HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 Mei 2017

Tun Mahathir ajak Gen Y mengundi, singkir ‘kerajaan kleptokrat’ Najib


Roketkini.com

KUALA LUMPUR: ‘Semuanya sama’. Mungkin itu tanggapan sebahagian rakyat Malaysia khususnya golongan muda atau Gen Y terhadap politik.

Akibatnya, sebahagiannya mengambil keputusan memilih untuk tidak mengundi kerana berasakan politik itu membosankan.

Namun, keputusan untuk tidak mengundi hanya boleh menyebabkan situasi ekonomi dan politik negara menjadi mundur dan tidak stabil.

“Najib boleh menang bukan kerana rakyat sokong dia. Najib boleh menang kerana rakyat sudah bosan dan “sinikal” terhadap politik.

“Bosan! Mereka tidak undi. Tak undi samalah dengan undi Najib. Najib menang; semua kalah,” kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam tulisannya di blog beliau baru-baru ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menegaskan, perubahan dalam negara ini hanya boleh tercapai dengan gandingan orang muda dan ‘lama’.

Oleh yang demikian, penglibatan golongan muda atau Gen Y dalam politik amat penting demi masa depan negara yang lebih baik.

“Untuk kemenangan gandingan antara tua dan muda diperlukan. Yang tua mesti faham pemikiran yang muda. Yang muda mesti ambil kira keusangan minda yang tua dengan perjuangan lama mereka,” kata Dr Mahathir lagi.

Menurut beliau, tanpa penglibatan golongan muda, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus menang.

“Yang tua akan undi – undi untuk muka lama – undi untuk perjuangan yang lama.

“Tetapi undi yang tua sahaja tidak mencukupi. Bermakna mereka akan kalah. Bermakna penerima dedak akan menang. Bermakna cash akan terus jadi King,” katanya lagi. –Roketkini.com

Selepas 100 hari misteri Raymond Koh, polis umum suspek ditahan

 
Khalid Abu Bakar berkata polis juga menyiasat dakwaan Koh terlibat memurtadkan orang Islam.
 
 
Khalid-Abu-Bakar-pastor-raymond-koh 

KUALA LUMPUR: Seorang suspek dari utara Semenanjung ditahan minggu lalu bagi membantu siasatan kes kehilangan Pastor Raymond Koh yang masuk hari ke-101 hari ini, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua polis negara sekali lagi menafikan polis tidak serius dalam kes kehilangan Koh, memandangkan siasatan masih diteruskan walaupun selepas lebih 3 bulan kehilangannya di Petaling Jaya Februari lalu.

“Itu (tuduhan polis hentikan siasatan) tidak benar. Tidak ada kes yang ditutup begitu sahaja. Sudah semestinya kita lakukan siasatan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

“Minggu lepas kita ambil suspek dari Utara tanah air yang kami percaya dapat membantu siasatan.”

Khalid enggan mengulas lanjut mengenai suspek yang ditahan itu.

Koh, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Feb lalu.

Ketika itu, Koh dalam perjalanan ke rumah rakannya di Kelana Jaya. Video insiden itu menunjukkan lebih daripada 10 lelaki dan 7 buah kenderaan terlibat dalam kejadian yang berlaku di siang hari.
Keluarga Koh menawarkan ganjaran RM100,000 untuk sebarang maklumat.

Sehingga kini, masih tiada permintaan wang tebusan atau komunikasi dengan penculik, memberi gambaran yang wang bukan motif penculikan itu.

Polis siasat dakwaan murtad

Khalid berkata, pihaknya bukan hanya menyiasat kehilangan Koh, sebaliknya turut menyiasat laporan yang mengaitkan beliau terlibat dalam memurtadkan penganut agama Islam.

“Dalam kita mahu mengetahui sebab kehilangannya, kita juga siasat laporan yang dibuat bahawa dia (Koh) memurtadkan orang Islam. Kedua-dua laporan ini kita siasat.

“Jadi, tidak adil pula jika kita hanya siasat kehilangan Raymond sahaja Kita juga siasat sama ada kehilangan dia mempunyai kaitan dengan aktiviti memurtadkan orang Islam,” katanya.

Sementara itu, Khalid menjelaskan 3 orang aktivis yang melakukan tuduhan kononnya pihak berkuasa terbabit dalam kehilangan Raymond dipanggil memberikan keterangan.

“Aktivis ini menuduh pihak berkuasa terlibat, jadi kita hendak tahu apa bukti yang mereka ada. Kalau ada bukti, marilah. Jangan hanya main tuduh kerana ini tuduhan serius,” katanya.

Tiga aktivis yang dimaksudkan adalah Thomas Fann, Sevan Doraisamy dan Rama Ramanathan, yang merupakan sebahagian daripada Citizen Action Group On Enforced Disappearance (Caged) yang ditubuhkan awal bulan lalu.

Mereka disiasat bawah Seksyen 504B Kanun Keseksaan.

LIHAT VIDEO DI SINI

Apa berlaku pada Rosmah di London, soal Adun DAP

 
Ini kerana menurutnya perkembangan lawatan itu tidak dapat diikuti seperti mana lawatan rasmi oleh pemimpin Selangor.


Lau-Weng-San-rosmah-di-london 

PETALING JAYA: Seorang Adun DAP berkata lawatan rasmi luar negara oleh pemimpin kerajaan Pakatan Harapan lebih telus berbanding lawatan yang diadakan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau memberi contoh lawatan dianjurkan kerajaan negeri Selangor yang boleh diikuti perkembangannya termasuk muat naik di Facebook milik menteri besar.

Sebaliknya, Adun Kampung Tunku, Lau Weng San mendakwa tidak ada sebarang gambar atau laporan media mengenai lawatan Rosmah selama 5 hari ke London baru-baru ini.

“Gambar aktiviti hanya dimuat naik di Facebook kedua-dua menteri yang mengiringinya, itu pun disiarkan pada 8 Mei. Saya tertanya-tanya apa berlaku kepada Rosmah?” kata Lau, menjawab cabaran pembantu perdana menteri, Datuk Rizal Mansor supaya mendedahkan kos lawatan melibatkan Azmin dan pegawai kerajaan Selangor.

Rizal menyuruh Lau menumpukan perhatian kepada hal ehwal negeri memandangkan beliau seorang wakil rakyat negeri dan bukan ahli Parlimen.

“Sebagai Adun, tanggungjawab anda adalah berkenaan hal ehwal negeri. Soalan yang anda tanya itu berkaitan dengan Pusat dan boleh ditanya oleh ahli Parlimen di Dewan Rakyat,” Rizal dipetik portal Malaysiakini menjawab tuntutan supaya kos lawatan Rosmah didedahkan.

“Bagaimana pula lawatan Azmin ke Taiwan dan Timur Tengah? Adakah mendapat liputan media antarabangsa?” soalnya lagi.

Lau berjanji akan bertanyakan soalan mengenai kos lawatan Azmin pada sidang DUN Selangor akan datang.

“Apa yang pasti, saya boleh membekalkan salinan jawapan bertulis berkenaan kos lawatan dan ekspedisi melibatkan portfolio pelaburan di bawah InvestSelangor bermula dari 2004 hingga 2014, iaitu 4 tahun pertama di bawah pentadbiran Barisan Nasional dan 6 tahun di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat,” katanya, sambil mencabar Rizal dan wakil Pejabat Perdana Menteri melakukan perkara yang sama.

Rosmah yang juga penaung program Pusat Anak Permata Negara (Permata) baru-baru ini mengetuai rombongan kira-kira 40 orang ke London.

Turut serta dalam rombongan itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan 32 pelajar serta 6 orang guru.

Kes rasuah polis Melaka: Reman koperal, pemandu van dilanjut



Tempoh reman dilanjut 6 hari terhadap 2 suspek yang dipercayai menjadi orang tengah mengutip wang perlindungan.


kes-rasuah-polis-melaka 

PUTRAJAYA: Tempoh reman seorang polis berpangkat koperal dan seorang pemandu van dilanjutkan 6 hari bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan pusat urut di Melaka.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman itu di Mahkamah Majistret hari ini, bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut.

Polis berpangkat koperal berusia 52 tahun yang bertugas di Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka adalah individu ke-10 ditahan berhubung kes berkenaan pada Rabu lepas.

SPRM turut merampas wang tunai RM800,000 di dalam stor rumah anggota polis berkenaan di kuarters polis Ibu Pejabat Kontinjen Melaka pada 2.15 petang.

Sementara itu, pemandu van yang dipercayai menjadi orang tengah mengutip wang perlindungan merupakan individu ke-11 yang ditahan berkaitan kes berkenaan pada Khamis lepas.

Difahamkan, akaun bank suspek berusia 32 tahun itu digunakan untuk memasukkan wang perlindungan yang dibayar pengusaha pusat judi haram dan rumah urut sebelum diag
ihkan kepada yang lain.

Sehingga kini, 12 individu termasuk 2 ketua polis daerah (OCPD) dan 5 anggota polis pelbagai pangkat direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Semalam, seorang pegawai kanan polis berpangkat DSP dari daerah Melaka Tengah ditahan reman 7 hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

'Time kata Anwar lebih popular tapi Mahathir menang'

MALAYSIAKINI



Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata majalah Time pada masa lalu menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih popular daripada Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi bekas perdana menteri itu berjaya mengatasinya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Time hari ini yang mendakwa populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih teruk daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

"Hillary Clinton lebih popular daripada Donald Trump dan mendapat sokongan Presiden Obama, tetapi Trump menang jawatan presiden.

"Time mengundi Anwar Ibrahim sebagai 'Man of The Year' dan lebih popular daripada Mahathir tetapi Mahathir menang pilihan raya umum 1999," katanya.

Meragui keputusan tinjauan itu, Salleh juga berkata dakwaan Time tidak memberi makna kerana Najib memenangi parlimen Pekan dengan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum 2013.

"Yang dikatakan pandangan Time ini tiada kaitan dengan politik Malaysia dan tidak akan benar-benar mempengaruhi pendapat orang ramai kerana mereka yang menyokong pembangkang, atau sebaliknya, tidak akan beralih hanya kerana Time kata Trump adalah lebih popular daripada Najib di luar Pekan," katanya.

Pada tahun 2013, Najib memenangi parlimen Pekan dengan 51,728 undi untuk mengalahkan calon PKR yang memperolehi 15,665 undi.

Salleh juga mempersoalkan bagaimana Time mendapat kesimpulan bahawa Najib kurang popular daripada Trump.

"Bagaimana Time menjalankan tinjauan pendapat ini? Berapa banyak responden yang ditinjau dan di mana responden ini tinggal?

"Adakah Time mengatakan bahawa Najib dan empat pemimpin dunia kurang popular daripada Trump di Terengganu dan Kelantan atau di bandar New York?" Soalnya.

Majalah Time memasukkan Najib dalam senarai lima pemimpin dunia yang kurang popular berbanding Trump, dengan memetik skandal 1MDB dan berbilion deposit dalam akaun bank peribadinya.

Selain Najib, turut dinamakan ialah Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, Presiden Brazil, Michel Temer, Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma dan Perdana Menteri Greece Alexis Tsipras.


Rombakan besar-besaran kontinjen polis Melaka

MALAYSIAKINI


Seramai 15 pegawai dan anggota kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka akan ditukarkan kerana terbabit dengan salah guna kuasa.

Portal Berita Harian Online memetik Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata arahan pertukaran itu berkuat kuasa serta-merta susulan penahanan lapan pegawai dan anggotanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk dua ketua polis daerah, baru-baru ini.

Menurut Khalid, rombakan itu, adalah fasa pertama dan langkah seterusnya akan dilakukan secara berterusan.

"Saya akan ke Melaka pada Jumaat ini untuk bertemu dengan anggota kontinjen," katanya yang dipetik portal itu.

Khalid berkata, pihaknya memandang serius isu integriti dan tidak berkompromi dengan anggota yang melakukan kesalahan.

Katanya, siasatan dalaman turut dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) terhadap anggota yang tidak menjalankan tugas dengan betul.

"Setakat ini, JIPS sudah menahan 21 anggota membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan jabatan lain," katanya.

Pada 17 Mei lalu, SPRM menahan reman Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah dan Ketua Polis Daerah Jasin Sakri Yusoff serta seorang lagi pegawai polis berpangkat inspektor dari kontinjen negeri (IPK) Melaka.

Mereka adalah antara lebih 10 suspek yang disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Susulan penahanan itu, SPRM menemui wang tunai berjumlah lebih RM186,000 dan wang dalam akaun lebih RM459,000 milik suspek-suspek berkenaan.

SPRM juga berjaya merampas wang tunai bernilai kira-kira RM800,000 dari stor rumah seorang koperal polis di Melaka.

Difahamkan, anggota polis terbabit meminta wang rasuah daripada pengusaha-pengusaha pusat judi dan rumah urut haram di sekitar Melaka, malah turut memaksa pengusaha berkenaan membayar wang perlindungan kepada mereka.

Sementara suspek orang awam bertindak sebagai orang tengah bagi melicinkan proses pengutipan wang rasuah yang dibayar sebagai wang perlindungan bagi melindungi kegiatan-kegiatan haram yang dilakukan oleh pengusaha-pengusaha tersebut

PM puji Mat Over, David Teo duduk bersama

BERNAMA

Rosyam Nor, David Teo dan Mat Over yang duduk sebaris dalam program TN50 malam tadi mengundang perhatian PM Rosyam Nor, David Teo dan Mat Over yang duduk sebaris dalam program TN50 malam tadi mengundang perhatian PM


Kehadiran dua penggiat seni, yang menjadi bualan hangat netizen baru-baru ini, pada pembentangan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2016 di sini malam tadi menarik perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib, yang baru tujuh minit membentangkan laporan NTP, menjadikan penerbit filem Datuk David Teo dan pelawak Sulaiman Yasin atau Mat Over sebagai contoh semangat bersatu-padu dalam kalangan rakyat.

Sambil tersenyum memandang Teo dan Mat Over yang duduk di barisan hadapan di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) Universiti Teknologi MARA (UiTM), perdana menteri berkata: "Ni, depan saya ni, nampaknya saudara Mat Over pun hadir dan Mejar David Teo pun ada. Duduk sama-sama lagi...macam ni la bagus.

"Ini yang saya mahu sebagai PM (perdana

 menteri) dan kerajaan hendak lihat rakyat kita bersatu-padu...barulah Malaysia akan berjaya," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin termasuk penjawat awam dan pekerja swasta, mahasiswa serta tetamu jemputan.

Turut hadir pada pembentangan NTP itu ialah pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor yang duduk di sebelah Teo.

Ketika membentangkan laporan NTP itu, Perdana Menteri turut meminta rakyat supaya menghindari pergaduhan dan sentiasa berbaik serta saling tolong-menolong supaya negara terus aman dan makmur.

Pada Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Penggiat Seni di Seri Perdana, Putrajaya minggu lepas, Mat Over menampar Teo yang didakwanya bersikap biadap di hadapan Najib.

Rosyam, yang bertindak sebagai moderator pada dialog itu, juga dikaitkan dengan insiden itu yang berakhir dengan sesi bermaafan di antara Teo dan Mat Over

PKR setuju pendekatan Azmin jamin kestabilan Selangor

MALAYSIA DATELINE

Wan Azizah Wan IsmailWan Azizah Wan Ismail


PKR bersetuju terhadap tindakan menteri besar Datuk Seri Azmin Ali mengekalkan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk tiga exco dari Pas di Selangor bagi menjamin kestabilan kerajaan negeri.

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, biro politik PKR malam tadi telah mendengar taklimat daripada Azmin yang juga timbalan presiden PKR berhubung situasi di negeri Selangor ekoran keputusan Pas menamatkan kerjasama politik dengan parti itu.

"Biro Politik KEADILAN mengambil maklum penjelasan yang diberikan Datuk menteri besar Selangor bahawa, walaupun mereka (Pas) bukan sebahagian dari Pakatan Harapan, kesemua 13 Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dari Pas telah bersetuju untuk terus menyokong dasar bersama Kerajaan Negeri Selangor berasaskan Buku Jingga, dan meneruskan keyakinan terhadap kepimpinan menteri besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.

"Biro Politik KEADILAN turut bersetuju dengan pendekatan menteri besar Selangor untuk menjamin kestabilan Kerajaan Negeri menjelang PRU14 dan meneruskan usaha membangunkan negeri Selangor selaras dengan mandat besar rakyat pada PRU13," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan parti itu di Ibu Pejabat PKR malam tadi.

Menurut Wan Azizah juga, PKR yakin terhadap kepimpinan Azmin untuk terus menerajui kerajaan negeri sebagai menteri besar Selangor dan melaksanakan pembangunan negeri demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat negeri itu.

Tiga exco Pas di Selangor ialah Adun Chempaka, Iskandar Samad, Adun Taman Templer, Zaidy Abdul Talib dan Adun Sijangkang Ahmad Yunus Hairi.

Kelmarin Azmin dilihat mengadakan perbincangan bersama tiga exco Pas dan pesuruhjaya Pas Selangor di Sekinchan, sempena lawatan rasmi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke daerah berkenaan.

Bagaimanapun Sallehen dan Zaidy menafikan perbincangan itu berhubung kedudukan mereka di Selangor.

Pas beri talian hayat kepada Umno?

ARIF ATAN

Faiz Fadzil forumFaiz Fadzil forumPas sebenarnya memberi talian hayat kepada Umno yang pada masa ini nyawa-nyawa ikan ekoran tidak lagi popular dalam kalangan rakyat, tegas Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil.

Ujarnya, Pas seolah-olah tidak memahami ungkapan 'musuh kepada musuh aku adalah rakanku' apabila secara jelas berada di pihak Umno yang terhimpit dengan pergolakan politik dalaman parti dan urus tadbir negara yang korup dan zalim terhadap rakyat.

Beliau berpendapat demikian ketika mengulas penafian Ketua Pemuda Pas, Khalil Abdul Hadi bahawa partinya bukan talian hayat bagi Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ketika diwawancara akhbar tempatan baru-baru ini.

Pas, jelasnya, tidak mencerminkan kematangan dalam politik dan tidak berpijak di bumi yang nyata memandangkan perkembangan mutakhir menyaksikan Pas tidak lagi lantang menentang Umno-BN tetapi pada masa sama galak menyerang Pakatan Harapan.

"Tambahan pula, pengumuman Presiden Umno Najib Razak dalam sambutan 71 tahun bahawa Pas telah memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

"Begitu gembiranya Umno dengan tindakan tersebut dan seolah-olah ia sebuah hadiah ulang tahun paling bermakna dalam sejarah Umno.

"Pas juga tidak lagi bersuara menentang penyelewengan dan kezaliman kerajaan pimpinan Najib Razak seperti tidak mengundi menolak Bajet 2017, GST (cukai barang dan perkhidmatan) dan Rang-rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) 2015.

"Apatah lagi dalam isu korupsi terutama 1MDB (1Malaysia Development Berhad), Pas terus menyepi malah menyokong Najib apabila terdapat kenyataan pemimpin kanan Pas bahawa dakwaan terhadap MO1 (Malaysian Official 1) memerlukan empat saksi," hujahnya dalam satu kenyataan.

Khalil yang juga anak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang antara lain berkata, pihaknya tidak mahu rakyat berpolitik sepanjang masa sehingga merugikan rakyat dan negara.

Menyentuh tentang PRU14, beliau memberitahu blok ketiga yang ditubuhkan Pas melalui Gagasan Sejahtera akan memberi tumpuan di kawasan majoriti pengundi Melayu yang dianggapnya sebagai kekuatan Pas.
 
Mengulas lanjut, Faiz menyifatkan Gagasan Sejahtera begitu 'jelas dengan suluhan yang terang' membuktikan Pas sebagai talian hayat bagi Umno kerana menjadi penganggu kepada undi rakyat yang mahu menolak Umno-BN.

"Apatah lagi kenyataan Presiden Pas yang memberikan pilihan undi sama ada Pas atau Umno tanpa menyebut Pakatan Harapan. Bahkan, kedua-dua parti itu sekarang sehaluan memainkan sentimen perkauman dan agama bagi mengalih isu korupsi dan ekonomi yang dihadapi Najib dan Umno.

"Jelas pilihan yang ada dalam pemikiran Pas adalah Umno," tegasnya serta berpandangan Pas menyelamatkan kesalahan Najib dengan menggunakan naratif agama walaupun terdapat kes prima facie.

Menurut Faiz, Pas turut menggunakan hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G) antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri sebagai alasan untuk mengaburi hati ahli dan penyokong Pas bahawa kerjasama yang wujud adalah untuk kebaikan rakyat.

"Sebaliknya, hubungan antara kerajaan tidak harus dijadikan halangan untuk mana-mana parti politik menentang kemungkaran dan kezaliman Umno-BN," tambahnya lagi.

PKR tak tersinggung kritikan Zaid

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR tidak tersinggung dengan kritikan ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa pengisytiharan bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diangkat sebagai Perdana Menteri ke-7 merupakan satu perbuatan 'sombong'. 
 
Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul berkata parti itu bukan bersikap sombong sebaliknya mempraktikkan apa yang telah diperjuangkan sejak hampir dua dekad lalu.
 
DAP juga kata Johari, menerima Anwar sebagai calon Perdana Menteri. 
 
"Tidak mengapalah dia mahu komen sebagai seorang ahli politik. Seorang ahli politik biasa lah itu. Saya sedikit pun tidak terasa kecewa, atau terasa hati dengan komen dia. Tiada. Biasa lah tu.
 
"Kita konsisten maka Datuk Zaid Ibrahim dalam Keadilan (PKR) pun dia mahu Anwar Ibrahim. Kita 18 tahun pun kita berjuang kita mahu Anwar Ibrahim. Jadi kita konsisten, bukan kita baru buat ini. Bukan baru buat dalam Kongres ini. Kita konsisten sejak 18 tahun yang dahulu, bukan baru. Bukan sombong, tidak sombong.
 
"Siapa pun boleh kritik, tiada masalah. (Datuk Seri) Najib pun boleh kritik, (Datuk Seri) Samyvellu boleh kritik, Zaid Ibrahim pun boleh. Sesiapa pun. Tiada masalah apa kritik saja. Kerana Zaid Ibrahim dari DAP, DAP pun terima Anwar sebagai Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Terdahulu, Zaid dalam Twitter beliau mengkritik PKR apabila mengangkat plakad 'Anwar PM ke-7' sewaktu kongres parti itu yang disifatkannya tidak menghormati dua pemimpin tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang hadir.
 
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mendakwa, pengisytiharan bahawa Anwar akan diangkat sebagai Perdana Menteri merupakan satu perbuatan ‘sombong’.
 
Beliau sebelum ini pernah secara lantang menyuarakan sokongan terhadap Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya akan datang.
 
Kritikan Zaid itu kemudian dibidas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa, sebagai seorang ahli politik yang mempunyai sejarah turun-naik, Zaid tidak sepatutnya menyerang rakan-rakan dari pakatan pembangkang.
 
Rafizi juga berkata Anwar tetap relevan dalam arena politik Malaysia. 
 
Zaid kemudian membalas kembali dengan berkata, Malaysia tidak akan memiliki masa hadapan sekiranya diterajui Rafizi ekoran sikapnya yang gemar mengeluarkan kata-kata pedas kepada sesiapa sahaja yang tidak sependapat dengannya.
 
Mengulas mengenai 'perbalahan' tersebut, Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani menyifatkannya sebagai perkara biasa.
 
"Komen sama-sama pemimpin ini jenuh lah kita kan. Tiada apa lah. Bagi saya tiada apa-apa masalah. 
 
"Siapa nak komen, komenlah. Komen ini tidak membawa apa-apa cacat cela. Tiada apa, biasalah tu," tambahnya

‘Jangan ambil jalan mudah, cepat buat kesimpulan’



ULASAN l Kongres Nasional PKR kali ke-12 yang berakhir dua hari lalu banyak menampilkan kelainan berbanding perhimpunan agung tahunan parti-parti lain.

Kongres nasional PKR hanya sehari, ucapannya pendek dan masanya singkat. Masa yang singkat bermakna tidak banyak ruang untuk memuji-muji pimpinan di atas.

Tempoh bersidang sehari bermakna belanja menganjurkan kongres hanya sekitar RM150,000 yang tidak membebankan parti sehingga perlu mencari derma dari hartawan Arab.

Ramai yang mungkin tidak sedar itu budaya politik yang berlainan di bawah oleh PKR. Budaya yang lebih menumpukan kepada pencapaian kerja dan membuang amalan-amalan politik feudal yang penuh dengan keraian dan protokol.

18 tahun lalu, sebagai anak muda berumur 21 tahun yang sedang bekerja di London, saya menyertai PKR dari jauh.

Saya terus dilantik menjadi exco Pemuda PKR (ketika itu) dari London sedangkan saya tidak pernah berjumpa dengan pimpinan PKR yang ada. Saya menyertai PKR dari London kerana saya percaya parti ini menongkah arus dan akan berjaya membawa budaya baru.

Mendahului pendapat umum 

Kongres Nasional PKR setiap tahun adalah pertemuan yang merayakan kepelbagaian Malaysia.
Ada Melayu, ada Cina, ada India, ada Iban, Bidayuh,Kadazan,Murut; malah ada Orang Asal. Tidak ada satu parti pun di Malaysia yang mempunyai dan mewakili semua bangsa dan agama seperti PKR.

Namun, 18 tahun lalu semasa parti ini ditubuhkan, pendapat umum (atau "conventional wisdom") pada ketika itu mengatakan bahawa parti berbilang bangsa yang melangkaui batas perkauman (dan tidak hanya memperjuangkan nasib satu kaum) tidak akan kekal lama.

pkr congress 200517 wanita delegatesHari ini, PKR adalah satu-satunya parti; dan parti yang pertama dalam sejarah Malaysia yang diterima semua bangsa dan ada wakil rakyat di setiap negeri dari Perlis ke Sabah dan Sarawak.

Selepas Pilihanraya Umum (PRU) 2004, PKR tinggal hanya satu kerusi Parlimen. Kami diejek sebagai parti nyamuk yang akan terkubur.

Maka apabila tiga tahun kemudian, Anwar Ibrahim mengatakan pembangkang ada peluang merampas beberapa buah negeri dan menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional dalam PRU 2008, semua memperlekehkan keyakinan Anwar dan PKR itu.

Dalam PRU 2008, PKR membuktikan pendapat umum (“conventional wisdom”) ketika itu salah apabila pembangkang menidakkan majoriti dua pertiga dan sejak itu pakatan pembangkang berjaya mentadbir Selangor dan Pulau Pinang.

Apabila Anwar Ibrahim menubuhkan Pakatan Rakyat selepas PRU 2008, ramai pula yang tidak yakin pakatan pembangkang itu boleh kekal lama. Kata mereka ini gabungan "tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain".

Namun, Pakatan Rakyat (yang pada mulanya tidak diyakini oleh juru komen politik) ini jugalah yang mencipta sejarah sebagai pakatan pembangkang pertama dalam negara ini yang memenangi undi popular menewaskan BN dalam pilihanraya umum.

Apabila Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail menubuhkan Pakatan Harapan tanpa penyertaan PAS, pendapat umum ketika itu mengatakan pakatan pembangkang tanpa PAS tidak mempunyai harapan.

Malah ada yang mengkritik, termasuk dari kalangan pimpinan NGO dan media yang cenderong kepada pembangkang, kononnya tindakan Presiden PKR itu gopoh dan cuai.

Hari ini, seluruh Malaysia meyakini bahawa pakatan pembangkang yang berpotensi untuk mengalahkan BN adalah Pakatan Harapan, bukannya Gagasan Sejahtera.

Sebab itu persoalan siapa calon Perdana Menteri hanya diajukan kepada Pakatan Harapan kerana keyakinan menang itu hanya ada kepada Pakatan Harapan (dan bukannya Gagasan Sejahtera).

Saya sebut semua ini untuk menunjukkan bahawa selama 18 tahun, kesemua keputusan besar yang diambil PKR mendahului pendapat umum atau "conventional wisdom" tetapi lama kelamaan kami dibuktikan benar.

Anjakan besar yang dibawa oleh PKR sememangnya bermula dengan diperlekehkan oleh cerdik pandai masyarakat, NGO dan media ketika itu sebelum anjakan itu benar-benar berlaku (dari wujudnya parti berbilang bangsa nasional yang pertama, wujudnya pakatan pembangkang nasional yang pertama yang kekal melebihi tiga PRU, menidakkan majoriti dua pertiga hinggalah berpotensi besar menewaskan Barisan Nasional dalam PRU akan datang).

Sebabnya ialah kerana PKR adalah parti reformasi, memang idea dan pandangan kami banyak mendahului pendapat umum ketika itu (yang dibentuk oleh budaya politik masyarakat yang telah lama berakar) kerana kami membawa idea yang menongkah pemikiran ketika itu.

Persoalan calon PM reformasi

Begitu juga dengan persoalan siapa Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang: jawapan kami adalah jelas, Perdana Menteri setelah Pakatan Harapan menang adalah Anwar Ibrahim.

Sudah tentu pendapat umum sekarang (dari pemerhati politik, media, pimpinan NGO, juru komen di portal berita) akan berkata "PKR syok sendiri" dan "PKR gila" kerana Anwar Ibrahim masih dipenjara.

Sedar tidak sedar, idea-idea yang menarik sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan banyaknya bermula dari kelantangan Anwar menentang sistem kerajaan satu parti di bawah Barisan Nasional sejak 1998 lagi.

Tuntutan supaya kerajaan menghormati rakyat, kehendak supaya kerajaan lebih bertanggungjawab menguruskan wang negara, kebencian kepada rasuah yang mengkayakan elit penguasa di dalam masyarakat – ini semua adalah idea-idea reformasi yang dicetuskan dan dibawa secara besar-besaran oleh Anwar Ibrahim dan PKR.

Maka sokongan kepada idea-idea ini bermakna sokongan besar kepada Anwar Ibrahim atas kecekalan beliau membawa idea-idea reformasi ini yang menjadikan rakyat sebagai “tuan” dan kerajaan hamba kepada rakyat.

Saya berani menulis sebegini kerana kenyataan di perenggan atas (bahawa sokongan kepada tuntutan berubahnya kerajaan berkadar langsung dengan sokongan peribadi kepada Anwar Ibrahim oleh sebahagian besar rakyat Malaysia) telah dibuktikan benar secara fakta melalui satu kajiselidik besar yang dijalankan INVOKE Malaysia selama tiga bulan sejak Februari 2017.

Kajiselidik yang melibatkan 18,000 pengundi itu menunjukkan, dari kalangan pimpinan pembangkang, tokoh yang mendapat sokongan terbesar untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang ialah Anwar Ibrahim.

Lebih penting lagi, Anwar Ibrahim adalah satu-satunya tokoh politik pembangkang yang mendapat sokongan dari semua kaum di negara ini, menjadikan beliau satu-satunya tokoh politik pembangkang yang mempunyai keabsahan moral (“moral legitimacy”) sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.

Kajiselidik itu akan disiarkan sepenuhnya hari ini.

Saya sebut terlebih dahulu untuk mengingatkan pembaca bahawa soal Anwar Ibrahim menjadi calon pilihan tertinggi rakyat Malaysia (dari kalangan pembangkang) bukanlah soal pandangan atau citarasa saya (seperti mana ada rakan-rakan pembangkang yang lain mempunyai citarasa dan kecenderongan masing-masing), tetapi adalah kehendak majoriti rakyat yang menyokong Pakatan Harapan yang mahukan perubahan seperti yang diperjuangkan Anwar Ibrahim sejak dua dekad yang lalu.

Sebab itu, sedang saya faham setiap parti dan pemimpin Pakatan Harapan ada calon masing-masing, saya berpendapat menidakkan kehendak majoriti rakyat itu atas perkiraan politik kerana Anwar Ibrahim berada di dalam penjara, sudah tentu akan meminggirkan majoriti penyokong Pakatan Harapan sendiri.

Kaedah pengampunan Diraja 

Tetapi rakyat tahu ada kaedah pengampunan diraja yang boleh digunakan dan membolehkan Anwar Ibrahim dibebaskan segera dan bertanding segera dalam pilihanraya kecil.

Kaedah ini ada digunakan dalam kes-kes ehsan untuk membebaskan pesalah, apatah lagi dalam kes Anwar Ibrahim ia satu kes fitnah yang jelas oleh musuh politik beliau yang mahu menghentikan kemaraan rakyat menuntut perubahan.

Sebab itu walaupun pendapat umum (di kalangan kelas pertengahan, juru komen politik, NGO dan media) mungkin masih tidak dapat menerima, PKR tahu bahawa apabila Pakatan Harapan menang PRU14, seorang pemimpin kanan boleh memangku jawatan Perdana Menteri (sebagai Perdana Menteri interim) dan dengan segera mengusahakan pengampunan diraja untuk Anwar Ibrahim.

PKR juga tahu sahabat-sahabat di dalam DAP dan AMANAH pernah bersetuju agar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah menjadi Perdana Menteri interim (mewakili Anwar Ibrahim) yang dengan segera akan mengusahakan pembebasan Anwar Ibrahim melalui kaedah pengampunan diraja.

Saya yakin dalam masa sebulan dari tarikh kemenangan PRU14 Anwar Ibrahim boleh dibebaskan dengan cara ini dan sebulan kemudian terus bertanding dalam sebuah pilihanraya kecil sebelum mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri.

Memang ia bukan perkara yang mudah.

Saya baca ada yang berpendapat rancangan itu terlalu bergantung kepada “jika” – jika menang, jika dibebaskan, jika boleh bertanding, jika menang dalam PRK dan lain-lain.

Kesemua “jika” itu adalah keputusan politik yang berada di dalam bidang kuasa sebuah kerajaan persekutuan dan boleh dilaksanakan secara sah mengikut undang-undang dan dalam tempoh yang singkat setelah Pakatan Harapan memenangi Putrajaya.

Sebelum ini pun, ada beberapa keputusan penting yang dibuat PKR selepas PRU13 yang ditolak pada awalnya juga kerana dilihat banyak bergantung kepada “jika”. Contoh terbaik ialah penubuhan Pakatan Harapan dan peluang menewaskan Barisan Nasional dalam pertandingan tiga penjuru.

Ramai juru komen, pemimpin NGO dan media yang ragu-ragu dengan Pakatan Harapan semasa ditubuhkan dua tahun lalu kerana tiada penyertaan PAS.

Saya perhatikan juru komen, pemimpin NGO dan media yang sama yang kini berhempas pulas cuba menekan pimpinan Pakatan Harapan untuk menamakan seorang calon Perdana Menteri, sedangkan dua tahun lalu mereka tidak yakin pun dengan Pakatan Harapan.

Mereka tidak sedar apabila mereka beriya-iya mahu mengadakan perjumpaan dengan pimpinan PKR untuk mendesak dinamakan seorang calon Perdana Menteri dari kalangan pemimpin yang ada di luar (bukannya Anwar Ibrahim yang dipenjara), mereka mengakui kesilapan mereka yang menolak penubuhan Pakatan Harapan dua tahun lalu.

Begitu juga dengan persoalan peluang memenangi PRU14 apabila berlaku pertandingan tiga penjuru.
Juru komen, pemimpin NGO dan media yang sama yang lantang mengkritik konon kurangnya kesefahaman di dalam Pakatan Rakyat kerana ideologi parti-parti yang berbeza-beza, mereka juga yang tidak bersetuju dengan strategi Pakatan Harapan untuk terus mara tanpa bergantung kepada keputusan politik PAS.

Mereka yakin tanpa PAS, Pakatan Harapan tidak boleh menang.
Sedangkan mereka tidak sedar bahawa lanskap politik tanahair telah berubah sepenuhnya.

Ia telah dibuktikan secara empirikal bahawa hanya PKR yang mendapat keuntungan jika berlaku pertandingan satu lawan satu kerana hanya PKR (dari kalangan parti-parti pembangkang) yang mendapat undi yang baik dari semua kaum, sedangkan parti-parti lain lebih popular dengan satu kaum sahaja.
Jika berlaku pertandingan satu lawan satu, kajiselidik demi kajiselidik menunjukkan pola pengundian berikut:

1. Pengundi bukan Melayu (Cina dan India) tidak akan memberikan undi kepada PAS. Paling banyak PAS hanya akan mendapat sekitar 5 peratus undi dari pengundi bukan Melayu. Di semua kerusi yang mana pengundi bukan Melayu melebihi 20 peratus PAS akan kalah bila berlawan satu lawan satu dengan Umno kerana pengundi bukan Melayu sama ada menyokong Umno atau tidak keluar mengundi. Dari 165 kerusi Parlimen di Semenanjung, lebih 75 peratus adalah kerusi Parlimen yang pengundi bukan Melayu lebih dari 20 peratus.

2. Pengundi Melayu dari Umno dan PAS tidak semestinya akan mengundi BERSATU atau AMANAH (jika pun berlaku satu lawan satu) kerana mereka menganggap kedua-dua parti itu adalah parti serpihan. Ada kemungkinan mereka membuat undi rosak, tidak keluar mengundi atau mengundi Umno!

Ditambah pula dengan undi dari bukan Melayu kepada BERSATU dan AMANAH yang tidak setara dengan undi yang diperolehi DAP dan PKR, maka bagi BERSATU dan AMANAH telah dibuktikan (menggunakan data-data yang telah pun diterbitkan) tidak banyak perbezaan di antara satu-lawan-satu atau tiga penjuru.

Jika saya dan pimpinan PKR lain tunduk kepada pendapat segelintir wakil NGO ini dan tidak mempertahankan prinsip hanya untuk membina satu pakatan pembangkang yang melibatkan PAS (demi pertandingan satu lawan satu), ada kemungkinan kerusi yang dimenangi pakatan pembangkang tidak banyak berbeza dari apa yang ada sekarang.

Tetapi kini bila semakin kelihatan pengaruh PAS dalam pertandingan tiga penjuru semakin berkurangan kerana pengundi lebih memberi perhatian kepada pakatan politik nasional yang berpotensi memenangi Putrajaya (bukannya menang beberapa kerusi sahaja), saya yakin juru komen politik dan segelintir wakil NGO ini secara diam-diam akan menerima hakikat itu.

Tambahan pula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi sendiri mengakui pertandingan tiga penjuru tidak semestinya mudah bagi Umno/Barisan Nasional.

Secara tidak sedar, rakyat juga akan menyiapkan minda mereka bahawa pertembungan adalah di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Keraguan dan kritikan yang kuat pada awalnya hasil “conventional wisdom” (pada ketika itu) juga akan menjadi keraguan terpencil sahaja.

Jangan pilih jalan mudah

Saya berkali-kali merayu kepada orang ramai supaya tidak memilih jalan mudah dalam membawa perubahan.

Saya sering mengingati bahawa mengubah nasib rakyat dan negara bukanlah percaturan di antara beberapa kelompok elit politik sahaja yang berbincang di dalam bilik mesyuarat tetapi terpisah dari rakyat terbanyak.

Perubahan yang berkekalan mesti melibatkan seberapa ramai rakyat biasa. Hala tujunya juga tidak boleh meminggirkan sentimen rakyat terbanyak yang turut serta di dalam gelombang perubahan itu, walaupun ia membawa ke jalan yang nampak lebih sukar kerana belum pernah dicuba.

Samalah juga dengan keputusan-keputusan strategik yang telah dan akan diambil oleh PKR dan Pakatan Harapan.

Bersiap sedia untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru dan mempertahankan parti-parti gabungan Pakatan Harapan seperti AMANAH dan BERSATU memang nampak lebih sukar berbanding jalan mudah mengorbankan AMANAH, BERSATU dan DAP untuk memenuhi kehendak PAS, tetapi itu bukan kehendak rakyat terbanyak.

Jalan mudah itu tidak melambangkan matlamat sebenar reformasi yang berteraskan prinsip keadilan untuk semua dan menentang rasuah yang membebankan rakyat.

Bersetuju bahawa Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri yang akan diangkat melalui kaedah pengampunan diraja dan pilihanraya kecil dalam masa beberapa bulan selepas kemenangan Pakatan Harapan juga bukanlah jalan termudah.

Tetapi itu jugalah jalan yang akan mendapat dokongan paling ramai rakyat Malaysia pelbagai kaum, jika benar kita mahu menyahkan Datuk Seri Najib dari Seri Perdana.

Paling penting, rakyat Malaysia yang mahukan perubahan perlu sedar kita berada di kedudukan sekarang kerana ramainya rakyat Malaysia yang tidak bernama sebelum ini yang membantu.

Ramai yang tidak pernah merasa kedudukan (hatta sekecil jawatan di dalam JKKK pun) yang turut serta.

Mereka kekal menyokong usaha menggantikan sistem kerajaan Barisan Nasional sejak 1998 lagi kerana mereka tahu bahaya rasuah dan pemusatan kuasa kepada rakyat dan negara.

Sebab itu saya berdoa pimpinan Pakatan Harapan tidak mengecewakan rakyat dengan menjauhi perangkap rasuah dan mencari kedudukan yang kini menjatuhkan Umno/Barisan Nasional.

Saya berdoa Allah SWT memberi kecekalan dan keazaman agar pimpinan Pakatan Harapan tidak terpesong dari perjuangan rakyat dan tidak tewas dengan ujian berkuasa iaitu rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.

Saya tidak kisah sangat bila ada segelintir yang mengecam pendapat politik saya; baik dari soal penubuhan Pakatan Harapan, kepada pendirian saya mengenai PAS, kepada pendapat saya bahawa Pakatan Harapan boleh menang pertandingan tiga penjuru; dan pendapat saya Anwar Ibrahim adalah calon terbaik Perdana Menteri yang boleh diabsahkan secara mudah melalui pengampunan diraja.

Saya tidak alpa bahawa Najib sendiri sudah berlatih menjeritkan “Lawan Tetap Lawan” kepada aktivis tentera maya Umno baru-baru ini seolah-olah beliau sedang bersedia menjadi pembangkang, kerana Najib pun sedar pertandingan tiga penjuru bukan jalan mudah untuk beliau.

*  Rafizi Ramli adalah Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Pandan.

GAMIS kecewa SPRM tangguh siasat ahli politik

MALAYSIAKINI


Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menangguhkan siasatan ahli politik sehingga selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzukefli Ahmad yang berpendirian ingin menangguhkan siasatan terhadap ahli politik sehingga selepas PRU 14 amat mengecewakan.

"Pendirian yang dangkal ini langsung tidak mencerminkan kredibiliti SPRM selaku badan yang bebas dan autoritatif.

"Kenyataan ini menimbulkan isu integriti SPRM dan mencemar imej suruhanjaya yang sepatutnya bebas dan neutral, namun, seolah-olah mula berpihak serta mengambil kira soal kepentingan periuk nasi Umno dan BN," katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Dzulkifli dilaporkan sebagai berkata, SPRM tidak mahu bertindak terhadap ahli politik sekarang kerana ini boleh digunakan sebagai bahan kempen pada PRU14.

Walaupun tindakan diambil terhadap ahli-ahli politik berkenaan, Dzulkifli berkata, ia tidak akan menghalang mereka daripada bertanding atau memegang jawatan politik.

Mengulas lanjut, GAMIS berkata, pihaknya berpendirian bahawa SPRM perlu menjalankan tanggungjawab dengan sepenuhnya tanpa menutup mata terhadap golongan sasar yang berkepentingan.

"Besarlah hasrat kami untuk melihat SPRM sentiasa berada di hadapan dalam urusan ketelusan dan integriti," tambahnya.

PKR setuju tiga Exco PAS Selangor dikekalkan

ANTARAPOS.COM

Post Pic



PETALING JAYA: PKR malam ini membayangkan tiga Exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor akan dikekalkan meskipun dua parti itu memutuskan kerjasama politik antara mereka.

Biro politik PKR yang bermesyuarat sebentar tadi menerima penjelasan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali bahawa PAS masih komited kepada agenda kerajaan negeri pimpinan beliau.

"Biro Politik PKR mengambil maklum penjelasan yang diberikan Menteri Besar Selangor bahawa, walaupun mereka bukan sebahagian dari Pakatan Harapan (PH), kesemua 13 ADUN dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dari PAS telah bersetuju untuk terus menyokong dasar bersama Kerajaan Negeri Selangor.

"(Mereka juga) meneruskan keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Menteri Besar Selangor," kata Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Justeru kata Wan Azizah PKR bersetuju dengan pendekatan Azmin berhubung kedudukan tiga Exco itu.

"Biro Politik PKR turut bersetuju dengan pendekatan Menteri Besar Selangor untuk menjamin kestabilan Kerajaan Negeri menjelang PRU14 dan meneruskan usaha membangunkan Negeri Selangor selaras dengan mandat besar rakyat pada PRU13," kata beliau.

PKR sebelum ini diuar-uarkan mahu tiga Exco berkenaan iaitu Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib untuk meletak jawatan setelah parti itu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Susulan keputusan Majlis Syura PAS itu, PKR mengarahkan PKR mengarahkan semua lantikan politik parti itu di dalam kerajaan Kelantan pimpinan PAS meletakkan jawatan.

Bagaimanapun PAS memutuskan tiga Exconya di Selangor tidak akan meletakan jawatan kerana khidmat mereka adalah di atas perkenan Sultan Selangor.

Azmin sebelum ini berkata beliau akan berunding dengan pimpinan PAS berhubung kedudukan tiga exco berkenaan.

PAS memutuskan tahaluf siyasi itu selepas menuduh PKR sebagai tidak menyokong agenda perjuangan islam parti itu khususnya berhubung dengan usul memperkasakan Mahkamah Syariah




NTP bukti Malaysia ada asas ekonomi yang kuat

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Program Transformasi Nasional (NTP) membuktikan Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kuat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 
 
Timbalan Perdana Menteri berkata, bagaimanapun, negara masih boleh mencapai kejayaan yang lebih baik jika Malaysia mampu menggarap sentimen dalam kalangan pelabur asing dan domestik. 
 
"Saya ingin mengucapkan tahniah secara peribadi dan secara rasmi kepada Perdana Menteri atas pencapaian luar biasa pada tahun 2016 dan pencapaian dalam pelbagai bidang di luar ekonomi itu amat mengagumkan. 
 
"Dari segi pencapaian ekonomi kita mengetahui bahawa secara dasarnya, negara kita mempunyai asas yang kukuh," katanya kepada pemberita. 
 
Beliau mengulas pembentangan laporan Tahunan Program Transformasi Nasional 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini. 
 
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, biarpun kadar jenayah berjaya menunjukkan penurunan pada tahap 47 peratus dalam keadaan menghadapi pelbagai cabaran, ia masih belum memuaskan hatinya. 
 
"Biarpun pelbagai persepsi kita terpaksa depani namun hakikatnya ialah perangkaan berdasar pada pencapaian PDRM selama ini.  
 
"Ini (masih) tidak puaskan hati saya, sebaliknya kami akan terus berusaha untuk menentukan agar dapat mencapai penurunan kadar jenayah dengan lebih baik lagi," katanya. 
 
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim berkata, program 1AZAM yang diperkenalkan sebelum ini sememangnya menunjukkan impak yang besar kepada rakyat. 
 
"Setiap kali ada laporan laporan tahunan dibentangkan, program itu menunjukkan hasil yang baik. Keduanya, saya sangat berpuas hati kerana wanita termasuk dalam pembuat dasar selain memegang jawatan tinggi dalam pelbagai sektor. 
 
"Ini menunjukkan hasil program kita untuk pastikan wanita-wanita bekerjaya mencapai matlamat. Menjelang 2020 saya perlu memastikan 59 peratus wanita Malaysia dalam alam pekerjaan. 
 
"Walaupun pada ketika ini kita sudah berada pada paras 30 peratus wanita dalam kalangan pembuat dasar, masih banyak yang perlu dilakukan," katanya.
 
 

Mahathir takkan sokong Anwar sebagai calon PM, kata Penganalisis

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak mengangkat plakad 'Anwar PM ke-7' sewaktu Kongres Nasional PKR baru-baru ini jelas menunjukkan beliau tidak menyokong Ketua Umum PKR itu diangkat sebagai calon Perdana Menteri.
 
Penganalisis Politik, Prof Datuk Dr Ramlah Adam menyifatkan reaksi mantan Perdana Menteri itu sebagai gimik politik berhubung ‘sokongan’ beliau terhadap Anwar sekarang.  
 
“Itu maknanya dia tidak setujulah (Anwar jadi PM) walaupun dia bersama (dalam kongres).
 
“Saya rasa ini gimik politik, ini satu usaha politik, tapi saya percaya Tun Mahatahir tak akan diamkan, dia tak angkat sepanduk maknanya dia tak setujulah,” katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Kongres Nasional PKR pada Ahad lalu riuh dengan sokongan padu mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri seterusnya mendesak pembebasan suami kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari tahanan penjara.
 
Bagaimanapun gelagat Dr Mahathir, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalan presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencuri tumpuan ramai apabila tidak turut serta mengangkat plakad 'Anwar PM ke-7'.
 
Dr Mahathir sebaliknya dilihat memegang telefon pintarnya dan merakam perwakilan yang mengangkat plakad, manakala pula Muhyiddin sekadar bertepuk tangan.
 
Sementara itu Mukhriz yang ditemui pemberita kemudiannya berkata, nama calon perdana menteri ke-7 akan dibawa ke dalam perbincangan Pakatan Harapan (PH) pada sesi akan datang.
 
Ahli baru DAP, Datuk Zaid Ibrahim bagaimanapun menyelar tindakan mengangkat Anwar sebagai calon PM ke-7 dan menyifatkannya satu perbuatan ‘sombong’.
 
Zaid sebelum ini pernah mendesak Pakatan Harapan agar mencalonkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri mewakili pembangkang.
 
Dalam pada itu, mengulas tindakan Dr Mahathir yang menandatangani petisyen pembebasan Anwar, Ramlah menyifatkan bekas perdana menteri itu sebagai pemimpin yang tidak mempunyai integriti.
 
Katanya, tindakan pemimpin veteran tersebut seolah-olah satu 'pusingan U' lebih-lebih lagi apabila beliau sendiri yang 'menyumbat' Anwar ke dalam semasa era pemerintahannya sebelum ini.
 
“Adakah pada masa dahulu dia seorang Perdana Menteri, dia fikirkan kepentingan negara atau kepentingan diri dia sendiri dengan sumbat Anwar Ibrahim dalam penjara.
 
“Jadi bagi saya taraf Tun Mahathir tu nak jadikan Anwar Ibrahim tu PM saya rasa dia bukan jilat balik, saya rasa segala perkara buruk yang dia dah buat dulu berpalit ke muka dia.
 
“Isunya sekarang, adakah yang dilakukan itu salah atau benar ikut Mahathir, jadi kalau Mahathir suruh keluarkan dia (Anwar) bermakna Mahathir pun seolah-olah buat silap tuduh Anwar dulu," ujar Ramlah.
 
 

Selasa, 23 Mei 2017

TMJ: Lebih baik KJ jadi Askar Wataniah, bukan menteri

MALAYSIAKINI


Ketiadaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada perlawanan akhir Piala FA baru-baru ini nampaknya dipandang begitu serius oleh Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam kenyataannya hari ini, Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata, orang ramai tertanya-tanya di manakah menteri belia dan sukan itu ketika perlawanan sukan utama tanah air berlangsung.

"Pada pendapat saya, beliau sepatutnya menjadi antara individu penting yang sepatutnya turut hadir menyaksikan salah satu perlawanan bersejarah ini," katanya melalui Facebook Johor Southern Tigers petang ini.

Menurut TMJ, beliau dimaklumkan Khairy terlibat dengan program Askar Wataniah pada malam perlawanan Piala FA tersebut.

Bagaimanapun, pada pandangannya, menteri terbabit sepatutnya memberi keutamaan pada perlawanan akhir Piala FA itu.

"Pada saya, sekiranya program Askar Wataniah lebih menjadi keutamaan, adalah lebih baik beliau menjadi Askar Wataniah daripada menjadi menteri belia dan sukan," tegas Tunku Ismail.

Perlawanan akhir Piala FA 2017 yang berlangsung di Stadium Shah Alam, 20 Mei lalu lalu menyaksikan pasukan Kedah bertemu Pahang.

Ia turut disaksikan tiga kerabat diraja iaitu dari Kedah, Johor dan Pahang.

Perlawanan sengit dan menghiburkan itu berakhir dengan skukad Helang Merah menundukkan Tok Gajah 3-2.

Tunku Ismail turut menasihati Khairy agar tidak memilih untuk hadir ke majlis yang menjadikan beliau sebagai tumpuan semata-mata.

"Janganlah hanya memilih untuk pergi ke aturcara yang anda pasti akan menjadi tumpuan majlis tetapi apabila sebaliknya, tidak mahu pergi kerana sudah tahu anda tidak menjadi tumpuan.

"Apabila anda telah menjadi seorang menteri atau ahli politik, yang sebetulnya adalah mengenai berkhidmat kepada rakyat dan institusi negara, bukan berkhidmat untuk kepentingan diri sendiri," jelasnya.

Tambah beliau, sekiranya mahu menjadi popular lebih baik menjadi selebriti dan bukannya memegang jawatan sebagai seorang menteri atau ahli politik.

"Dan kepada semua ahli politik dan wakil-wakil pemuda, keutamaan tugas anda adalah turun padang dan berkhidmat kepada rakyat, bukannya mengira berapa banyak 'followers' di laman media sosial.

"Ini bukan pasal soal sukan dan bola sepak sahaja tetapi ini adalah tanggungjawab dan amanah kesemua ahli-ahli politik dalam negara," kata Tunku Ismail.


Alasan SPRM tangguh tindakan sangat dangkal, kata PAS

MALAYSIAKINI


Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata justifikasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak akan bertindak ke atas ahli-ahli politik yang sedang disiasat sebelum pilihan raya umum ke-14 sebagai sangat dangkal.

“Pertama, kenyataan ini menunjukkan SPRM tidak dapat berlaku adil terhadap rakyat Malaysia, 
malah ia membeza-bezakan antara rakyat Malaysia di mana terhadap hak istimewa yang dikhususkan kepada orang politik, orang kerajaan dan orang awam. Ini tidak boleh berlaku.

“Kedua, kenyataan ini juga menunjukkan SPRM tidak bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini Dzulkifli (foto, kanan) dilaporkan berkata SPRM tidak mahu bertindak terhadap ahli politik berkenaan sekarang kerana ini boleh digunakan sebagai bahan kempen pada PRU14.

Tuan Ibrahim mempersoalkan bahawa sekiranya polis juga mengambil pendirian sama, apakah ahli-ahli politik sekarang boleh dikira kebal kerana institusi-institusi penguatkuasaan tidak berani bertindak terhadap mereka semata-mata tidak mahu dituduh sebagai alat politik?

Menurut pemimpin PAS itu, jika tarikh akhir bagi SPRM adalah sebelum pilihan raya umum akan datang, selama mana tindakan terhadap ahli-ahli politik rasuah akan ditangguhkan kerana tiada siapa yang tahu dengan tepat bila tarikh pilihan raya akan datang.

“Bagaimana pula dengan PRU akan datang yang dijadualkan pada tahun 2023? Bila SPRM akan berhenti bertindak terhadap ahli-ahli politik bermula? Apakah tahun 2022?” soalnya.

Beliau berkata Dzulkifli perlu memahami bahawa SPRM akan dituduh bermain politik dan menjadi alat politik kerana ia dilihat tidak mampu bertindak adil,

SPRM akan dituduh campur tangan dalam politik, katanya, kerana ia dilihat sebagai tidak adil, seperti mereka terlibat dengan kes 1MDB dan SRC International yang dibongkar jauh sebelum PRU diadakan masih belum diheret ke mahkamah.

“PAS menggesa SPRM meneruskan kerja tanpa sebarang pengecualian. Sesiapa sahja yang terlibat dengan rasuah perlu dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

“Rakyat boleh bersetuju jika SPRM hanya berhenti bertindak terhadap ahli-ahli politik ketika waktu kempen pilihan raya, dan bukannya tetiba diumumkan tindakan terhadap ahli-ahli politik ditangguh kerana PRU dah semakin dekat,” katanya.

Sambil merakamkan penghargaan dan tahniah kepada SPRM yang bertindak tegas terhadap jenayah rasuah setakat ini, Tuan Ibrahim berkata, imej badan itu yang sedang meningkat tidak seharusnya dicemari dengan tindakan berat sebelah seperti memberikan hak istimewa kepada ahli-ahli politik menjelang PRU.


Nik Abduh: Kembalilah ke tikar sejadah wahai Mahathir

MALAYSIAKINI
 
Ahli Parlimen PAS Nik Abduh Nik Aziz hari ini menasihati Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak ‘mengangkat’ anaknya, Datuk Seri Mukriz dalam arena politik, kerana bekas perdana menteri itu berkemungkinan akan berakhir dengan menjatuhkannya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dr Mahathir mengenai allahyarham bapanya dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, walaupun Mahathir berjaya mengalahkan semua musuh politiknya, namun beliau tidak pernah menang melawan perjuangan politik Nik Aziz.

"Dendam Mahathir belum berakhir dan mungkin juga Allah inginkannya kekal begitu justeru dendam dan bencinya kepada PAS adalah berterusan," katanya yang dipetik Harakahdaily.

Nik Abduh mendakwa Mahathir amat gembira melihat PAS berpecah tetapi beliau malu melihat bagaimana bekas pemimpin PAS yang menyokongnya hari ini amat lemah manakala PAS semakin sejahtera, maju dan mara menuju cita.

Sambil menggesa pemimpin berusia 92 tahun itu supaya bertaubat dan dan kembali ke tikar sejadah kerana ia jalan terbaik untuk dirinya di hujung hayat, katanya: "Tak payahlah buat kerja lu langsi lu mati yang berulang-ulang sejak muda sampai tua.”

“Angkat Musa Hitam, pecat Musa Hitam. Angkat Ghafar Baba, pecat Ghafar Baba. Angkat Anwar, pecat Anwar. Angkat Pak Lah, pecat Pak Lah. Angkat Najib, ni nak pecat Najib pulak.

"Saya nasihatkan dia jangan pulak angkat Mukhriz. Nanti Mukhriz pun dipecatnya. Rakyat Malaysia pun, saya nak nasihat baik-baik," katanya

Nik Abduh berkata, walaupun Mahathir perlu dihormati tetapi demi masa depan negara yang lebih sejahtara adalah lebih baik pemimpin veteran yang kini adalah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dibiarkan berehat menuju Allah.

"Generasi baru perlu memilih Islam sebagai panduan hidup. Mari menuju sebuah negara sejahtera dengan Islam," katanya.

Mahathir menimbulkan kemarahan penyokong PAS apabila beliau baru-baru ini mengungkit semula bagaimana Nik Aziz pernah berkata bahawa Tuhan juga mencarut walaupun telah menjelaskan isu berkenaan.

Penyokong Najib menuduh Mahathir cuba untuk merancang memastikan Mukhriz yang kini adalah timbalan presiden BERSATU menjadi perdana menteri.


Tun M tak angkat plakad bukan sebab tak sokong - Xavier

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tidak timbul isu apabila Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memegang plakad ‘Anwar PM ke-7’, demikian kata Naib Presiden PKR, Dr. Xavier Jayakumar.
 
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Dr Mahathir yang tidak turut sama mengangkat plakad, yang dilihat ramai pihak sebagai satu signal mantan Perdana Menteri itu tidak bersetuju Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
 
“Taklah, saya rasa bukan isu sokong (atau) tak sokong, Tun kata dia ambil gambar pada hari itu,” ulasnya ringkas kepada Antarapos hari ini.
 
Pada Kongres Nasional PKR, Ahad lalu, gelagat Dr Mahathir, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalan presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencuri tumpuan ramai apabila tidak turut serta mengangkat plakad 'Anwar PM ke-7'.
 
Dr Mahathir sebaliknya dilihat memegang telefon pintarnya dan merakam perwakilan yang mengangkat plakad, manakala pula Muhyiddin sekadar bertepuk tangan.
 
Sementara itu Mukhriz yang ditemui pemberita kemudiannya berkata, nama calon perdana menteri ke-7 akan dibawa ke dalam perbincangan Pakatan Harapan (PH) pada sesi akan datang.
 
Mengulas lanjut, Xavier menegaskan soal penentuan calon Perdana Menteri yang bakal mewakili gabungan pembangkang  akan diputuskan semua parti komponen PH kelak.
 
“Saya rasa saya biarkan kepada Pakatan Harapan untuk buat keputusan siapa nak jadi Perdana Menteri.
 
“Pada pendapat saya dari mula ialah kita tunggu lepas PRU tengok parti mana yang ada kerusi lebih, lepas itu kita boleh buat rundingan, pada waktu itu kita boleh tentukan siapa jadi Perdana Menteri," ulasnya.
 
Sehingga kini, PH masih belum menamakan calon yang akan menduduki jawatan tertinggi itu walaupun acap kali didesak oleh pelbagai pihak.
 
PKR bagaimanapun konsisten untuk mengangkat Ketua Umum mereka yang sedang menjalani hukuman penjara sebagai calon Perdana Menteri.
 
 

Hadi Awang kini dalam fasa pemulihan

Muhammad Azizul Osman 
 
Gambar terbaharu Datuk Seri Abdul Hadi Awang di IJN Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR – Tahap kesihatan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menunjukkan perkembangan positif selepas melalui pembedahan pintasan jantung baru-baru ini.

Setiausaha politik Hadi, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Ahli Parlimen Marang itu kini dalam fasa pemulihan pasca pembedahan yang sangat baik.

Malah beliau turut memberikan respon yang sangat positif terhadap rawatan yang diberikan di Unit Rawatan Rapi Institut Jantung Negara (lJN).

“Tuan Guru (Abdul Hadi) juga telah mula menjalani latihan fisioterapi​ bagi memperkuatkan fizikalnya, dan ianya adalah rawatan yang biasa dijalankan selepas pembedahan jantung.

“Proses pemulihan dapat bergerak pantas sekiranya Tuan Guru dapat berehat sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi selamat menjalani pembedahan pintasan jantung pada 16 Mei lalu berikutan injap jantung yang rosak.

Malah beliau turut tidak dibenarkan menerima mana-mana pelawat pada masa kini.

Hanya keluarga terdekat sahaja yang dibenarkan membuat lawatan terhadap Hadi. – MalaysiaGazette


Tandatangan petisyen bebaskan Anwar: Tun M hina sistem perundangan negara

ASTRO AWANI


Tandatangan petisyen bebaskan Anwar: Tun M hina sistem perundangan negara
Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (gambar) berkata tindakan Dr Mahathir itu boleh menyebabkan kekacauan malah rakyat tidak lagi mempercayai badan kehakiman di negara ini. - Gambar fail
 
 
KUALA LUMPUR: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani petisyen pembebasan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai tidak menghormati, sebaliknya menghina sistem perundangan negara.

Beberapa anggota UMNO yang ditemui hari ini menyifatkan tindakan bekas perdana menteri menandatangani petisyen bagi pembebasan Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan meliwat, sebagai lebih bermotifkan kepentingan politik semata-mata.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Sohaimi Shahadan berkata tindakan Dr Mahathir itu seolah-olah seperti beliau (Mahathir) menyokong perbuatan jenayah liwat yang dilakukan Ketua Umum PKR itu.

"Tindakan Tun Dr Mahathir dewasa ini banyak melakukan U-turn, beliau juga mudah lupa dengan apa diungkapnya sebelum ini. Jelaslah, Melayu tidak mudah lupa, tetapi Tun M yang selalu lupa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabtu lepas, Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun, menandatangani petisyen itu ketika hadir pada Kongres Nasional Tahunan PKR ke-12.

Seorang lagi Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata tindakan Dr Mahathir menandatangani petisyen membebaskan Anwar yang merupakan 'musuhnya' suatu ketika dahulu boleh dianggap seperti 'ada udang di sebalik batu.'
 
Irmohizam, yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor, berpendapat permainan politik ini sangat berbahaya kepada nama baik negara serta institusi di bawahnya disebabkan keutamaan mementingkan pengaruh dan kekuasaan daripada memikirkan untung nasib serta kebajikan rakyat.

"Mereka sanggup menggadaikan kesetiaan penyokong demi meraih sokongan baharu dan dengan apa cara sekalipun untuk mencapai kepentingan sendiri," katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata tindakan Dr Mahathir itu menunjukkan beliau kini berada dalam keadaan terdesak untuk mencapai apa juga tujuan.

"Mereka akan lakukan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata kredibiliti Dr Mahathir sebagai seorang ahli politik hilang setelah beliau menandatangani petisyen tersebut yang pastinya menimbulkan rasa marah dalam kalangan rakyat kerana kesalahan dilakukan Anwar merupakan kes yang besar.

"Tun Mahathir telah memporak-perandakan keadaan politik dan ekonomi negara dan untuk Tun kembali meminta Anwar dibebaskan, saya rasa apa yang Tun perlu buat ialah memohon maaf secara terbuka kepada rakyat sebab telah memberi gambaran yang lain terhadap kesalahan Anwar," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata tindakan Dr Mahathir itu boleh menyebabkan kekacauan malah rakyat tidak lagi mempercayai badan kehakiman di negara ini.

"Jika tidak menghormati keputusan mahkamah, negara akan menjadi huru-hara kerana tiada lagi badan keadilan yang mesti dihormati," kata Ahmad Jazlan, yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin meminta rakyat Malaysia supaya menilai sendiri bahasa tubuh dan kenyataan Dr Mahathir pada masa kini, yang jelas tidak sama berbanding sewaktu beliau memimpin negara.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jelebu Datuk Jalaluddin Alias berkata tindakan Dr Mahathir itu menbuktikan beliau adalah seorang yang tidak konsisten dalam keputusannya terhadap Anwar sewaktu menjadi perdana menteri.

"Dahulu yang ambil tindakan kepada Anwar adalah Mahathir yang ketika itu dia adalah perdana menteri dan sudah pasti tindakan ke atas Anwar itu berlandaskan undang-undang negara.

"Jika sekarang ini dia mahu membebaskan Anwar, ini bermakna tindakannya yang dahulu itu (sehingga Anwar dipenjarakan) adalah berlandaskan emosi dan bukannya salah Anwar," kata Jalaluddin, yang juga Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan Dr Mahathir itu dilihat sebagai satu langkah 'mencuci dosa' yang dilakukannya malah ramai yang menganggap bekas perdana menteri itu 'menganiaya' timbalannya ketika beliau berkuasa. -- BERNAMA 
 
 

Sarawak masih berunding dengan Petronas mengenai kenaikan royalti minyak

ASTRO AWANI


Sarawak masih berunding dengan Petronas mengenai kenaikan royalti minyak
Datuk Abang Johari Openg dan Timbalannya Datuk Amar Awang Tengah dikerumuni wartawan selepas penggulungan pada hari terakhir Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Persidangan DUN Sarawak ke-18 hari ini,  --fotoBERNAMA
 
 
KUCHING: Sarawak masih berunding dengan Petronas mengenai kenaikan royalti minyak sebanyak 20 peratus, kata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Dalam ucapan penggulungannya pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini, beliau berkata kini masanya tidak sesuai untuk rundingan berikutan harga minyak yang rendah dan kos pengeluaran yang amat kompetitif.

"Dengan keadaan sedemikian, kita perlu mengendalikannya dengan baik," katanya.

Sementara itu, katanya beliau telah memutuskan bahawa kerajaan akan meneruskan pembangunan industri minyak dan gas di negeri ini.

Ia juga akan berunding dengan Petronas mengenai cara dan kaedah untuk menyertai aktiviti huluan dan hiliran syarikat minyak nasional itu di Sarawak, katanya.

"Kerajaan negeri akan membentuk sebuah entiti komersial milik negeri bersama Petronas untuk meneroka dan mengeluarkan minyak dan gas di lapangan minyak lama atau dibuka semula yang mempunyai potensi untuk menghasilkan minyak dan gas.

"Sarawak akan turut menyertai aktiviti hiliran. Ia telah melaksanakan projek perintis di Bintulu dalam pengeluaran metanol dan derivatifnya," katanya.

Abang Johari berkata kerajaan turut berunding dengan Petronas mengenai butiran perjanjian pemegang saham bagi 10 peratus ekuiti dalam Loji Train 9 Gas Asli Cecair Malaysia (MLNG), selain mengusahakan ekuiti yang lebih besar dalam loji MLNG 2.

Petronas, katanya, telah diarahkan oleh kerajaan negeri bahawa ia perlu dirujuk mengenai penggunaan gas dari mana-mana lapangan baharu.

''''Langkah ini untuk memastikan Sarawak mempunyai hak untuk menolak penggunaan sumber gas yang baharu bagi pembangunan industri minyak dan gasnya, serta pembangunan industri lain di negeri ini.

"Susulan daripada beberapa perjanjian yang dimeterai baru-baru ini, Petronas komited untuk membekalkan 450 juta kaki padu standard gas asli sehari bagi pembangunan sektor tenaga dan bukan tenaga di negeri ini.

"Selain itu, ia komited kepada nilai minimum sebanyak RM2.1 bilion nilai kontrak yang akan diberikan kepada syarikat Sarawak. Sejak 2013, Petronas telah memberi RM15.8 bilion nilai kontrak kepada syarikat Sarawak," katanya.

Abang Johari berkata jumlah syarikat Sarawak yang berlesen atau berdaftar dengan Petronas meningkat daripada 314 pada 2013 kepada 420 pada tahun lepas.

"Kami akan terus membangunkan cara dan kaedah untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas," katanya.

Mengenai perkembangan lain, katanya Brooke Dockyard and Engineering Works Corporation milik negeri telah diberikan projek Bokor dan Anjung di luar pesisir Sarawak bernilai RM490 juta.

"Skop termasuk reka bentuk, pembinaan, pemasangan luar pesisir, penyambungan dan pengoperasian keseluruhan rantaian nilai projek pembangunan luar pesisir. Langkah ini memberi laluan kepada penglibatan yang luas dalam lapangan minyak yang dibuka semula di luar pesisir Sarawak yang dapat dimanfaatkan," katanya. -- BERNAMA

KPT sahkan tiada pelajar Malaysia berada di lokasi insiden letupan

ASTRO AWANI


KPT sahkan tiada pelajar Malaysia berada di lokasi insiden letupan
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengesahkan tiada pelajar Malaysia berada di lokasi kejadian letupan di Manchester Arena, England. -Reuters
 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengesahkan tiada pelajar Malaysia berada di lokasi kejadian letupan di Manchester Arena, England.

Kejadian letupan berlaku di lokasi utama bagi konsert Ariana Grande.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan KPT, Education Malaysia United Kingdom dan Ireland (EMUKE) mengesahkan sejurus letupan berlaku, hebahan mula dilakukan melalui Facebook dan WhatsApp kepada persatuan pelajar di Manchester.

Hebahan turut dilakukan kepada kawasan sekitar Manchester bagi memastikan tiada pelajar Malaysia yang berada di tempat kejadian.

EMUKE bagaimanapun berkata, pihak mereka akan terus memantau dan melaporkan perkembangan semasa serta mengingatkan semua pelajar supaya terus berhati-hati.

Seramai 1,303 pelajar Malaysia berada di Manchester bagi melanjutkan pengajian di University of Manchester, Manchester Metropolitan University dan University of Salford.

Dalam kejadian letupan itu, 19 orang terkorban dan 50 yang lain cedera dalam kejadian yang disiasat sebagai serangan pengganas.

Alat komunikasi rosak, minyak habis jadi punca

SINAR HARIAN

Sembilan anggota bot KD Perdana selamat tiba pagi ini
Sembilan anggota bot Boarding Team KD Perdana yang ditemui selamat petang semalam selamat tiba di Markas Wilayah Laut 1 (MAWILLA1) Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang, dekat sini jam 10 pagi tadi. - Foto Sinar Harian 
 
KUANTAN - Kerosakan alat komunikasi dan kehabisan bekalan minyak merupakan antara punca awal yang dikenal pasti menyebabkan bot kapal KD Perdana terputus hubungan dengan kapal induknya dalam kejadian yang berlaku di perairan Sedili, Johor Sabtu lepas.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk merumuskan tentang punca sebenar ia berlaku.

"Mereka terputus hubungan ketika melakukan operasi untuk mengusir bot nelayan asing...kita tidak dapat jelaskan secara terperinci puncanya dan kita telah pun menubuhkan sebuah lembaga siasatan bagi menyiasat perkara ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Sembilan anggota bot KD Perdana selamat tiba pagi ini]

"Ini termasuk meneliti bagaimana alat komunikasi tidak berfungsi dan puncanya. Untuk itu, seorang pegawai kanan akan mengetuai lembaga siasatan ini dengan disertai beberapa anggota untuk mengetahui punca dan tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Markas Wilayah Laut 1 (Mawilla 1) Pangkalan TLDM Tanjung Gelang selepas menyambut ketibaan sembilan kru bot kapal KD Perdana yang hilang dalam kejadian berkenaan, di sini hari ini.

Sembilan kru berkenaan ialah Leftenan Mohd Hidir Yusof, Laskar Kanan (LK) Komunikasi Mohd Zaidi Rahim, LK PAP Mohd Rabidzi Rodzian, LK PAP Mohd Nurul Shahriran Salwi, LK KOM Mohd Akmalnizam Amdan, LK KOM Suhaimi Shamsudin, LK Faisal Iskandar, LK1 TMK Mohd Fitri Ab Malek dan LK1 TMK Zulhusni Sherhutdin.

Turut menyambut ketibaan kru kapal itu ialah Panglima Mawilla 1 Laksamana Muda Datuk Mohd Redza Mohd Sany serta kaum keluarga anak kapal berkenaan.

Dalam kejadian Sabtu lepas, KD Perdana terputus hubungan dengan bot kapal miliknya yang membawa Tim Menggeledah terdiri daripada seorang pegawai dan lapan anggota LK ke bawah, ketika mengusir bot nelayan asing di perairan Sedili.

Ahmad Kamarulzaman berkata bot kapal berkenaan ditemui pada pukul 5.40 petang semalam selepas 51 jam dilaporkan hilang dari perairan Sedili pada 1 tengah hari Sabtu lepas.

Ia ditemui pada kedudukan 87 batu nautika dari timur Tanjung Gelang oleh sebuah ejen perkapalan yang berpusat di Kemaman, Terengganu iaitu hanyut sejauh 108 batu nautika dari lokasi terakhir ia dikesan.

"Bilik operasi Mawilla 1 telah memohon bantuan daripada pesawat B200T milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk melakukan tinjauan udara ke lokasi yang dilaporkan untuk mengesahkannya.

"Setelah tinjauan dilakukan, bot yang dilaporkan ditemui itu disahkan milik KD Perdana yang dilaporkan terputus hubungan sebelum ini dan ia dijumpai bersama-sama dengan dua bot nelayan tempatan," katanya.

Berikutan itu, katanya aset permukaan TLDM telah digerakkan ke lokasi penemuan dan kapal KD Perdana telah ditugaskan untuk membawa pulang semua anak kapal berkenaan ke Pangkalan Tanjung Gelang dan tiba pada 10 pagi tadi.

"Semasa ditemui, kesemua sembilan anak kapal KD Perdana berkenaan berada dalam keadaan baik, namun mengalami keletihan dan 'sunburn' (selaran matahari) akibat terlalu lama berada di tengah laut.

"Kita dapati kesemua anak kapal mempunyai ketahanan fizikal yang baik walaupun hampir 51 jam berada di tengah laut dan ini adalah hasil latihan yang dijalani selama ini," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak henti mendoakan keselamatan kesemua anak kapal serta penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Beliau berkata sebanyak 14 aset daripada pelbagai agensi telah digunakan sepanjang operasi mencari dan menyelamat berkenaan antaranya KD Perkasa, KD Handalan, KD Terengganu, KD Kelantan, KD Pendekar, KM Tatau, KM Pekan, sebuah pesawat Super LYNX dan pesawat FENNEC.

"TLDM juga ingin merakamkan penghargaan kepada tentera laut dari negara Singapura, Indonesia, Vietnam dan Thailand yang turut menggerakkan unit mereka untuk membuat pemantauan di laut sebaik mengetahui tentang berita tersebut.

"Ini menunjukkan kita di ASEAN mempunyai kerjasama erat dan bersedia menghulurkan bantuan pada bila-bila masa apabila keadaan memerlukan tanpa sebarang kerenah birokrasi," katanya. - Bernama

40 pegawai kastam dibuang kerja setiap tahun

rasuah
 

SEKURANG-kurangnya 40 pegawai kastam dibuang kerja setiap tahun akibat terbabit dalam gejala rasuah.

Ini dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kastam, Datuk T Subromaniam yang menegaskan tidak teragak-agak akan terus mengenakan tindakan keras terhadap mana-mana pegawainya yang didapati bersalah menerima suapan.

"Selepas dilantik ketua pengarah, saya telah mengemaskinikan pengurusan Jabatan Kastam terutama dalam usaha membanteras gejala rasuah dan penyelewengan.  Saya mengakui terdapat kelemahan dari segi proses penguatkuasaan dalam Jabatan Kastam.

"Bagaimana pun, saya akan cuba meneliti sistem dan proses ini agar dapat mengesan mana-mana pegawai yang cuba mengambil kesempatan menerima rasuah dan mana-mana individu yang cuba melakukan aktiviti penyeludupan," kata Subromaniam ketika ditemu bual oleh Oriental Daily.

Menurut beliau, pihak kastam akan memastikan setiap barangan diimport atau dieksport perlu mempunyai rekod yang jelas dan nama pegawai yang bertanggungjawab meluluskan kemasukan dan pengeluaran barangan berkenaan.

"Dalam Jabatan Kastam memang ada pegawai yang terbabit rasuah. Tetapi itu hanya segelintir sahaja. Disebabkan 'epal busuk' inilah menyebabkan nama kastam tercemar," ujarnya.

Katanya, Jabatan Kastam turut melakukan perubahan tempat bertugas terhadap seseorang pegawai setiap tahun bagi melicinkan gerak kerja.

"Kami tidak akan membiarkan seseorang pegawai berada di sesuatu lokasi yang sama untuk tempoh yang panjang. Sekiranya beliau ditugaskan selama 10 tahun di lokasi yang sama, beliau tentu akan rasa terlalu selesa di situ," katanya.

Subromaniam, 58, yang sebelum ini memegang jawatan timbalan ketua pengarah kastam (pematuhan/penguatkuasaan) dinaikkan pangkat sebagai ketua pengarah kastam kira-kira dua bulan yang lalu bagi menggantikan Datuk Seri Khazali.