HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 April 2017

Zakir Naik bukan pengganas, tak perlu disenarai hitam, kata Zahid

Berita Daily Staff

Kerajaan juga tidak akan sewenang-wenangnya menyenarai hitamkan mana-mana individu hanya berdasarkan laporan media.

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempunyai alasan bagi menyenarai hitam dan menghalang penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik memasuki negara ini memandangkan beliau bukan seorang pengganas, kata Menteri Dalam Negeri, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, kerajaan juga tidak akan sewenang-wenangnya menyenarai hitamkan mana-mana individu hanya berdasarkan laporan media.

“Jabatan Imigresen Malaysia akan menyenarai hitamkan semua individu yang dianggap membawa ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman negara berdasarkan maklumat yang disalurkan oleh agensi penguatkuasa yang berkaitan.

“Seseorang individu tidak akan disenaraihitamkan hanya berdasarkan laporan media melainkan agensi penguatkuasa yang bertanggungjawab menyalurkan maklumat berkaitan untuk tindakan Jabatan Imigresen,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian menjawab soalan ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran yang bertanya sebab Zakir yang didakwa terlibat dalam aktiviti keganasan tidak dihalang daripada memasuki Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, Zakir juga tidak dikategorikan sebagai pengganas dalam senarai Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSCR) 1988.

Kumpulan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) bersama 18 individu lain sebelum ini memfailkan kes di mahkamah terhadap Zakir.

Mereka yang diketuai Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy memfailkan tuntutan mahkamah menuntut satu perintah penangkapan dan pengusiran pendakwah antarabangsa itu.

Mereka juga memohon satu perintah untuk membatalkan status Zakir sebagai seorang pemastautin tetap Malaysia, sekiranya diberikan (dan) satu perintah untuk mengusirnya dengan segera dari Malaysia.

Antara yang terlibat dalam memfailkan permohonan tersebut termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor, Jeffrey Kitingan, peguam, Siti Kassim dan Pengarah Center for Policy Initiatives Lim Teck Ghee.

Defendan yang dinamakan dalam saman itu adalah Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dan kerajaan Malaysia.

Tiada ulasan: