HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 April 2017

PAS Johor pula lulus usul putus hubungan dengan PKR

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
JOHOR BHARU: Pemuda PAS Johor semalam sebulat suara meluluskan usul supaya kerjasama politik parti itu dengan PKR diputuskan.
 
Turut diluluskan adalah usul supaya PAS merampas semula kerusi parlimen Batu Pahat "yang dipinjamkan" parti itu kepada PKR pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
 
Kerusi itu kini diisi Datuk Idris Jusi yang mengetepikan pemimpin kanan Umno, Datuk Dr Puas Zarkashi dengan majoriti 1,732 undi.
 
Dalam kenyataannya malam tadi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz, berkata usul memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR dibawa perwakilan Pasir Gudang pada mesyuarat tahunan mereka semalam.
 
"Pemuda PAS Johor dengan ini bertekad untuk melebarkan kemenangan PAS di bumi Johor Darul Takzim pada PRU ke-14 nanti," katanya.
 
Usul supaya PAS menamatkan kerjasama dengan PKR bukanlah baru. Sebelum ini beberapa kawasan di Pulau Pinang, Terengganu, Kedah dan Kelantan juga pernah menerima usul berkenaan.
 
Bagaimanapun keputusan muktamad mengenai isu itu akan diputuskan pada muktamar tahunan PAS ke-63 di Alor Setar, Kedah akhir bulan ini.
 
Kenyataan Ahmad Nawfal itu dibuat hanya beberapa hari selepas Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, mendakwa parti itu tetap menjemput wakil daripada PKR jika ada mesyuarat atau ceramah.
 
Beliau yang juga Ketua Dewan Ulama PAS berkata, jika boleh parti itu mahu meneruskan hubungan sedia ada dengan PKR.
 
Namun jika diputuskan PAS akan bersendirian nanti, kata Mahfodz, ia akan dihadapi sama ada suka atau tidak.
 
 

Tiada ulasan: