HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 April 2017

PAS ramal PRU14 antara Julai dan September

 
Tuan Ibrahim berkata PAS akan bertanding di beberapa kerusi baharu berdasarkan keadaan politik semasa terutama membabitkan hubungan dengan parti pembangkang yang lain.


ibrahim-ge14

MACHANG: PAS yang sebelum ini mengumumkan mahu bertanding sebagai blog ketiga meramalkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan antara Julai dan September tahun ini, kata Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sehubungan itu kata beliau, PAS kini telah siap siaga bagi menghadapi PRU14 dan gerak kerja di peringkat peti undi dan bilik operasi parti itu telah digerakkan sepenuhnya.

“Jentera pilihan raya di semua peringkat telah digerakkan dan bilik operasi juga telah digerakkan sepenuhnya. Jentera parti kini dah bersedia untuk hadapi PRU14,” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Kelantan kali ke-58 yang turut dihadiri Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Ahmad Fadhli Shaari di Pulai Chondong di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi PRU14 walaupun sekiranya ia diadakan dalam waktu terdekat.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, PAS akan bertanding di beberapa kerusi baharu berdasarkan keadaan politik semasa terutama membabitkan hubungan dengan parti pembangkang yang lain.

“Dulu kita bertanding di 73 kerusi dan PAS mula melihat beberapa kerusi yang kita fikir berpotensi. (Yang pastinya) PAS akan lawan BN di hampir 90 peratus kerusi yang akan ditandingi PAS,” katanya

Tiada ulasan: