HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 April 2017

Serang Khalid Samad di Parlimen, 8 individu didenda tidak lebih RM100

Farhan Darwis

Pihaknya akan menulis surat kepada Speaker Dewan  Rakyat Pandikar Amin Mulia untuk mengambil alih kes tersebut.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad melahirkan rasa gembira dalam kecewa apabila lapan individu yang menyerangnya di Parlimen pada 24 November tahun lalu telah dijatuhkan hukuman pagi tadi.

Ketua Penerangan Parti Amanah Negara (Amanah) negara itu berkata, kesemua lapan individu berkenaan, termasuk anak kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tajuddin Abdul Rahman hanya dikenakan denda di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955, yang memperuntukkan hukuman maksimum RM100.

“Berita baiknya adalah lapan orang yang terlibat dalam serangan ke atas diri saya di Parlimen pada 24 November tahun lepas telah didakwa di mahkamah pagi tadi.

“Berita buruknya adalah mereka telah didakwa di bawah kesalahan kecil dengan hukuman sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM100 seorang,” kata Khalid, ketika sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu berkata, pihaknya akan menulis surat kepada Speaker Dewan  Rakyat Pandikar Amin Mulia untuk mengambil alih kes tersebut memandangkan terdapat pegawai keselamatan Parlimen yang turut dipukul dalam insiden tersebut.

Khalid berkata, pihaknya juga menolak amalan layanan istimewa sekiranya ia berlaku dalam kes tersebut memandangkan terdapat anak timbalan menteru yang terlibat.

“Terdapat dua individu dengan masing-masing bernama Firdaus Tajuddin dan Faizal Tajuddin, yang saya percaya kedua dua ini anak kepada ahli Parlimen  Pasir Salak, Tajuddin.

“Kita tak mahu ada amalan ada orang dapat layanan istimewa. Sekiranya inilah perkiraan Pejabat Peguam Negara untuj mengenakan pendakwaan yang remeh terhadap kesalahan yang besar dan serius, apa logik pejabat peguam negara,” kata Khalid lagi.

Beliau turut menggunakan contoh sepasang suami isteri yang mengganggu petugas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang dikenakan hukuman penjara 14 hari, namun Pejabat Peguam Negara kemudiannya membuat rayuan hukuman lebih berat iaitu penjara lima bulan dikenakan untuk memberikan pengajaran kepada mereka.

“Kalau Pejabat Peguam Negara tak boleh tegakkan keadilan kita harap pejabat Pandikar boleh ambil tindakan.

“Hukuman ini seolah-olah satu pemghinaan kepada ahli Parlimen dan institusi Parlimen itu sendiri,” katanya.
Peguam Khalid, Zulhazmi Shariff berkata pihaknya juga akan mengemukakan semakan semula hukuman tersebut kepada Pejabat Peguam Negara.

Pihaknya berpendapat, terdapat peruntukan dalam Seksyen 124 Kanun Keseksaan yang boleh diguna pakai yerhadap penyerang tersebut kerana ia berlaku di dalam kawasan kompleks Parlimen.

“Sekayen itu jelas menyatakan serangan terhadap ahli Parlimen, pendapat kami pihak peguam negara tidak menjaga institusi Parlimen. Akta Kesalahan Kecil sahaja memberikan teladan tidak baik. Orang lain boleh buat perkara sama,” katanya dalam sidang media tersebut.

Tiada ulasan: