HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 April 2017

Wanita hamil pengsan suami sekali lagi ditahan di bawah Poca

 
Vishnu Moorthy Raja Singam ditahan 38 hari lagi selepas selesai menjalani penahanan 21 hari. 


A-Magaswarie


KUALA LUMPUR: Seorang wanita hamil 7 bulan pengsan di Mahkamah Majistret hari ini selepas mendengar suaminya ditahan 38 hari lagi di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Poca) untuk siasatan ke atas dakwaan penipuan skim pelaburan.

Ahli keluarga yang turut hadir di mahkamah, bergegas membantu A Magaswarie yang jatuh ke bangku galeri awam selepas mahkamah mengumumkan keputusan itu.

Suaminya, Vishnu Moorthy Raja Singam yang bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat pelaburan, ditahan 38 hari lagi di bawah Poca.

Beliau sudah ditahan di bawah Poca selama 21 hari sejak 29 Mac.

Majistret Mahyuddin Mohamad Som membenarkan tahanan dilanjutkan di bawah Seksyen 4(2) Poca kerana polis percaya mempunyai bukti mencukupi untuk menjalankan siasatan.

Penahanan dijangka berakhir 25 Mei ini.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Magaswarie yang kelihatan letih mempersoalkan mengapa penahanan Vishnu perlu dilanjutkan.

“Pengarah syarikat dan pemegang saham lain dibebaskan selepas 21 hari, mengapa dia perlu menderita selama 38 hari lagi?

“Saya tidak mahu anak saya dilahirkan ketika dia dalam tahanan,” katanya.

Peguam P Uthayakumar berkata Vishnu mengarahkan beliau memfailkan semakan dan rayuan terhadap perintah 38 hari majistret hari ini.

“Kami juga akan memfailkan satu lagi permohonan habeas corpus untuk membawa dia keluar.

“Ini hari menyedihkan bagi keluarga ini.”

Sebelum ini, Vishnu memfailkan semakan untuk mencabar perintah majistret yang membenarkan penahanan 21 hari, bermula 29 Mac.

Semalam, Mahkamah Tinggi menolak permohonan “habeas corpus” untuk mendapatkan kebebasan dari tahanan Poca.

Tiada ulasan: