HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 April 2017

RUU 355: Umno hanya mahu keluarkan PAS dari Pakatan Rakyat

Berita Daily Staff

Sokongan terhadap pindaan Akta355 hanya bermotifkan politik dan memecahkan pakatan pembangkang sebelum ini.

KUALA LUMPUR: Sokongan awal yag ditunjukan Umno terhadap pindaan meminda Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 strategi untuk menarik PAS keluar daripada Pakatan Rakyat, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.

Menurutnya, parti itu sejak awal mencurigai keikhlasan Umno untuk meminda akta tersebut.

“Sejak awal lagi kami mengambil pendirian jika benar-benar kerajaan ikhlas dan yakin bahawa isu RUU 355 sebagai keperluan penting perundangan dan isu substantif, pastinya kerajaan sendiri akan mengambil inisiatif memindanya.

“Akan tetapi oleh kerana motif sebenarnya ialah kepentingan politik maka RUU 355 telah digunakan sebagai umpan untuk menarik PAS keluar dari muafakat Pakatan Rakyat. Lalu berlakulah apa yang berlaku sehingga kemudiannya PAS berpecah selepas berlakuknya pembersihan golongan progresif dan pro-PR.

“Lalu Najib dan pimpinan Umno telah ‘melayani’ kehendak PAS seolah-olah menyokong RUU 355 ini.

Sekarang seluruh rakyat jelas kedudukan perkara ini bahawa perhitungan kepentingan politik Umno-BN menentukan dan mengatasi segala-galanya,” katanya menerusi kenyataan media.

Justeru kata Mat Sabu, keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) BN baru-baru ini bahawa kerajaan tidak akan membentangkannya di Parlimen sama sekali tidak memeranjatkan.

Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan bahawa kerajaan secara konsensus tidak akan  membentangkan pindaan Akta 355 di Parlimen dan ia akan kekal sebagai RUU persendirian yang dibawa Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Sebelum itu Timbalannya Dr Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan bercanggah apabila sanggup kehilangan rakan dalam komponen BN semata-mata kerana pembentangan yang akan diambil alih oleh kerajaan.

Sehubungan itu Mat Sabu menyarankan agar rakyat menumpukan perhatian kepada isu yang menghimpit mereka khususnya peningkatan kos sara hidup berbanding RUU yang hanya memecah belahkan umat Islam.

“Rakyat perlu segera kembali memahami bahawa reformasi penting dan kritikal buat kesejahteraan dan kemakmuran seluruh negara adalah dengan menolak penguasa politik yang rasuah, tidak amanah, tidak kompeten, jenis balun, boros dan bolot kekayaan negara.

“Hentikan dari dipermain dan diperbodohkan dengan polemik RUU 355 ini oleh golongan yang mahu mengekalkan kuasa Umno BN dan mereka yang menyokong penguasa politik yang rasuah dan tidak amanah ini,” ujarnya.

Tiada ulasan: