HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 April 2017

Perogol perlu dihalang kahwini mangsanya

Berita Daily Staff

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahya didesak menarik kembali kenyataannya bahawa  tiada salahnya bagi seorang mangsa rogol berkahwin dengan perogol.

KUALA LUMPUR: Undang-undang dalam negara perlu menghalang mangsa rogol mengahwini penjenayahnya, demikian kata Wanita dan Pemuda Persatuan Hokkien Selangor dan Kuala Lumpur (Hokkien SKL).

Menerusi kenyataan bersama, Ketua Pemuda dan Ketua Wanita persatuan tersebut iaitu Robert Lua Khang wei dan Lee Pak Hun turut berpendirian bahawa perkahwinan perogol dan mangsanya hanya akan memburukkan masalah sosial tersebut.

“Undang-undang mesti mematuhi prinsip keadilan dan Perlembagaan Malaysia, supaya menghalang penjenayah rogol berkahwin dengan mangsa rogol. Perkahwinan antara mangsa rogol di bawah umur dengan perogolnya tidak dapat mengubati masalah sosial, malah akan menyebabkan masalah sosial menjadi lebih serius, serta membawa masyarakat ke zaman Jahiliyah.

“Selain itu, penjenayah rogol harus diubati secara serius dan bukan digalak mengahwini mangsa rogol bawah umur. Penjenayah rogol tiada sebarang hak berkahwin dengan individu yang dizaliminya dan penjenayah tersebut harus menanggung denda yang dijatuh terhadapnya, dan menerima psikoterapi serta pendidikan moral atau agama,” kata mereka.

Kedua-dua mereka berkata mengulas kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahya bahawa tiada salahnya bagi seorang mangsa rogol berkahwin dengan perogol, malah menyifatkan segelintir kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun bersedia dari segi fizikal dan rohani untuk perkahwinan.
Shabudin dilaporkan berkata demikian ketika membahaskan tentang Rang Undang-Undang (RUU)

Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 selepas beberapa Ahli Parlimen pembangkang
mencadangkan supaya pindaan itu memasukkan perkahwinan kanak-kanak sebagai satu kesalahan.

Sehubungan itu Shabudin didesak untuk menarik kembali kenyataannya sebelum kehilangan kerusi Tasek Gelugor pada pilihan raya yang akan datang.

Tiada ulasan: