HALAMAN SANTAI

Ahad, 7 Mei 2017

26.5% penduduk Kedah perokok mengejutkan

MOHD AZMI ABDUL HAMID
 
 
 
KAMI memandang serius pendedah Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail kelmarin bahawa negeri Kedah adalah negeri kedua tertinggi perokok di negara ini.Fakta yang didedahkan bahawa 26.5% penduduk Kedah yang berumur 15 tahun ke atas adalah perokok sangat mengejutkan.
 
Menganggarkan kanak-kanak berumur 0-15 tahun berjumlah sekitar 500,000 mengikut statistik penduduk Kedah pada 2010 dan kini Kedah mempunyai populasi lebih 2 juta,  bermakna Kedah mempunyai lebih 1.5 juta perokok.
 
Kerana penduduk negeri Kedah adalah majoriti kaum Melayu, kami percaya perokok di negeri ini pasti majoritinya adalah di kalangan kaum Melayu.
 
Angka kasar ini menunjukkan Kedah berpotensi berhadapan krisis penduduk berpenyakit akibat merokok yang cukup besar.
 
Ini belum lagi dilihat dari sudut implikasi ekonomi dan sosial. Tabiat merokok merupakan punca yang utama kepada kanser dan kardiovaskular. Kos rawatan yang terpaksa ditanggung kini adalah sangat besar untuk dua  penyakit utama tersebut. Manakala merokok di kalangan anak muda berpotensi besar terdedah kepada penyalahgunaan dadah.
 
Bagi perokok di kalangan golongan B40 ternyata ia akan menjadi beban ekonomi yang bertambah dan akan menjadi lebih kritikal bila wang untuk kesihatan dan pendidik disalur kepada tabiat perokok.
 
Kami berpandangan jika gejala ini tidak diatasi segera, negeri Kedah akan berdepan masalah yang sangat berat dari sudut kesihatan dan ekonomi rakyat.
 
Tidak ada gunanya Kerajaan Kedah berusaha mencapai taraf pendapatan tinggi di kalangan rakyat jika gejala merokok akan menyedut pendapatan rakyat dan  juga beban kos khidmat kesihatan dari bajet kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang tinggi perlu ditanggung.
 
Sudah sampai masanya pihak kerajaan menggunakan kaedah yang lebih berkesan dari hanya menubuhkan 58 buah Klinik Berhenti Merokok di seluruh negeri Kedah untuk merawat golongan perokok tegar.
 
Kempen pihak Jabatan Kesihatan sempena bulan Ramadhan ini sudah dilakukan saban tahun, namun ia maseh tidak berkesan kerana tabiat merokok sudah menjadi norma masyarakat sebaik sahaja berbuka puasa.
 
Pendekatan ke arah menguatkuasakan larangan menjual dan merokok di kawasan awam mesti dilaksanakan dengan tegas.
 
Terlalu jelas pelanggaran merokok di premis awam seperti restoran, kawasan pasar, kawasan masjid dan surau, premis pejabat awam dan swasta sangat berleluasa. Pihak masyarakat maseh tidak melihat kepentingan melapor perlanggaran peraturan terhadap perokok dan membiarkan penjual dan perokok berleluasa tanpa diambil tindakan.
 
Suatu gerakan yang berkesan yang melibatkan pemimpin politik, NGO dan pemimpin akar umbi di kalangan masyarakat mesti dikerah. Pihak berkuasa kesihatan dan kerajaan tempatan mesti diperkasakan lagi untuk membenteras pelanggaran undang-undang mengenai penjualan rokok dan merokok di premis awam.
 
Kami mengambil perhatian terhadap fatwa mengharamkan rokok di negeri Kedah masih belum digazetkan sehingga kini. Padahal fatwa negeri Kedah itu sudah dikeluarkan sejak 1996 lagi. Manakala fatwa haram terhadap rokok vape juga telah dikeluarkan pada 25 November 2015 yang lalu.
 
Sayangnya ia hanya tinggal fatwa di atas kertas semata-mata
 
Sudah sampai masanya pihak Majlis Fatwa Negeri Kedah segera mengambil langkah untuk mengangkat fatwa tersebut supaya digazetkan di Dewan Undangan Negeri.
 
Isu ini melibatkan majoriti umat Islam dan mudaratnya terlalu jelas. Tidak munasabah fatwa yang boleh menjadi salah satu kekuatan dalam mengekang tabiat merokok di kalangan umat Islam masih ditangguh penguatkuasaannya.
 
Pihak kami bersama rangkaian NGO di bawah gerak kerja dakwah akan mengadakan perbincangan khas untuk merancang strategi menggembleng masyarakat akar umbi supaya tabiat merokok terutama di kalangan remaja dan generasi muda dibanteras.
 
Kami berharap mendapat dukungan dan sokongan dari pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Kerajaan Negeri Kedah untuk memberi kemudahan dan sokongan kewangan supaya Kempen Benteras Rokok dapat dijayakan. - HARAKAHDAILY 
 
Penulis ialah Presiden Mapim

Tiada ulasan: