HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 April 2017

Rahman Dahlan salah faham, kata Shabudin

Farhan Darwis

Ahli Parlimen Kota Belud itu berkemungkinan tidak mendapat maklumat yang sebenar sebelum membuat ulasan mengenai kenyataannya berhubung perkahwinan bawah umur dan pernikahan antara perogol dan mangsa.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan seharusnya mendapatkan penjelasan daripada dirinya sebelum mengekuarkan kenyataan secara melulu.

Shabudin bagaimanapun berkata, ahli Parlimen Kota Belud itu berkemungkinan tidak mendapat maklumat yang sebenar sebelum membuat ulasan mengenai kenyataannya berhubung perkahwinan bawah umur dan pernikahan antara perogol dan mangsa.

“Saya tidak pasti kerana Rahman tidak menghubungi saya secara terus untuk mendapatkan penjelasan dan saya pun tak pasti bagaimana dia mendapat sumber-sumber sehinggakan boleh membuat ulasan yang sedemikian.

“Jadi saya mengharapkan Abdul mungkin berpeluang ataupun mendapatkan penjelasan yang sebenar ataupun dia boleh mengikuti perbahasan itu melalui hansard ataupun rakaman yang dijalankan dan beliau boleh menelitinya,” katanya kepada pemberita di Parlimen, hari ini.

“Jadi saya rasa beliau mungkin salah faham ataupun tidak mendapat maklumat yang sebenar.”

Abdul Rahman sebelum ini dilaporkan terkejut dan kecewa dengan kenyataan Shabudin mengenai perkahwinan bawah umur dan pernikahan antara perogol dan mangsa.

“Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup, berimpian dan berseronok.

“Walaupun menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan kehidupan yang baik untuk anak-anak, kerajaan dan penggubal undang-undang bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan kanak-kanak Malaysia,” kata Rahman dalam catatan di Facebooknya.

Shabudin juga hari ini melahirkan rasa kecewa dan terkejutnya terhadap laporan media yang menggambarkan dirinya seolah-olah menggalakkan jenayah seksual dan menyokong perkahwinan di antara perogol dengan mangsa.

“Laporan media yang menunjukkan bahawa saya menyokong perkahwinan perogol dan mangsa ini di ambil dari luar konteks di mana penekanan saya sebenarnya adalah tentang peruntukan undang-undang sedia ada yang tidak menghalang sebarang perkahwinan dalam usia yang disebutkan,” katanya.

Tiada ulasan: