HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 April 2017

PAS kata RUU355 sukar kerana 'tangan petualang'

MALAYSIAKINI




PAS berpendapat kesukaran mereka membentangkan rang undang-undang persendirian presiden parti itu berpunca daripada perancangan halus "sang petualang".

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan, berkata petualang terbabit merelakan diri mereka "bersekongkol dengan musuh Islam" dan "suka menjadi terompah kayu" kepada golongan terbabit.

Langkah itu, katanya, dibuat bagi menggagalkan usaha mengangkat serta menobatkan syariat Islam dalam sistem perundangan negara.

"Kata nista, cercaan dan penghinaan kepada mereka yang berusaha dan berjuang menegakkan syariat Islam adalah suatu sunnatullah. Tiada apa yang perlu diresahkan oleh para pejuangnya. Hanya bersabar, berusaha dan bertawakkal kepada Allah SWT.

"Jelas tidak keruan ialah sang petualang. Mereka tidak sedap duduk selagi tidak berjaya menggagalkan pelaksanaan syariat Islam melalui pindaan Akta 355.

"Raut wajah mereka jelas kelihatan gusar dan gelisah. Mereka kalut mencipta pelbagai tohmahan.

"Mereka berlumba-lumba untuk menonjol diri memberi alasan kenapa pelaksanaan syariat Islam melalui pindaan Akta 355 ini wajar ditolak, supaya mereka mendapat tempat di mata golongan anti-Islam.

"Untung-untung dapatlah tiga atau empat kerusi untuk mereka bertanding dalam pilihan raya kelak," katanya dalam suatu kenyataan.

Usul meminda Akta 355 - atau nama lengkapnya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 - cuba dibawa ke Dewan Rakyat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Disebabkan sifatnya sebagai rang undang-undang persendirian, Dewan Rakyat biasanya mengutamakan urusan dibawa kerajaan terlebih dulu.

Bagaimanapun pada Perhimpunan Agung Umno 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan dalam ucapan dasarnya untuk mengabil alih rang undang-undang berkenaan.

Pengumuman itu mendapat tepukan gemuruh daripada perwakilan perhimpunan berkenaan.

Pertengahan Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sekali lagi mengumumkan rancangan kerajaan mengambil alih rang undang-undang berkenaan.

Pada 29 Mac, selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, Najib mengumumkan, kerajaan tidak akan mengambil alih rang undang-undang itu.

Kata perdana menteri, keputusan itu dibuat sebagai menghormati semangat kesepakatan diamalkan BN. Untuk rekod, MCA, MIC dan Gerakan adalah antara parti yang bertegas menolak rang undang-undang berkenaan.

Sementara itu Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata "petualang" sebenar dalam isu rang undang-undang 355 (RUU355) ialah pihak yang diberi peluang membentangkannya sebanyak dua kali tetapi kemudian menangguhkannya.

"Saya ulang: dua kali, bukan sekali dan akhirnya tangguh tanpa sebab.

"Masyarakat Muslim pening. Awalnya ketika mahu meminda Akta 355, mereka seolah-olah tak boleh bersabar langsung. Namun ketika ada peluang, ruang itu langsung dibazirkan begitu sahaja.

Sebenarnya apa nilai pindaan ini bagi mereka? Mahu bermain-main atau apa?" katanya kepada Malaysiakini.

Mengaggap PAS jelas dipermainkan, Shazni Munir berkata, parti terbabit masih tidak kelihatan membuat serangan kepada Umno.

Sebaliknya, kata beliau, PAS menyerang pihak lain dengan memberikan label dalang dan petualang.
"Umno tipu kamu hidup-hidup, wajarkah senyap begitu saja?" katanya.


Tiada ulasan: