HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 April 2017

Usul RUU 355: Bukan kejayaan tapi langkah terkebelakang Hadi

 ARIF ATAN

Faiz FadzilFaiz FadzilTimbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil menolak dakwaan Pas kononnya pembentangan usul persendirian berkaitan pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 pada 6 April lalu sebagai satu kejayaan.

Menurutnya, peluang ketiga Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul persendirian itu di Dewan Rakyat tidak lebih hanya mencemar praktis demokrasi di negara ini kerana perbahasan dihalang.

"Pembentangan usul Marang bukan sahaja bukan satu kejayaan, tapi telah menjadi kes awalan kepada amalan demokrasi Parlimen yang regresif apabila perbahasan tidak dibenarkan.

"Ia bukan kejayaan sebaliknya satu langkah terbelakang oleh pihak Pas kerana gagal bersuara membantah penangguhan itu. Pas tidak harus membiarkan isu pindaan Akta 355 ditangguh dan dipanjangkan polemiknya.

"Tindakan Speaker (Dewan Rakyat) menangguhkan perbahasan bukti usul tersebut sebagai satu 'gesture' politik untuk kepentingan Umno dan Pas yang bermain dengan sentiman kaum dan agama menjelang PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14)," katanya ketika ditanya Malaysia Dateline selepas Seminar Pemikiran Tuan Guru Nik Aziz di ibu negara semalam.

Beliau menyifatkan unsur-unsur kerjasama di antara pihak Pas dan rejim Umno-BN dapat dilihat apabila perbahasan usul tersebut sekali lagi ditangguhkan pada pukul 4 petang walaupun sehari sebelum itu persidangan Dewan Rakyat berlangsung sehingga 5.05 pagi sekaligus mencipta rekod baharu Parlimen.

"Amat mengelirukan kalau Pas anggap RUU 355 berjaya sedangkan pada 6 April lepas, masih belum dibahas pun dan belum diundi. Sekadar diberi laluan untuk dibentang bukan satu kejayaan yang harus dibanggakan kalau benar-benar faham prosedur pindaan sesuatu akta," ujarnya.

Abdul Hadi pada penghuraian usul persendiriannya antara lain turut memaklumkan pindaan Akta 355 bukan 'pintu belakang' ke arah pelaksanaan hukum hudud di negara ini sebelum dibahas secara panjang lebar oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Mengulas lanjut, Faiz mempersoal usul pindaan bagi meningkatkan bidang kuasa hukuman Mahkamah Syariah kepada

kepada 100 sebatan, 30 tahun penjara dan RM100,000 denda itu wajar tidak lagi ditangguhkan.

"Kalau benar ia satu usul demi meningkatkan fungsi Mahkamah Syariah, kenapa tidak disegerakan sehingga ke peringkat perbahasan dan pengundian sama ada mahu menyokong atau sebaliknya.

"Tidak logik untuk ditangguhkan kononnya ahli parlimen penat kerana sedia maklum ahli parlimen maklum dengan tugas mereka kerana sidang Dewan Rakyat boleh tamat sehingga 11.59 malam yang terakhir.

"Sepatutnya, diselesaikan pada kadar segera kerana kita mahu lihat kerajaan benar-benar memartabatkan Mahkamah Syariah," kata peguam itu.

Sehubungan itu, beliau menganggap isu RUU 355 sebagai modal politik Pas bagi PRU14 seperti yang pernah berlaku pada 26 Mei 2016 iaitu 10 hari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar apabila Abdul Hadi membawa usul persendirian berkenaan.

"Kita sedia maklum, mengikut Aturan Mesyuarat apabila usul itu diterima, ia akan diambil alih kerajaan, seterusnya dibentangkan oleh kerajaan.

"Jika dilewat-lewatkan, kita bimbang hasrat (pindaan Akta 355) itu tiada hala tuju sedangkan kita dipihak Amanah juga sudah membawa masuk usul untuk memartabatkan Mahkamah Syariah dalam bentuk yang lebih holistik. Usul itu yang patut dibentang," tambahnya lagi.

Laman rasmi Pas, Harakahdaily pada 6 April lalu melaporkan usul persendirian Abdul Hadi itu berjaya dibacakan di Dewan Rakyat walaupun diganggu oleh beberapa Ahli Parlimen bukan Islam.

Ketika Abdul Hadi membacakan usulnya, Ahli Parlimen Temerloh yang juga Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan dilihat menangis kegembiraan hingga beberapa kali membuka cermin mata bagi mengelap air matanya dengan apa yang dianggap sebagai kejayaan parti itu.

Walau bagaimanapun, Nasrudin menyifatkan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sesi perbahasan usul persendirian Presidennya itu pada sidang akan datang sebagai tindakan yang bijak dan penuh hikmah

Tiada ulasan: