HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 April 2017

Siti Aishah: Saya pernah ada niat ke Syria tapi bukan sertai IS

 
Mengikuti misi kemanusiaan adalah salah satu jihad selain jihad-jihad lain seperti jihad menuntut ilmu dan jihad mengajar ilmu, kata Aishah. 


aishah

KUALA LUMPUR: Siti Noor Aishah Atam mengakui pernah merancang untuk pergi ke Syria, namun bukan kerana mahu menyertai gerakan militan, sebaliknya demi “jihad” misi kemanusiaan.

Bagaimanapun, hasrat 3 tahun lalu itu tertangguh apabila dihalang dan tidak mendapat restu bapanya.
“Setuju,” kata Aishah sewaktu menjawab soalan pendakwa raya Mohd Mustaffa P Kunyalam sama ada benar beliau pernah berhasrat untuk pergi ke Syria.

“Setuju, sebab saya hendak sertai NGO Malaysia Life Line For Syria. Tetapi tidak dapat keizinan dari keluarga,” kata Aishah lagi.

Menjelaskan perkara itu, Aishah berkata, mengikuti misi kemanusiaan adalah salah satu jihad selain jihad-jihad lain seperti jihad menuntut ilmu dan jihad mengajar ilmu.

Aishah memberitahu, beliau tidak terdetik sekalipun di hatinya untuk menyertai gerakan militan Islamic State, Al-Qaeda atau membunuh diri.

“Pada waktu itu, saya merajuk dengan keluarga. Cakap main-main hendak bunuh diri, sebenarnya tidak ada. Fikir logiklah, kalaulah saya ingin sertai keganasan, saya tidak akan beritahu ibu bapa saya,” katanya.

Aishah pertama kali ditahan pada Mac 2016 di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Pada April 2016, dia didakwa di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan tidak mengaku bersalah memiliki 12 buku yang dirampas polis.

Judul-judul buku berkenaan adalah “Visi Politik Gerakan Jihad”, “Generasi Kedua Al-Qaedah: Apa Dan Siapa Zarqawi Apa Rencana Mereka Ke Depan”, “Dari Usama Kepada Para Aktivis”, “Dari Rahim Ikhwanul Muslimin Ke Pangkuan al-Qaeda” dan “Ketika Maslahat Dipertuhankan dan Menjadi Taghut Model Baru”.

Sementara itu, Aishah dalam keterangannya di mahkamah menjelaskan beliau mengenali Muamar Gadaffi Mohamad Shafawi yang ditahan polis kini kerana memberi latihan kepada individu yang ingin sertai miltan.

“Muamar Gadaffi seorang kenalan. Sekadar kawan. Hanya kawan Facebook. Sewaktu saya mengenali dia, saya tidak tahu latar belakangnya. Hanya tahu melalui akhbar apabila nampak dia kena tangkap,” katanya.

Pendakwa raya juga mengemukakan satu laporan polis kepada Hakim Datuk Mohamad Shariff Abu Samah yang didakwa dibuat oleh ayah Aisyah, Atam Jusoh sendiri.

Laporan polis berkenaan menyatakan Muamar Gadaffi dan beberapa individu lain datang ke Dungun untuk meminang Aishah, namun ditolak ayahnya yang berpandangan cara lelaki berkenaan tidak sesuai dengan adat masyarakat Melayu.

Selain itu, Muamar Gadaffi turut dikatakan mengugut ayah Aishah agar tidak memaklumkan kepada sesiapa atau pihak berkuasa mengenai kehadirannya dan pertemuan mereka itu.

“Dia yang bercadang hendak kahwin dengan saya. Dia bertemu dengan keluarga saya, kemudian ahli keluarga saya tidak setuju. Tidak ada juga (bercadang untuk lari ke Thailand),” kata Aishah.

Pada September 2016, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskannya daripada semua pertuduhan atas alasan tiada kes prima facie dibuktikan terhadapnya.

Pada hari sama beliau dibebaskan, Aishah ditangkap semula di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 (Poca). Beliau ditahan lagi selama 60 hari.

Sebaik dibebaskan daripada Poca, beliau diletakkan di bawah tahanan rumah, dengan peranti pengawasan elektronik dipasang. Beliau tidak dibenarkan meninggalkan daerah Surah di Dungun, Terengganu, tanpa kelulusan polis.

Tiada ulasan: