HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 April 2017

Pemandu Uber, Grab bayarlah cukai, usah beri alasan

Oleh Kamarudin Mohd Husain
 
 
Kebanyakan pemandu Uber dan Grab telah memiliki pekerjaan tetap, mereka menjana pendapatan sampingan mereka dengan memandu Uber dan Grab.


uber-grab-1



Kenapa pemandu teksi tidak dikenakan cukai? Ini pertanyaan salah seorang pemandu teksi beraplikasi Uber dan Grab, Syed Rosli Jamalullail baru-baru ini. Dalam tulisannya yang dibawa FMT, Syed Rosli dipetik berkata, “kalau pemandu teksi tidak dikenakan cukai pendapatan kenapa pemandu Uber dan Grab hendak dikenakan cukai?”

Ya, saya setuju soalan yang dibangkitkan oleh Syed Rosli itu ada asasnya. Tetapi saya ingin berkongsi pandangan.

Kebanyakan pemandu Uber dan Grab telah memiliki pekerjaan tetap, mereka menjana pendapatan sampingan mereka dengan memandu Uber dan Grab.

Sedangkan keadaan itu amat berbeza jika dibandingkan dengan pemandu teksi – pemandu teksi tidak memiliki sebarang pekerjaan tetap ataupun pekerjaan sampingan seperti pemandu Uber dan Grab.

Ini realiti yang kita semua tahu. Kebanyakan pemandu Uber dan Grab menjadikan kerja menyediakan perkhidmatan teksi sebagai kerja sampingan, di mana mereka sudah ada kerja lain dan berpendidikan tinggi berbanding kami yang hanya bergantung pada kerja memandu teksi semata-mata.

Kebanyakan pemandu teksi normal bergantung 100% kepada pemanduan teksi. Malah pendapatan mereka tidak sampai RM2,000 sebulan. Kini mereka terpaksa pula berkongsi sumber pendapatan dengan pemandu-pemandu Uber dan Grab.

Keputusan kerajaan untuk mengkaji dan mengenakan cukai pendapatan ke atas pemandu Uber dan Grab adalah wajar kerana tidak mustahil dengan melakukan 2 pekerjaan pendapatan pemandu Uber dan Grab mampu melebihi RM3,000 sebulan. Bermakna dalam setahun mereka boleh menerima sehingga RM36,000 ataupun lebih.

Jika kita membaca kenyataan LHDN di mana jika pendapatan tahunan melebihi RM30,000, mereka perlu membayar cukai. Memang kita tahu sesiapa sahaja berpendapatan melebihi had itu perlu membayar cukai pendapatan. Ia bukan sesuatu yang keterlaluan atau luar biasa.

Sebelum ini kita dapat melihat syarikat aplikasi Uber dan Grab menghebahkan skim perkongsian sebagai peluang pendapatan sampingan yang lumayan.

Malah saya mendapati pemandu-pemandu Uber dan Grab sering membuat pengakuan menerusi laman sosial yang pendapatan mereka mampu mencecah sehingga RM2,000 dalam masa seminggu. Bukankah begitu?
Jadi kenapa kini apabila LHDN ingin mengenakan cukai pendapatan, mereka tidak bersetuju?

Pemandu-pemandu teksi Uber dan Grab perlu menjadi warganegara yang bertanggungjawab dengan membayar cukai pendapatan. Jangan hendak lari daripada membayar cukai apabila tertakluk kepada undang-undang negara. Kewajipan ini juga sebahagian daripada peraturan cukai yang bakal dikenakan ke atas mereka yang menjalankan bisnes atas talian.

Ledakan ICT menyebabkan persekitaran berubah. Jadi sudi-sudilah menerima pembaharuan sistem percukaian negara. Setiap tindakan ada kelebihan dan kekurangan. Begitu juga risiko. Anda pemandu teksi Uber dan Grab perlu menerima perubahan ini.

Kamarudin Mohd Husain adalah Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M))

Tiada ulasan: