HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 April 2017

Rafizi akan dedah nama tokoh rapat PAS terima duit 1MDB

 Berita Daily Staff

Saya ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa SPRM sudah pun menyiasat aliran dana dari akaun-akaun yang disiasat berhubung dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata beliau akan mendedahkan nama tokoh rapat pimpinan PAS yang didakwanya menerima dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rafizi berkata, agensi penguatkuasa anti rasuah itu juga dalam siasatan mereka menemui aliran dana berkenaan sampai kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS itu.

“Saya ingin memaklumkan kepada rakyat bahawa SPRM sudah pun menyiasat aliran dana dari akaun-akaun yang disiasat berhubung dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Najib Razak.

“Dari siasatan itu, satu aliran dikesan sampai kepada tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS itu.

“Oleh itu, tidak timbul soal segera menyerahkan bukti kepada SPRM seperti yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan. Namun, saya akan mendedahkan nama tokoh tersebut dalam masa beberapa minggu ini dan selepas itu, saya akan membuat laporan SPRM supaya SPRM dapat merujuk kembali kepada kertas siasatannya sendiri,”kata Rafizi.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, sebaik sahaja nama itu didedahkannya, ia bakal menjadi ujian besar kepada PAS dan Umno.

“Pimpinan Umno akan bergelut sekali lagi dengan isu campur tangan dalam pentadbiran keadilan negara sekiranya Peguam Negara sekali lagi menutup kes walaupun kertas siasatan telah selesai dan bukti telah dikumpul oleh SPRM.

“Pimpinan PAS di segenap peringkat perlu menyemak sama ada mereka pernah sekali-kali menerima bantuan kewangan, derma, infaq atau dana (dalam apa jua bentuk dan bagi apa jua tujuan) dari tokoh yang saya namakan itu kerana ada kemungkinan besar ia dana dari wang rakyat yang dibelanjakan melalui 1MDB,” katanya,

Rafizi berkata, sebagai sebuah parti yang mengaku mengangkat Islam, setiap pemimpin PAS perlu lebih teliti dari semua parti lain mengenai asal usul sumber kewangan mereka untuk mengelakkan sumber yang disifatkan diragui.

“Saya pada mulanya tidak berniat untuk membawa isu ini tetapi episod di Parlimen semalam mengesahkan bagaimana isu penambahbaikan Mahkamah Syariah telah dimainkan lebih dari setahun demi memberi ruang bernafas kepada Najib.

“Setelah ditangguhkan tiga kali, jelas bahawa isu yang dibawa oleh PAS melalui rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta 355 (RUU355) akan terus dijadikan umpan oleh Najib,” kata Rafizi lagi.

Beliau berkata, isu RUU355 telah dijadikan umpan untuk memastikan PAS kekal berkecuali sebagai blok ketiga dan tidak bersuara dalam isu-isu penting seperti 1MDB.

“Jika Parlimen bersidang untuk Belanjawan 2018 dalam bulan Oktober, saya yakin PAS sekali lagi akan berkecuali semasa pengundian belanjawan kerana bimbang akan menjejaskan persefahamannya dengan Najib yang berkisar mengenai RUU355.

“Oleh itu, selagi polemik isu RUU355 ini tidak diselesaikan, selagi itulah kelebihan berada di tangan Najib untuk bermuslihat politik dari semasa ke semasa dengan menggunakan PAS,” katanya.

Tiada ulasan: