HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 April 2017

Nik Abduh: PAS tak pernah anggap Umno musuh sesama Islam

 
Berbanding dengan Amanah yang sering menganggap Umno adalah musuh sampai akhirat sehinggakan apabila PAS mahu bekerjasama dengan Umno dalam perkara berkaitan Islam, Amanah akan marah.


nik-abduh-umno


SUNGAI SIPUT: Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, PAS tidak pernah menganggap Umno sebagai musuh sesama Islam walaupun kedua-dua parti berbeza ideologi politik.

“Berbanding dengan Amanah (Parti Amanah Negara) yang sering menganggap Umno adalah musuh sampai akhirat sehinggakan apabila PAS mahu bekerjasama dengan Umno dalam perkara berkaitan agama Islam, Amanah akan marah dan ditolak oleh mereka.

“Saya minta supaya ahli PAS berfikir jauh bahawa perjuangan Islam ini bukan hanya untuk PAS dan Umno tetapi bagaimana kita hendak membawa agama ini diterima oleh masyarakat (berbilang kaum di negara ini),” kata beliau dipetik Bernama.

Terdahulu beliau merasmikan Muktamar Tahunan ke-34 Pemuda PAS Perak, di sini hari ini.

Mengenai hubungan dengan PKR, beliau berkata, masih belum boleh membuat kesimpulan berhubung usul itu kerana terdapat 10 negeri yang belum mengadakan mesyuarat kawasan.

“Ketika ini hanya 4 negeri yang telah selesai mengadakan muktamar dan bakinya akan selesai sebelum kami mengadakan Muktamar PAS Pusat hujung bulan ini,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Dalam pada itu, Bernama melaporkan, PAS Pulau Pinang akan mengemukakan usul untuk memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR pada Muktamar PAS Ke-63 di Kota Sarang Semut, Kedah.

Pesuruhjaya PAS negeri, Fauzi Mohd Yusof berkata, 13 kawasan PAS Pulau Pinang telah bersetuju membawa usul itu kerana PKR dilihat tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu mereka.

Katanya, 13 kawasan PAS sudah bermesyuarat dan masing-masing sebulat suara mengusulkan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

“Ini menunjukkan betapa seriusnya PAS Pulau Pinang menilai segala tindakan yang telah dilakukan sepanjang PAS bersama dengan PKR,” katanya kepada pemberita selepas Muktamar Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang kali ke-37 di Mengkuang Titi, Bukit Mertajam hari ini.

Beliau berkata, usul tersebut akan dihantar ke PAS pusat dan jawatankuasa penapisan usul serta pihaknya berharap ia akan diterima untuk dibahaskan pada muktamar nanti.

Tiada ulasan: