HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 April 2017

Projek ECRL serah bulat-bulat kepada negara asing

 ARIF ATAN

Azam IsmailAzam IsmailPengerusi PKR Terengganu, Azam Ismail menganggap Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang kira-kira 600 kilometer itu mungkin sebagai projek strategik nasional pertama diserahkan sepenuhnya kepada negara asing.

"Bagi saya, amatlah malang Malaysia tidak mempunyai hak untuk menentukan kontraktor pilihan dalam projek di negara sendiri.

"Malah, situasi ini akan menyisihkan syarikat-syarikat tempatan sehingga tidak akan berlaku perpindahan pengetahuan dan teknologi.

"Pada pandangan saya, ini mungkin projek strategik nasional pertama yang diserahkan bulat-bulat kepada sebuah negara asing untuk dilaksanakan," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan bertulis Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan kontraktor bagi ECRL telah ditentukan oleh kerajaan China dan syarikat pembinaan milik negara itu, China Communications Constructions Company (CCCC) yang melaksanakan projek itu.

Najib juga memberitahu, Malaysia telah diberikan syarat-syarat pembiayaan menarik dan sebagai pertukaran pihak China akan mencalonkan kontraktor pilihan mereka dalam membina prasarana bernilai RM55 bilion itu.

Menurut Azan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, kos bagi projek prasarana tersebut juga terlalu tinggi walhal sepatutnya adalah separuh daripada RM55 bilion.

"Pembiayaan dari China adalah berbentuk pinjaman, yang bermaksud pembayar cukai dan generasi akan datang wajib membayar kembali pinjaman yang dibuat oleh kerajaan Malaysia pada hari ini.

"Di samping itu, projek ini juga tidak lepas daripada isu syarat-syarat pembayaran balik dan berapakah kadar faedahnya yang tidak dijelaskan secara telus oleh kerajaan Umno-BN," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan situasi pada masa ini jelas menunjukkan Malaysia mula dijajah oleh kuasa asing melalui dominasi pekerjaan, pemberian projek dan hutang 1MDB yang sukar dibayar.

"Dalam hal pekerjaan, projek ECRL ini juga dijangka tidak akan memberi faedah yang besar kepada rakyat kerana China dijangka akan membawa masuk pekerja serta bahan binaan daripada Tanah Besar," ujarnya.

Jelasnya, kerajaan Umno-BN kelihatan terhutang budi apabila seolah-olah berdiam diri kerana tidak mempertahankan hak-hak Malaysia di kawasan Laut China Selatan kesan pinjaman modal dari China.

"Sebelum ini, Malaysia membantah keras kemasukan China di kawasan tuntutan bertindih di Kepulauan Spartly yang menjadi wilayah pertikaian serta perebutan antara negara Asia Tenggara seperti Vietnam, Brunei, Taiwan, Indonesia dan Filipina.

"Kerajaan Malaysia juga telah menjual beberapa aset strategik negara seperti Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange kepada China untuk mengurangkan hutang 1MDB," tambahnya lagi.

Sementara itu, Sesi Penelitian Awam bagi projek ECRL sedang berlangsung sehingga 6 Jun nanti di pejabat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) beralamat di Aras 5, Blok 5, Platinum Sentral dekat KL Sentral.

"Orang awam dijemput untuk meneliti projek ini. Maklumbalas boleh dihantar kepada MRL selewat-lewatnya 5 Jun 2017. Kakitangan MRL akan sedia membantu di lokasi-lokasi berkenaan," dipetik dari Notis Penelitian Awam di akhbar tempatan pada 5 Mac lalu.

Pameran sejak 8 Mac lalu itu turut diadakan di pejabat Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) beralamat di Menara 1 Dutamas, Solaris Dutamas No. 1, Jalan Dutamas di ibu negara serta 15 pejabat daerah tempatan di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Lebih 20 stesen ECRL disenaraikan iaitu di Wakaf Bharu, Kota Bharu, Jelawat dan Tok Bali sebelum memasuki Kampung Raja di Besut, Terengganu diikuti Penarik, Kuala Telemong, Pengkalan Berangan, Dungun, Kerteh, Kemasik dan Chukai.

Lokasi stesen ECRL berikutnya di Pahang meliputi Cherating, Kuantan Port City dan Kota Sultan Alam Shah atau dikenali sebagai Kota SAS di Indera Mahkota serta Kuantan Sentral, Gambang, Maran, Mentakab dan Bentong.

Seterusnya, ECRL akan melalui Selangor di Gombak Utara dan Integrated Transport Terminal (ITT) Gombak berdekatan stesen transit aliran ringan (LRT) Putra Gombak

Tiada ulasan: