HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 April 2017

Tak salah untuk Rafizi buat pendedahan - Johari

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang pemimpin PKR berkata parti itu tidak mempunyai masalah dengan pendedahan Naib Presidennya, Rafizi Ramli yang mendakwa bekas Timbalan Presiden PAS, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa menerima dana daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata sudah menjadi intipati perjuangan parti itu untuk membongkar segala salah laku yang membabitkan kerajaan, termasuk pihak-pihak lain.
 
Tambahnya nasib yang menimpa Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan sehingga kini adalah 'hasil' kepada perjuangannya mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).
 
"Itulah yang diperjuangkan oleh PKR, dan itulah yang menyebabkan Anwar masuk penjara. Apa perbezaanya? Anwar masuk penjara kerana memperjuangkan hak rakyat dan melawan korupsi. Dan ia disambung oleh Rafizi, apa masalahnya? Ini bukan perjuangan Rafizi, ini perjuangan PKR," ujarnya kepada Antarapos hari ini.
 
Sebelum ini beberapa pemimpin parti itu berpendirian bahawa pendedahan Rafizi adalah atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen.
 
Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar berkata, Rafizi bertindak atas maklumat yang diperolehinya demi mendesak satu siasatan dilakukan terhadap penyaluran dana berkenaan. 
 
Dalam pada itu, Johari yakin dakwaan Rafizi bahawa Nasharudin menerima dana RM90 juta daripada 1MDB, sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan yang menjadi kontroversi, tidak ada kena mengena dengan kepentingan politik dan peribadi Ahli Parlimen Pandan itu.
 
"Tidak salah. Ini bukan kali pertama beliau (Rafizi) mendedahkan kerana sudah banyak isu (didedahkan), banyak isu, dan berjaya. Walaupun kadang-kadang beliau kalah, namun secara moralnya dia tidak salah.
 
"Tidak ada strateginya (peribadi), malah dia akan dedahkan banyak lagi, dan saya sokong tindakannya," tambahnya.
 
Khamis lalu, Rafizi menamakan Nasharudin sebagai individu yang didakwanya menerima dana 1MDB.
 
Beliau membayangkan kemungkinan dana yang diperolehi Nasharudin itu digunakan untuk melunakkan suara PAS berhubung kontroversi yang melanda pentadbiran kerajaan persekutuan.
 
Rafizi berkata maklumat itu diperoleh daripada seorang bekas pegawai paling kanan SPRM, yang terlibat dalam siasatan ke atas 1MDB yang terpalit dengan dakwaan penyelewengan kuasa dan wang. 
 
Nasharudin bagaimanapun menepis dakwaan itu dnegan menyifatkan ia satu usaha untuk memburukkan namanya dan PAS, selain akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi.
 
 

Tiada ulasan: