HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 April 2017

RUU 355: Pembangkang akan adakan sidang ‘Parlimen Khas’

 Berita Daily Staff

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, sidang khas itu bertujuan memberikan pandangan mereka terhadap pindaan RUU 355 bagi membolehkan rakyat mendengar pendapat ahli-ahli Parlimen pembangkang

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen pembangkang akan mengadakan satu sidang Parlimen Khas Pakatan Harapan berhubung pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 selepas tidak berpeluang untuk berbahas di Dewan Rakyat, semalam.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, sidang khas itu bertujuan memberikan pandangan mereka terhadap pindaan RUU 355 bagi membolehkan rakyat mendengar pendapat ahli-ahli Parlimen pembangkang.

“Saya dan beberapa ahli Parlimen pembangkang yang tidak di beri peluang untuk berbahas di Sidang Parlimen hari ini (semalam) selepas pembentangan Pindaan Akta 355 akan menyambung perbincangan tentang topik ini dalam suatu Sidang Parlimen Khas Pakatan Harapan pada hari Isnin, 10 April nanti,” kata Rafizi, memetik kenyataan di laman Facebook, miliknya.

“Walaupun suara kami telah disekat di parlimen, saya pasti rakyat-rakyat Malaysia yang telah meletakkan kepercayaan kepada kami ingin mendengar pendapat ahli-ahli Parlimen mereka tentang pindaan Akta 355 ini,” katanya.

Sidang khas itu katanya akan disiarkan secara langsung di laman Facebook miliknya pada pukul 8.30 malam.

Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia semalam menggunakan kuasa beliau menangguhkan perbahasan Dewan Rakyat selepas pembentangan usul persendirian Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bagi meminda RUU 355 sebaik sahaja ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan selesai memberikan penerangan berhubung pindaan RUU 355 kira-kira pukul 4 petang.

Keputusan Pandikar itu kemudiannya menerima reaksi balas negatif ahli-ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan keputusan speaker untuk menangguhkan perbahasan RUU 355 itu kepada sesi Dewan Rakyat akan datang.

Sesi sidang Dewan Rakyat seterusnya dijadualkan berlangsung 24 Julai depan.

Tiada ulasan: