HALAMAN SANTAI

Selasa, 9 Mei 2017

12 NGO kesal gagal jumpa Azmin bincang isu rakyat

THE MALAYSIAN TIMES



SHAH ALAM: Sebanyak 12 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini gagal bertemu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi membincang pelbagai isu rakyat termasuk ketidakmampuan membeli rumah kos rendah di negeri ini.

Seramai 20 wakil NGO berkenaan berkumpul di hadapan pagar bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meminta berjumpa dengan Mohamed Azmin namun, mereka disekat pengawal keselamatan dan polis yang bertugas bagi mengelak kekecohan.

Wakil kumpulan NGO itu yang juga Presiden Kelab Harmoni Selangor (KHS) Dr V. Sunder berkata mereka bertindak demikian selepas beberapa surat rasmi bagi menetapkan temu janji dengan menteri besar itu sejak tiga tahun lepas, tidak mendapat maklum balas daripadanya.

Sunder memberitahu pemberita di sini bahawa pihaknya juga mengemukakan lebih 50 memorandum kepada pejabat Menteri Besar bagi meminta campur tangannya menyelesaikan pelbagai masalah rakyat terutamanya berkaitan perumahan tetapi maklum balas yang diterima tidak memberangsangkan.

“Dengarlah isu rakyat terutamanya isu perumahan yang mana kami dapati berlakunya salah urus dalam Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan proses pemilikan Rumah Selangorku.

“Isu pemilikan perumahan berulang kali dihadapi rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan kami mahu campur tangan menteri besar sendiri supaya ia dapat diselesaikan,” katanya.

Mengambil contoh projek pangsapuri kos rendah di Taman Damai Utama, Puchong, Sunder berkata harga yang ditawarkan untuk kategori rumah itu terlalu tinggi menyebabkan golongan berpendapatan rendah hanya ‘mampu tengok’ dan tidak mampu memiliki.

“Sepatutnya harga rumah mampu milik adalah RM42,000 tapi ia dinaikkan sehingga RM69,000 disebabkan pemaju melakukan pengubahsuaian… ini menekan pembeli yang berpendapatan rendah. Hal ini mestilah dilihat secara serius,” katanya.–Bernama

Tiada ulasan: