program Saringan Kesihatan yang dijalankan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

KUALA LUMPUR: Kesihatan pekerja di negara ini di tahap membimbangkan dengan sebahagiannya mengalami masalah kesihatan, menurut maklumat yang diperoleh daripada Program Saringan Kesihatan yang dijalankan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Menteri Sumber Manusia Ismail Abd Muttalib berkata menurut statistik itu, 73 peratus daripada pencarum Perkeso yang menjalani saringan kesihatan mempunyai masalah berat badan, kencing manis (sembilan peratus), tekanan darah tinggi (27 peratus) dan kadar kolestrol tinggi (62 peratus).

“Statistik itu menunjukkan kurangnya kesedaran dalam kalangan pekerja khususnya pencarum Perkeso dalam penjagaan kesihatan.  Kesedaran mengenai penjagaan kesihatan  amat penting bagi memastikan pekerja kekal sihat untuk bekerja dan menyumbang kepada organisasi dan keluarga,” katanya.

Ismail berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Run and Ride Perkeso serta menyempurnakan majlis prapelancaran Hari Pekerja 2017 di sini, hari ini.

Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan untuk menggalakkan pekerja mengamalkan gaya hidup sihat, namun ia adalah tugas mencabar memandangkan mereka kurang kesedaran untuk menjaga kesihatan.

Pada majlis itu, lebih 5,000 peserta menyertai Run and Ride Perkeso yang turut disertai Ketua Setiausaha kementerian Adenan Ab Rahman, Pengerusi Lembaga Perkeso Abu Huraira Abu Yazid dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Tiada ulasan: