HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 April 2017

Rafizi tak pernah serik buat pendedahan palsu, kata MT Umno

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Meskipun sering kalah dalam pendakwaan yang dibuat Naib Presiden PKR Rafizi Ramli, tetapi beliau tidak pernah merasa serik untuk berbuat demikian, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Sohaimi Shahadan.
 
Katanya, pendedahan yang dibuat oleh Rafizi Khamis lalu hanyalah sebagai satu taktik lama yang digunakan oleh PKR  bagi mengalih perhatian isu pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.
 
“Saya lihat ini adalah satu taktik alih perhatian yang dibuat oleh Rafizi untuk isu RUU355 kerana mereka perlu buat ‘character sensation’ untuk PAS supaya dapat alihkan perhatian sokongan PAS kepada RUU ini, dan juga kerjasama PAS ke arah kerjasama untuk rakyat bersama Umno dan BN.
 
“Jadi taktik yang dibuat oleh Rafizi ni memang taktik lama dan digunakan oleh Anwar Ibrahim satu ketika dahulu dan sebagai politikus yang gila publisiti yang memulakan siri-siri pemfitnah bersiri ni," katanya kepada Antarapos.
 
Khamis lalu, Rafizi dalam satu sidang akhbar membuat pendedahan bekas timbalan presiden PAS, Datuk Nasharudin Mat Isa antara penerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Selepas itu, beliau telah membuka laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pendedahan berkenaan.
 
Beliau mendakwa memperolehi bukti itu daripada seorang bekas pegawai kanan SPRM yang terbabit secara langsung dalam siasatan kewangan 1MDB. 
 
Bagaimanapun, rata-rata pemimpin-pemimpin PAS bingkas menolak dakwaan Rafizi dengan menegaskan Nasharuddin tidak lagi aktif dalam PAS setelah beliau tewas pada pemilihan parti tahun 2011. 
 
Sohaimi juga tidak menolak Rafizi cuba mewujudkan kebencian dalam kalangan rakyat dengan menunjukkan bahawa parti PAS tidak bersih dan mempunyai hubungan dengan Umno.
 
“Dia (Rafizi) cuma nak tunjukkan PAS ini tidak bersih, ‘corrupt’ dan juga dia cuba nak tunjukkan PAS ni ada link kepada Umno supaya timbul politik kebencian di kalangan rakyat terhadap PAS.
 
"Khususnya kepada mereka yang tidak ada parti yang nak tunjukkan bahawa PAS ini seolah-olah balaci Umno dan terlibat dalam menerima duit daripada Umno dan sebagainya padahal fakta itu tidak jelas dan tidak berlaku”, ujarnya.
 
Justeru Sohaimi menasihatkan Rafizi untuk tidak terus mencalar kredibilitinya dengan mendedahkan perkara yang tidak benar dan bersifat fitnah.
 
"Maka saya pun nak sarankan pada dia gunakanlah politik yang berhemah daripada dia buat tuduhan yang tidak berasas dan juga memalukan diri nanti bila dia dibuktikan tidak benar maka dia terpaksa cari alasan yang lain pula”, katanya lagi.
 
Untuk rekod, Rafizi pernah bertindak mendedahkan laporan pengauditan 1MDB sebelum ini.
 
Susulan pendedahan itu beliau dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan kerana didapati bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, dan beliau berkemungkinan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen.
 
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan yang akan didengar 9 Ogos ini.
 
 

Tiada ulasan: