HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 April 2017

PH kejar populariti perjuang pilihan raya kerajaan tempatan, kata Noh Omar

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Tan Sri Noh Omar berkata pembangkang hanya mengejar populariti di mata rakyat dengan memperjuangkan pilihan raya kerajaan tempatan kerana mereka tahu perkara itu tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
 
"Dalam akta kita, akta 171 mengenai pilihan raya tempatan ni tidak ada. Jadi pembangkang ni biasalah dia nak buat, walaupun tidak ada dalam undang-undang. Dia nak buat juga akhirnya bila kita kata tidak boleh, dan dia buat juga dia kononnya menjadi 'champion ' lah.

"Ertinya, kalau dia nak buat dia melanggar undang-undang lah. Jadi dalam akta kita tiada," kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu ketika ditemui pemberita selepas lawatan rasminya ke Desa Mentari, di sini hari ini.

Pilihan raya kerajaan tempatan merupakan salah satu janji ditawarkan dalam manifesto Pakatan Rakyat (PR) ketika bertanding pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad, memberikan pandangan berbeza apabila tidak bersetuju untuk pembangkang mengadakan pilihan raya berkenaan kerana ia mampu memburukkan lagi jurang antara kaum di Malaysia.

Gabungan pembangkang itu setakat ini masih belum membuat keputusan rasmi berhubung pelaksanaan pilihanraya berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, Noh enggan mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir yang ingin menawarkan diri sebagai penasihat ekonomi negara sekiranya pakatan pembangkang itu memenangi Pilihan Raya Umum akan datang.

"Saya malas nak komen mengenai pakatan ini. Dia (Pakatan Harapan) ramai pemimpin hebat, biar dia selesai masalah dia. Saya di Selangor saya fikir tentang BN sahaja dan prinsip saya di Selangor, kita perlu bersedia hadapi dua penjuru.

"Jadi apa nak berlaku pada pembangkang saya tidak hendak ambil tahu," tambahnya.

Beliau dalam masa yang sama membidas sikap kerajaan negeri yang didakwa tidak mengambil berat mengenai masalah yang membelenggu rakyat setempat di kawasan itu.

"Jadi kita tahu kerajaan negeri Selangor macam-macam yang dia rancang tetapi mengapa masalah asas rakyat, masalah lif dan masalah kemudahan yang diperlukan oleh rakyat setempat tidak diambil berat?

"Jadi dia hanya mengambil dasar yang umum, yang saya lihat tidak dapat dinikmati oleh semua rakyatlah.

"Kalau BN memerintah semula, kita perlu berikan keutamaan, dan pembelaan sesuai dengan nak menjadikan rakyat bandar ini hidup lebih sejahtera terutamanya di negeri Selangor ini," katanya.


Tiada ulasan: