HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 April 2017

'Mahdzir pun bekas guru yang berpolitik, sokong BN'

MALAYSIA DATELINE

Sofi WahabSofi Wahab

Ugutan menteri pendidikan kepada guru di seluruh negara menafikan kebijaksanaan, hak politik dan hak memilih pemimpin yang berintegriti kepada warga pendidik yang dikategorikan sebagai golongan intelektual di negara ini.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, ia secara jelas menggambarkan kegagalan seorang menteri melihat kemajuan sistem pendidikan negara yang telah berjaya melahirkan rakyat Malaysia yang sudah dapat menganalisis dan membuat evaluasi terhadap tahap pencapaian negara.

"Terlalu banyak perkara yang boleh guru persoalkan berkaitan kementerian pendidikan bermula dari peringkat prasekolah, rendah, menengah hingga ke peringkat universiti yang sepatutnya beliau tumpukan, kalau pun tidak mahu mendengar kritikan para pendidik yang terlibat secara langsung dengan segala permasalahan di peringkat pelaksanaan dasar pendidikan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Datuk Seri Mahdzir Khalid dipetik sebagai berkata, guru walaupun berada dalam negara demokrasi, sebagai kakitangan awam, mereka tertakluk dengan peraturan yang membataskan perbuatan mereka di khalayak umum.

“Jika mereka seorang guru, tetapi sudah naik pentas pembangkang, bersyarah dan hentam kerajaan, sedangkan masih menjawat jawatan dalam kerajaan, tak patutlah mereka sampai ke situ.

“Kalau rasa dah boleh naik pentas dan hentam kerajaan, ada pula elemen tidak sihat dibangkitkan serta wujud unsur fitnah, saya ingatkan lebih baik tinggalkan profesion itu dan lawanlah betul-betul,” katanya
ketika beliau berucap pada sesi Dialog Pendidikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.

Terkini hari ini dilaporkan Kementerian Pendidikan telah menghantar surat tunjuk sebab kepada lima guru yang didapati menaiki pentas politik pembangkang untuk memburukkan kerajaan.

Mengulas lanjut, Sofi berkata, Mahdzir  juga seorang bekas guru yang terlibat secara aktif dalam politik Umno dan 'mengerjakan' pegawai bawahan yang tidak sebulu dengannya.

"Beginikah cara dan pendekatan seorang bekas pendidik dan menteri berhadapan dengan pegawai pendidikan yang bermati-matian mendokong dan memajukan pendidikan anak bangsa? Apakah ini kualiti menteri pendidikan kita?

"Apa yang pelik beliau tidak pula mempersoalkan keterlibatan guru dalam parti-parti komponen BN. Inilah sikap double standard menteri kelas ketiga ini yang dilihat setaraf dengan mereka yang tidak berpelajaran," katanya.

Beliau menegaskan, guru bukannya mengkritik kerajaan membuta-tuli tetapi mereka mempunyai fakta dan asas kepada kritikan tersebut.

"Apakah menteri ini merasakan kerajaan pada hari ini 'maksum' bebas dari sebarang kesalahan dan kelemahan?

"Kritikan yang diberikan oleh guru-guru ini adalah kritikan yang membina untuk melihat negara maju, bebas dari penyelewengan, salah laku, rasuah dan sebagainya," katanya lagi.

Justeru beliau menyeru semua warga pendidik bangkit dan bersatu dengan kebangkitan rakyat menumbangkan pemerintah yang tiada integriti dan merosakkan kehidupan rakyat.

"Amanah yakin amaran ini tidak akan memberi kesan kepada guru-guru kerana ianya bukan perkara baru.

Hanya menteri yang bebal sahaja yang mengulangi kesilapan menteri-menteri pendidikan terdahulu yang sering memberikan amaran yang sama," katanya.

Tiada ulasan: