HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 April 2017

P'raya PBT - HARAPAN belum putuskan


Pakatan Harapan (HARAPAN) masih belum membuat keputusan rasmi berhubung pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan, kata pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP, Liew Chin Tong, berkata isu berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat pimpinan HARAPAN.

Liew juga berkata, perbincangan mengenai cadangan berkenaan - sama ada akan dilaksanakan atau tidak - akan dibuat "apabila tiba masanya".

Pilihan raya kerajaan tempatan merupakan salah satu janji ditawarkan dalam manifesto Pakatan Rakyat ketika bertanding pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad, memberikan pandangan berbeza mengenainya baru-baru ini.

Dr Mahathir menjelaskan, jika pilihan raya peringkat kerajaan tempatan diadakan, ada kemungkinan kawasan bandar dan luar bandar akan ditadbir oleh kaum berbeza.

“Kita sudah ada masalah dengan sekolah berlainan bangsa tetapi kalau kita memisahkan kawasan mengikut kaum, ini tidak selamat,” katanya pada Jumaat lalu.

Mohamad bagaimanapun enggan menyatakan pendirian AMANAH mengenai isu berkenaan.

Kena sediakan fakta

Liew yang juga anggota parlimen Kluang pula berkata pandangan Dr Mahathir kelihatan agak terkebelakang kerana berpendapat pilihan raya kerajaan tempatan akan menyebabkan pemisahan etnik di antara kawasan bandar dan luar bandar.

“Itu adalah idea lama… yang mana perlu dibincangkan dari semasa ke semasa. Idea lama adalah bandar-bandar dikuasai oleh bukan Melayu, sedangkan Melayu membentuk majoriti di semua bandar-bandar di seluruh Malaysia, termasuk Kuala Lumpur.

"Jadi saya rasa kena ada ruang untuk perbincangan," kata Liew.

Kedua-dua pemimpin itu ditemui media pada dua sidang media berasingan sempena seminar pemikiran bekas mursyidul am, PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Liew sebelum ini beliau pernah bertanya kepada Dr Mahathir mengenai perkara itu dalam sebuah forum dan bekas presiden Umno berkenaan memberikan jawapan yang sama.

Namun kata Liew, diharapkan Dr Mahathir dapat menyediakan fakta apabila HARAPAN membuat perbincangan mengenainya nanti.

Mengenai harapan Dr Mahathir bahawa beliau akan diberi jawatan penasihat HARAPAN bagi mengambil alih Putrajaya, Mohamad dan Liew - sekali lagi - berkata pimpinan pembangkang perlu bertemu bagi membincangkan perkara itu.

“Kita kena bincang perkara ini. Ia tidak dibincangkan lagi (dalam mesyuarat),” kata Mohamad.


Tiada ulasan: