HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 April 2017

Prosedur buka baju untuk calon pramugari Malindo Air menjijikkan

Farhan Darwis

Malindo Air terpalit dalam kontroversi selepas dilaporkan meminta calon temuduga untuk menanggalkan baju semasa sesi temuduga pada 11 Mac yang lalu

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata prosedur membuka baju bagi calon temuduga pramugari syarikat penerbangan Malindo Air adalah menjijikkan.

Siti Mariah berkata, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga, dan Masyarakat, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia perlu menghentikan perbuatan ini.

“Seseorang pramugari perlu menjadi ‘presentable and charming’, ya itu saya setuju. Tetapi bukan seksi.
“Kita bukan hendak lihat mereka seksi atau tidak, melainkan layanan munasabah kepada penumpang,” katanya, ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Malindo Air terpalit dalam kontroversi selepas dilaporkan meminta calon temuduga untuk menanggalkan baju semasa sesi temuduga pada 11 Mac yang lalu, lapor Malay Mail Online, hari ini.

Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi firma itu, Raja Sa’adi Raja Amrin mempertahankan langkah itu dengan berkata, adalah menjadi hak majikan untuk meminta calon pramugari yang berpotensi untuk mendedahkan bahagian dada kepada penemuduga.

Beliau bagaimanapun menjelaskan calon berkenaan hanya diminta untuk menanggalkan baju dan bukannya coli, seperti yang didakwa oleh para pengadu yang menghadiri sesi temuduga berkenaan.

Firma penerbangan berkenaan katanya mahu melihat jika calon-calon mempunyai apa-apa tanda di bahagian badan mereka kerana pakaian seragam Malindo yang sebahagiannya agak jarang.

Siti Mariah berkata, tindakan itu adalah mengaibkan dan menjijikkan untuk golongan wanita.

“Ia menjijikkan, mengaibkan dan menghina wanita. Walaupun mereka beri alasan yang menjalankan ‘grooming check’ itu adalah wanita.

“Dalam dunia moden sekarang yang penuh tamadun, kita hendak minta kerja dan perlu tunjuk tubuh badan? Ini menjijikkan.

“Alasan mereka hendak tahu kulit seseorang itu ada parut, jerawat, tatu, ini adalah sesuatu yang tak boleh diterima,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta agar syarikat penerbangan itu membuat permohonan maaf.
“Saya gesa Malindo Air memohon maaf kepada golongan wanita di Malaysia, terutama mereka yang berminat hendak menjadi pramugari.

“Dan begitu juga dengan wanita Malaysia, tidak merendahkan maruah demi mendapatkan pekerjaan dengan menonjolkan tubuh badan anda,” katanya lagi.

Tiada ulasan: