HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 April 2017

Tidak serik: 22 remaja ditahan tunggang basikal berbahaya pukul 3 pagi

Wartawan MalaysiaGazette

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh (kiri) menunjukkan basikal yang diubahsuai dirampas dalam Op Gempur di Jalan Lingkaran Dalam di sini semalam.
JOHOR BAHRU – Kejadian kemalangan yang meragut lapan nyawa remaja berbasikal di Jalan Lingkaran Dalam di sini pada 18 Februari lalu seakan tidak dijadikan pengajaran apabila masih ada lagi yang berkumpul di lokasi sama selepas tengah malam.

Pada pukul 3 pagi semalam, polis menahan seramai 22 remaja termasuk dua gadis yang dipercayai terlibat dalam aktiviti menunggang basikal yang diubahsuai secara berbahaya di lokasi kejadian sebelum ini berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah.

Kesemua mereka yang berusia antara 14 hingga 17 tahun, ditahan pihaknya semasa menjalankan Op Gempur ekoran aduan yang diterima polis mengenai aktiviti tersebut sebelum itu, kata Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh

“Sejurus kita terima aduan, polis terus ke lokasi dilaporkan dan dipercayai antaa 30 hingga 40 remaja berkumpul di tempat kejadian yang meragut lapan nyawa remaja sebelum ini sebelum kita berjaya tahan 22 orang termasuk lapan penonton.

“Daripada jumlah yang kita tahan, 15 daripada mereka masih bersekolah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Trafik Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

Tambahnya, sebanyak 14 saman dikeluarkan mengikut Peraturan 42(1)(a) LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 manakala tangkapan dan sitaan dibuat di bawah Seksyen 112(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette.


Tiada ulasan: